Thursday, December 30, 2010

Jlajah Dendang Anak (Pelalawan) : Hari Empat

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Pagi hari di Dewan Kesenian Pelalawan yang nyaman, selesai sarapan dan kami pada membuat pemeriksaan ulang-ulangan berkenaan perubahan atau pembetulan lagu dan memeriksa alatan "Handasah As-Sawt" kami samaada masih berfungsi ataupun pada rosak.
Bagi yang tiada memahami Istilah "Handasah As-Sawt" : Artinya adalah seumpama Seni Muzik yang berteraskan Keagamaan, ada juga berpendapat (dengan Istilah tersebut) adalah Tujuan Utama untuk membataskan Seni Muzik yang Islami atau tidak..Apapun terserahlah apa tamsilan kita pada zaman ini berkenaan apa dan dimana atau kenapa harus,mesti,perlu atau wajib dilakoni.

Hari ini ternyata agak sedikit santai, tak ada apa yang perlu dikejarkan atau digelojohkan. Namun risau yang tampak jelas dirupa kalangan sahabat itu ada, mungkin ada pada tertanya "Bagaimana Persembahannya nanti?" , "Apa tugas kita selepas ini?" dan sebagainya.. kerana yang nyatanya pada perbualannya adalah perihal yang bakal kami hadapkan esok hari ini, setelah sebulan sebelumnya kami bersiap di Terengganu dengan latihan yang lebih bersungguh-sungguh, kerana ternyata buat penghujung tahun kristian ini, iaitu 2010 ini ada padanya satu acara yang melibatkan Istana dan Raja yang bagi kami, orang Melayu,yang berdaulat dan beraja seharusnya.. Maka kami pikul akan tugas ini sebaik mungkin, menutup 2010 sebagai salah satu bab dalam Al-Kisah permulaan kami yang panjang..

Petang itu, ketibaan seorang lagi saudara jauh kami, yang hamba sendiri ternanti-nantikan, Raja Alfirafindra atau mesra disapa "Raja Epi",dijemput khas dari Jogja oleh Yang Dipertua agar tarian untuk persembahan nanti mendapat perhatian beliau, adalah kerana beliau ialah seorang Guru dan Pensyarah Bahagian Seni Tarian dan Persembahan di Jogja, maka kami undangnya kemari bersama kami menjayakan persembahan ini.
Sejurus selepas itu, maka sampailah Yang Dipertua, kami yang sudah beberapa hari sebelum ini tidak berjumpa dengannya sudah rasa rindu padanya dan terubatlah sudah. Alhamdulillahi rabbil alamin..

Latihan diikuti tarian yang disertai oleh para penari Sanggar Pahlawan, dari Dewan Kesenian Pelalawan dimulakan dengan selengkapnya. Selesai itu, Yang Dipertua Dendang Anak meminta komen dari Raja Epi, bagaimana iringan lagu Melayu Sejati itu jika diikuti dengan tarian? Raja Epi memulakan lembut bicaranya dan kemudian menyentap tegas kata-katanya " Lagu Dendang Anak tak seharusnya ada Penari, kerana Mesej/Pesanannya dari lirik itu bakal tenggelam, jika ada tarian yang bukan-bukan itu bakal melemahkan lagi pesanan yang akan disampaikan, nyanyinya harus tampil, musisinya harus tampil kerana bagi saya, Dendang Anak itu yang bawa pesan, musisi dan penyanyinya yang menyampaikan. Dan tak perlu ada penyanyi wanita dalam lagu Melayu Sejati kerana yang gagah menampilkannya itu lelaki, tapi kalau iring..ya tak apa..duet(berpasangan), saya kurang bersetuju Abangku*"..
*nama panggilan atau gelaran untuk Yang Dipertua Dendang Anak oleh orang-orang diserata Riau.

.."Jika dibelakangi penarinya dengan Penyanyi, ya tak apa mungkin.." lantang lagi menambah katanya si Raja Epi.

Yang Dipertua senyum dan menganggukkan kepalanya, seperti telah terjangka oleh beliau. Selang beberapa detik, Beliau membalasnya pada Raja Epi:

"kita tengahkan sahaja penarinya, penyanyi-penyanyi Dendang Anak dihadapan, musisi disamping.."

Raja Epi menjawab, "Ya itu saya setuju," disambung lagi sambil menoleh mukanya yang tegas namun ceria itu kepada kami semua seraya bersuara "...dan maafin saya ya adik-adik kerana abang lagi mulutnya lancang dan biadab kalau kata-katanya, soalnya kita ingin yang paling ada impak..suatu letupan didalam persembahan..bukan saya hendak menyebelahi yang mana-mana, ini pandangan abang aja..makanya kita harus fikir yang palin baik untuk hal ini..ini kerja kita orang seni.."

Tiada raut wajah tak berpuashati, namun senyuman saling berlontaran antara satu sama lain.. Keadilan yang ditampilkan antara Raja Epi dan Yang Dipertua begitu membuatkan kami lebih senang untuk melakukan dan menumpukannya dalam apa kami bikin, tanpa ada sedikit rasa was-was.

Setelah petang dan hampir Maghrib waktunya, latihan bagi sebelah petang sudah pada selesai, 5 minit sebelum Adzan maghrib berkumandang kami pada pertengahan lagu Melayu Sejati. Dengan tidak semnena-mena dan tiba-tiba bekalan elektrik di situ terputus, jadi gelap gelita, hanya yang ada cuma lampu jalanan.. Namun apa dimulakan harus selesai dahulu, dari perasaan dan pengalaman sendiri hamba, hamba jadi lebih bersemangat..Kerana para pemuzik, penari dan penyanyi tidak berhenti kerana terputus bekalan itu. Diam hati hamba berkata " Syukran Ya Allah..Hebat semua ni"...Rasa kagum dan terharu pada ketika itu hamba pun tak pandai hendak menerangkan didalam rangka kata apa skalipun. Ia jelas, penggiat seni itu sebenarnya yang paling rapat bersama Tuhannya, namun jangan disalah tafsirkan sudahlah. Kerana yang dimaksudkan itu baik belaka.

Selesai itu semua berpeluh-peluh, tiada Azan kedengaran kerana masih tak ada elektrik.
Semua pada membawa berus dan alatan mandi, tuala dan beratur dihadapan kamar mandi, terimbas sekali seperti cerita Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Bujang Lapok pada babak pagi dimana Ajis, Ramlee dan Sudin ndak mandi dan terpaksa beratur panjang bersama tetangga yang lain untuk mandi. ha ha ha..

Selesai Solat Maghrib, yang bersama kami semua pada mencari lilin untuk menyalakan dewan tersebut. Atas harapan moga dengan beberapa batang itu kami dapat meneruskan latihan.
Setibanya Yang Dipertua, kami dikumpulkan dalam satu bulatan. Saling bertukar pendapat dan pandangan.. Apa yang penting disini adalah penceritaan Yang Dipertua yang disampaikan dengan ringkas dan padat makna nya.

"Kita terhimpun disini dengan serba kekurangan, namun yang kurang itu kita perlu perhatikan..perlu dingatkan kembali hadis Nabi mahfumnya: Barangsiapa bersyukur dengan satu nikmat, Allah tambahnya dengan berlipat ganda...
Hari ini kita pada lupa semuanya, sayang kan?..Orang yang Melayu itu lupa dia Melayu, padahal menjadi Melayu itu kita saling kenal bangsa apa sebelumnya..dan pasti Raja itulah pemimpin buat mereka."

...suasana begitu menumpukan sepenuh perhatian kepada Yang Dipertua dan tidak sabar menunggu apa katanya lagi..

"Melayu tanpa Raja itu bukan Melayu, bukan Insan apatah Manusia..kerana Raja itu kepala bagi anggota.. tiada kepala bagaimana mahu semuanya? Segala Pancha Indera pun letak di kepala, yang merasa itupun dibahagian mulut, kepala juga tumpangannya, yang menghidu dan mendengar, juga kepala..jadi, apapun kata kita berkenaan Raja dan Sultan pada masa ini itu terserah namun kenyataannya adalah itu..yang ada sejak azali namun sengaja ditiadakan.."

buat peringatan para penari dan semuanya yang ada, maka Yang Dipertua pada mengingatkan kembali hadis Nabi berkenaan Akhir Zaman mahfumnya:

"diakhir zaman kelak bakal ada sebuah negeri bawah angin "Samudra" namanya..maka Islamkanlah orang-orangnya, kerana akan ada ramai wali-wali Allah disana.."

"Setelah bergeraklah masa, setelah wafat Nabi Muhammad Sallalhualaihi wa salam, maka Para Sahabat meneruskan usaha tersebut, menjadilah kerajaan Khalifah (yang bermaksud Pimpinan), dan Wali itu pun Pimpinan..kalau zaman kita dihari ini maka Sultan itu lah penerus ajaran Agama Rasulullah..yang mungkin kita tak tahu. Namun lihat pada sejarah, apa tlah kita diajarkan? "

..ujar dan soal beliau lembut bahasanya, dalam ertinya..

beberapa ruang diam diberikan untuk merenung.. maka disambung kembali kata-kata beliau, yang lebih kepada membakar semangat agar yang terbaik mampu diberi esoknya.
Maka kemudian itu kami meneruskan latihan dengan bayangan seolah-olah sudah berada di pentas mengadap kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan kepada Pelalawan tempatnya..

Didalam raga fikir kami barangkali sibuk meletakkan pendirian bahawa "Inilah latihan paling terakhir sesudah selama sebulan latihannya"..

Walau bertemankan lilin yang dwa jengkal panjangnya walau sehingga jam 2330 malam tahannya. Masa dianggap paling berharga dan latihan ini diberikan padu dan lakunya dengan penuh kesempurnaan kadarnya..

Selesai itu maka semua berehat dan menyimpan tenaga sepenuhnya untuk esok dan lusa. Kerana dwa hari akan kami tempuhi ini adalah hari yang sarat dengan pelbagai rencana.

Garapan Hari ini Mohonlah dari hamba untuk berhenti..

insyaAllah bersambung lagi..

ڤادوکا