Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,
Pagi hari setelah semalam kami dihala tujukan kepada satu buah alam pemikiran yang baharu oleh Yang Dipertua.
Bagai nafas segar yang agak sedikit berlainan sedang berlegaran aman di Tembilahan..Apakala bersarapan, kami saling dibalas-berbalas senyuman sambil disusun rapi kata-kata yang berbaur mulia,puji-pujian berserta nasihat..tidak lupa ketawa dan jenaka yang disumbangkan oleh kalangan manusia yang bersaudara.
Sarapan pagi kami begitu enak, Alhamdulillah syukur..
Acara dihari ini tidak banyak, melainkan menelaah dan membiarkan pemikiran yang disuntik semalam sebati pada diri empunya. Hanya petangnya kami dibawa ke sebuah dewan latihan seni tarian yang diusahakan sendiri oleh orang Indragiri Hilir.
Tiba kami disana, perjalanan yang hanya memakan masa sekitar 5 minit disambut oleh guru-guru tari, Raja Indra Maulana diikuti kemudian selaku wakil tuan rumah serta kanak-kanak kecil seawal umur 5 tahun ke 10 tahun umurnya, alangkah meriahnya perasaan.
Hamba mulai berbanding kira dengan apa adanya di tempat hamba, mungkin sahaja ada usaha ini namun tidak seluas atau mungkin tidak sesungguh mana hendak di war-warkan..yang hamba pernah diketemukan pun beberapa bulan kelmarin sewaktu di Shah Alam pada menjayakan acara PADAT(Perbadanan Adat Istiadat Negeri Selangor), dimana Dendang Anak diamanahkan untuk menjayakan sebuah persembahan nyanyian serta lakonan bersama anak-anak kecil Bingkas Kebayan yang terdiri daripada kalangan yang berumur 3 tahun hinggalah ke 12 tahun. Setelah itu hamba mulai bertanya dan mencari, dimana lagi gamaknya sebuah pertubuhan anak seni kecil yang diajak menari atau berlakon..Payah diketemukan.
Ada mungkin bagi pendapat hamba, kita telah terlalu “modern” atau maju katakan.. Budaya Melayu tlah jadi satu perkara yang mungkin meng”halang” usaha mereka..Hamba pernah pada menanyakan kepada seorang guru tari di Terengganu(yang hamba rahsiakanlah saja namanya) berkenaan perancangan hamba untuk mengadakan sebuah persatuan agar dijayakan padanya acara tarian berbentuk seni Melayu, jawapannya agak menyedihkan “budget/peruntukkan” dijawabnya..
Hati hamba mulai berburuk sangka pada waktu tersebut dan berkata “kalau kamu hendak beristeri, peruntukkan tidak pernahpun dipersoalkan..dicari tanpa disuruhpun” pada diri hamba sendiri, kerana hamba sedar. Masyarakat kita yang kecil ini selalu berhati manja, teguran atau nasihat itu sering perlu dilapik-lapikkan..Jika nasihat itu sekeping roti, perlunya disuap, perlu dicubit-cubitkan, tangannya perlu dicuci bersih dahulu, kalau jarinya kotor harus dipotong kukunya..Seperti anak raja semuanya. Ditegur elok dianggap menggugatnya.. Sedangkan kemahiran hamba sekadar menulis,menyanyi serba sedikit,bermain alatan bunyian, melukis..tarinya iya, tahu namun tidak seluas apa dibekalkan kepada seorang guru tari.
Makanya yang hamba anjur kepadanya sebuah sumbangan serba Ikhlas kepada mengusahakan anak-anak bangsa kita kini kembali berbangsa agar tidaklah disibukkan dengan kegiatan budaya yang menyusahkan menjelang masa mendatang.
Letih pada memikirkan nasib kita kini..tahunya rugi sebelum berbuat, untungnya sahaja yang mahu..kalau tidak wang jadi hal utama, Nama pula digila-gilai..hendaknya dijulang hingga ke cakrawala mana?, keluhku sendiri...apa ini “Umat Muhammad?”.
Namun rasa kagum kami menatap anak-anak ini gigih belajar menari mengikut irama Melayu, tanpa dilengkapi kipas atau penyaman udara, tanpa dipersiapkan oleh mereka kemudahan yang tersedia sepertimana ada ditempat kita.. Yang buatkan lebih teruja itu usaha ini disokong oleh ibu-bapa sendiri, mereka datang menyaksikan anak-anak mereka belajar menari tarian yang mungkin mereka juga amalkan waktu seawal umur mereka hinggalah berakhir latihannya setelah 2 jam kemudian.
Kami menampilkan “Melayu Sejati”,”Ulik Mayang” dan “Bunga Idaman” sebagai kado Istimewa dari Terengganu. Senyuman terukir pada wajah anak-anak kecil, ibu-ibu dan para setiausaha kami yang hadir bersama..Hati hamba jadi senang sekali dan juga dirasai oleh para sahabat lainnya juga.
Waktu nyanyian Ulik Mayang dilantunkan, Yang Dipertua Dendang Anak sendiri turun ke lantai untuk mengajarkan serba sedikit tarian kepada anak-anak kecil serta warga Indragiri yang hadir.
Berlayar sampai ke Pulau,Berjalan sampai ke Batas..
Petang sudah mulai memberat kecerahannya, Maghrib semakin hampir..Maka tangguhlah kami ke Telaga Puri.
Malam sebelum berangkat pulangnya, masih ada satu lagi “Maal/Persembahan” yang wajib buat kami untuk dijayakan. Dikumpulkan semua anggota dihadapan lapangan Telaga Puri, tikar dibentangkan dan beramai-ramai kami berkumpul sambil menyanyikan “Lagu Dalam Merindu”,”Lautan Kasih”,”Kasih Milikku”, “Dendangan Kasih Sayang” dan setelah suasana menjadi semakin hangat,”Puja Puji”,”Fadhilat Tersirat”,”Janji Malam Keramat”,”Malam Seribu Darjat”,”Warisan Panji”..
Dan para setiausaha Tembilahan, tidak kedekut untuk menyumbang lagu-lagu mereka mewakili rakyat Indonesia Raya. Lagu milik ST12 “Saat Terakhir”, Andra & Blackbone “Sempurna” dan Ari Lasso “Kau dan Dia” dilantunkan dengan kemerduan dan kedamaian suara mereka.
Terimbas kembali saat terakhir kami 2 tahun kelmarin disini, seperti ini juga keadaannya. Di akhir acara kami lagi bernyanyi bersama-sama.
Usai sudah belaka, Famela Fahmi dipanggil oleh Yang Dipertua untuk mencuba suaranya dengan lagu kami yang pada awal pembikinannya sesuai dengan wanita bertajuk “Munajat” dan duet “Gurindam Jiwa” bersama Bathin. Ternyata sesuai apatah lagi dengan aturan semula irama dan alunannya oleh Yang Dipertua yang baharu..
Sebaik sahaja selesai sekitar jam 0230 pagi, Hujan Turun tanpa henti..
“seperti sebuah rintihan bhumi Indragiri kepada ketiadaksanggupan mereka membiarkan pemergian kami atau mungkin sekali ketidaksanggupan kami untuk meninggalkan orang-orang Indragiri”
Itu terlintas dibenak fikir hamba.. belum ditanya bagaimana perasaan sahabat hamba yang lainnya, yang sudah berpunya teman dan sahabat di sini. Terjalin molek kerana Budaya.
Jam 0700 awal pagi. Kami bersiap-siap untuk bersarapan dan terus menyimpan pakai kami segalanya untuk berangkat langsung ke Batam.
Adalah tidak sanggup untuk mengucapkan “Selamat Tinggal”, sedang peninggalan itu menyamai satu kematian. Sudah pergi, belum tentu bertandang lagi, kalau kemari, kami masih belum tentunya kami atau kamu masih belum pasti itu kamu. Begitulah kepedihannya kepada perpisahan dan begitu juga keindahan yang terbina indah oleh Allah taala buat pertemuan yang kita sama-sama mengecapi, usahakan semata-mata untuk satu kenangan yang terindah.
Terus perpisahan ada dihujung itu. Bagaimana kita yang serata jagat menghuni dimaha bhumi milik yang Esa yang juga serba sementara belaka.
Inilah langkah pertama mengenal Redha. Dengan merestui sesuatu keistimewaan yang tercipta bukan buat kita namun untuk yang disangkakan terbaik.
Jam 0830, berangkat dari Telaga Puri menuju ke Pelabuhan Tembilahan. Hamba jadi kurang sanggup melihat diluar, sepertimana ditatap penuh kesukaan sewaktu sampai beberapa hari kelmarin.
Tiba dipelabuhan, acara bersalam-salaman di lakukan. Yang Dipertua yang turut tidak serta bersama kepulangan kami kerana beliau masih ada kerjanya yang tak terlesai disini berkali-kali berpesan kepada kami dan juga hamba sendiri “kuatkan amal dan latihan yang istiqamah demi acara akan datang ini”..
Putra dan Penghulu yang pada kali ini telah berjaya menyatakan hajat kali ini kelihatan lega sepenuhnya diraut wajah masing-masing, kesungguhan mereka membenarkan kami kembali disini. Dengan Izin Allah.. Alhamdulillah wa astaghfirullah.
Kebersamaan kita terlalu singkat untuk dirapat-rapatkan, namun jelasnya tertunai sudah kewajiban kami menyampaikan apa yang telah lama ditinggalkan oleh orang terdahulu. Jauh pelusuk Indragiri Hilir dari Hulu Terengganu lahirnya Dendang Anak ini terjalin kembali hendaknya..
Di Batam setelah sesaknya berada didalam kapal sekitar 7 jam setengah yang dinaiki sarat orang setempat, kami bertukar tuju ke pelabuhan seterusnya yang menuju ke Stulang Laut, Johor Darul Ta’zim. Sebelum berangkat kami dihidang Nasi Padang istimewa disatu kedai disini bersama minuman buah Avocado dan Mangga..kami teruskan pemergian kami selama 3 jam lagi. Hujan tak berhenti lebatnya pada perjuangan kami untuk pulang ke Kampung permai kami yang bernama Terengganu Darul Iman.
Setibanya di Stulang Laut, perpisahan kedwa berlaku memandangkan Angah, Aduka dan Mi Sawo menghuni di Kuala Lumpur maka kami saling bersalaman dengan penuh kehormatan kerana tanpa mereka bertiga, barangkali susah payah kami untuk bersama-sama kesana dibebankan lagi. Syukur ya Tuhan..
Dengan 3 buah kenderaan yang dipacu sendiri dengan silih berganti pembawanya..Penat mahupun lelah bukan lagi penghalang. Harusnya pulang kerana masih ada banyak tugas hendak dilaksanakan hingga selesai.
8 Jam seterusnya, Alhamdulillah kami tiba di Istana Seni. Dan Hamba serta Putra ke Istana kami.. Istirehat dengan seribu satu kemanisan kenangan yang kami perolehi daripada orang Indragiri.. Terimakasih yang tiada terhingga dituju tinggi kepada Allah taala.
Terimakasih ya Muhammad atas korbanmu hingga kami beragama semuanya.
Terimakasih Mujahidin, Waliullah dan semua Rahimakumullah.
Terimakasih Indragiri Hilir, kali ini banyak yang kami pelajari.. terutamanya adalah berkenaan perihal “Kekuatan”, “Kesetiaan”,”Kerisauan” dan “Kesungguhan”..
Dan paling pertama adalah “Kemurahan” dan “Kasih Sayang”,
itukan Bismillahir Ar Rahman Ar Rahim.
Yang tak luput dibelanjakan, tak rugi diberi-beri atau dibahagi-bahagi kan..
Sementara hamba terus menunggu dengan penuh tidak sabarnya menjelang acara 18hb Disember 2010 ini bertempat di Istana Sayap,Pelalawan,Riau, Indonesia..ya’ini Penabalan Sultan Pelalawan selepas Tengku Kamaruddin sebagai raja Pelalawan ke-10, dengan nama Assaidissyarif Kamarudin Haroen Tengku Besar Pelalawan..yang pastinya mencatat sejarah yang baharu buat Hikayat Melayu. Sama-sama kita tunggu dan doakan agar dipermudah kan.
Tadahkan tanganmu agar usaha murni ini diteruskan..
Aminkan ia sebaik fikir risaumu kerana Bangsa memekar didalam dirimu, bukan kerana hamba, bukan anda, bukan dia, bukan kita..namun Mereka.yang bakal meneruskan masa hadapan yang menentukan dimana kita disaat masa yang ditentukan itu hadir.
Cukuplah kita menjadi bangsa yang kalah. Kali ini, biar kita berjaya bersama Agama dengan tamadun yang mengejar wawasan akhir zaman.
Fikirkanlah.
Qauluhu Al Haq Wa Kalimatus As Saddiq,
ڤادوکا راج دندڠ انق ترڠڬانو دارالايمان
Ku Bad(Raja Badruddin Hakim Shah ibni Raja Kamarul Bahrin Shah)