Monday, January 31, 2011

Jelajah Dendang Anak (Terengganu-Temasik-Melaka) : Hari Satu

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Syahdan maka bermulalah perjalanan Jelajah kami ke Kota Singa atau Temasik,
Lebat hujan bersama deruan angin bumi Terengganu Darul Iman mengasbabkan perjalanan kami pada awal malam tertangguh hingga jam 1 pagi..

Dari Terengganu ke Pahang, 9 pagi kami sampai di Stulang Laut, Johor. Awal pagi yang agak mendung separa terang bersama renyai hujan disitu disambut mesra oleh mereka-mereka yang ditugaskan untuk membawa kami semua dari Johor melepasi sempadan Temasik.

Putra, Penghulu, Pandita, Bathin, Aduka, Tajul, Nadhim meneruskan perjalanan ke dalam Kota Singa itu dengan pengangkutan van yang disediakan sementara hamba, Panji dan Affandi, salah seorang petugas menaiki sebuah kenderaan dari Terengganu.

Rasanya sudah hampir 8 tahun lamanya tidak ke Temasik. Jika ikutkan kedatangan hamba yang dulupun ruang dan peluang untuk kemana-manapun agak terhad oleh kerana kebiasaannya hamba kemaripun tiadalah peluang untuk melihat suasana di Temasik sekarang..
Sememangnya jauh berbeza dengan Temasik dahulu yang dikenali kini sebagai Singapura. Disini tidaklah seperti ditempat kita, sebahagian besar jumlah orangnya di pulau Temasik sekarang adalah Cina bangsanya, kedwa adalah Melayu dan ketiganya adalah India. Kebersihan dan budaya hidup yang agak tegas sering sekarang diterapkan kedalam pentadbiran mereka membuatkan ia cukup masyhur hari ini dimata dunia sebagai salah satu negara yang bersih dan "tersusun" cara kehidupannya..
Adapun satu pepatah jenaka berbahasa Inggeris berbunyi : "Singapore is a FINE city".. perkataan FINE disini memberi 2 maksud, pertama adalah Baik dan yang kedwa adalah Saman/Denda. Namun oleh kerana ketegasan yang diamalkan oleh mereka tidak kira ahli pentadbiran ataupun rakyat, setiap kesalahan yang seringkali kita anggapnya kecil menjadi satu hal yang besar dan perlunya dibayar dengan sejumlah wang sebagai dendanya. Bahkan jika anda meludah ditempat awam, anda akan disaman. Merokok dikawasan larangan, anda disaman. Dan yang lebih menghairankan adalah sepanjang keberadaan anda disana nanti, anda jarang bertemu dengan pihak berkuasa. Kerana semuanya diawasi sepenuhnya dengan kecanggihan "CCTV System" atau maksud lainnya, kamera tersorok yang disembunyikan dari penglihatan.

Dan rasanya inilah yang mendidik rakyat Singapura sekarang untuk sentiasa menjaga kebersihan. Walaupun kulit makanan yang kecil sekalipun jika mereka tidak mendapati adanya tong sampah, mereka akan menyimpan terlebih dahulu didalam saku seluar mereka.Namun tidaklah disini hamba menceriterakan hal ini agar para pembaca terasa semacam pelik, takut untuk kesana atau sebagainya. Ia berlaku kerana keadaan, Singapura adalah sebuah pulau yang kecil..namun maju dan canggih dari sudut dunia. Ada pernah mengumpamai kebesaran Singapura dengan Tasik Kenyir di Terengganu kerana bentuk dan ukurannya yang lebih-kurang bahkan lebih besar dari Singapura itu sendiri..namun perlu juga diingatkan Tasik Kenyir adalah tasik yang terbesar di Asia Tenggara.

Tidak beberapa lama setelah itu, maka sampailah di tempat penginapan kami.
Penginapan kami kali ini adalah di sebuah rumah rehat di sekitar Geylang, dimana ia terletak didalam kawasan perkampungan kecil Melayu disana.

Setelah selesai memunggah muatan ke dalam kamar, sebahagiannya berehat. Sementara hamba menunggu kedatangan Hajjah Som Said dan suami, atau lebih selesanya dikenali mereka dengan panggilan Kak Som dan Abg Mat. Antara budayawan yang cukup terkenal, dan begitu bersungguh-sungguh hanya semata untuk mengekalkan budaya Melayu di Temasik ini. Sudah 12 tahun lamanya penubuhan Kumpulan Kesenian "Sri Warisan".. Mereka sudahpun membuat persembahan diluar negara tiada begitu banyaklah kiranya.

Akhirnya Kak Som sampailah bersama suaminya yang tercinta. Hamba, Bonda hamba, Angah dan Pendita dijemput untuk "tour" dan bermesyuarat dengan pihak Esplanade, sebuah medan dimana Seni dicurahkan,dikongsi-kongsikan, dibahagi-bahagikan dan diperkenalkan.

Setelah beberapa jam berada disana maka kami dihantar ke penginapan kami kerana jam 730 malam itu ada Kunjungan Muhibbah dirumah anak yatim Darul Ma'wa.

Senja mulai surut di permukaan bumi Temasik nama tempatnya, kini digelar istimewanya Singapura.

Setelah bersiap sedia semuanya, maka berangkatlah kami menuju ke rumah anak yatim atas maksud meraikan mereka-mereka yang paling istimewa dari kalangan masyarakat semuanya. 10 Minit lebih-kurang perjalanannya maka sampailah.
Kedatangan kami disambut oleh para petugas dan penjaga Darul Ma'wa dengan mesra. Diikuti dengan sedikit sebanyak cerita sepanjang jalan kami menuju ke dewan kecil mereka.

Segala barangan alat kami disusun, Angah dan Pandita masing-masing sibuk membuat ujian demi ujian pelarasan bunyi menggunakan alatan pembesar suara yang tlahpun disediakan, sambil dikerumuni oleh anak-anak kecil....cantiklah kiranya rupa yang ada ketika itu. Senyuman dimana-mana.

Maka lagu pertama itu Keikhlasan Insan namanya, berkisar tepat mengenai Kasih kita pada si anak yatim, agar tidak Sayang diturut mengikut musim, barang Ikhlas biar sahaja Tuhan menjadi Hakim, kerana diakhir segalanya hanya Dialah maha menjadikan..
Penegasan yang berkali-kali dinyatakan dalam lagu tersebut, Jangan Riak..Jangan Berlagak. kerana undang-undang membuat sesebuah amal kebajikan, tidak diukur atau diiktiraf atas apa kata orang atau kita. Biar jujur janganlah takkabur.. Itulah yang dipesankan dan dingatkan kepada kita semua. Agama Islam adalah kasih sayang, bukan sebuah Agama yang menuntut kita untuk berperang bahkan menunaikan hak mereka-mereka yang dalam keperluan, tidak kiralah Kafir sekalipun orangnya.. Allah taala tidak pernah zalim dan senantiasa membahagi-bahagikan rezeki dan harta yang berlimpah ruah kepada sesiapapun yang berusaha untuk mendapatkannya.. Namun mengapa selalu kita diperdaya dengan rasa bagus sendiri, walhal ianya tak adalah setanding hebat manapun dengan jasa orang kafir sekalipun yang menolong orang? Fikirkanlah..

Setelah itu, beberapa lagu joget didendang kan. Diikuti Puja Puji yang hamba sendiripun tak dapat menahan betapa hebatnya rasa kebersamaan kita sesama kita, hingga hamba turun dari pentas dan bersama anak-anak yang paling dikasihi Allah taala ini semua..

Rangkap "La maujud-Ilallah-lailahailallah" : Tiada yang wujud hanya Allah, Tiada disembah melainkan Allah. dinyanyikan beramai-ramai.. Getar nada swara bersulaman antaranya, melantun-lantun bergema didalam rumah Darul Ma'wa yang kami kunjungi..

Setelah selesai sekitar jam 10, kerana anak-anak hendak masuk ke kamar dan beristirehat maka bersurailah majlis tersebut. Kak Som dan Abang Mat membawa kami ke sebuah kedai di Jalan Sultan yang ada disitu masakkan istimewa yaitu Daging Merah dan tulang sumsum.

Maka tatkala menikmati hidangan dan melihat sebahagian yang termampu dek mata memandang sambil diperturunkan hujan renyai membasahi bumi Kota Singa yang kini begitu pesat kemajuannya.

Setelah beberapa lama disitu maka pulanglah kami ke penginapan. Berehatlah kerana esok pagi pun berlangsung sudah acara..Jika ada buat kita semua.

Demikian hamba mohon henti disini.

ڤادوکا

Tuesday, January 11, 2011

Pelancaran Dendang Anak.com




Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

tepat tanggal 11.1.11 maka Dendang Anak secara rasminya mengumumkan kelahiran jaringan tempat atau website rasmi kami pada alamat:

www.dendanganak.com

yang memuatkan pelbagai kisah separa lengkap mengenai kami,baik dari berita,layar,lagu dan barang cendramata yang boleh dimiliki oleh semua.
Pelbagai lagi perancangan dibuat menjelang masa akan datang namun secara rasminya akan kami umumkan sebaik ianya disahkan. InsyaAllah.

Namun dukacita memaklumkan bahawa proses atau penyelenggaraan naik ulang atau upload ke dalam internet akan memakan masa beberapa hari. Harap bawa bersabar. Dan disini hamba ada lampirkan serba sedikit pra tatap-nya buat semua.

ڤادوکا

Saturday, January 1, 2011

Jlajah Dendang Anak (Pelalawan) : Hari Tujoh

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Pagi dirumah sanak-saudara Tengku Ibrahim yang mendung cuacanya, walau tertegak matahari masih kelabu harinya..ada kemungkinan inilah yang pada kami-kami merasakan setiapkali meninggalkan "Indonesia"..yang pada dahulu kalanya kita tidak bersempadan.

Dibandar Sultan Syarif Kasim tempatnya kita berpisah,hanya buat sementara insyaAllah..walau mungkin takdir atau ajal atau apa yang berlaku, yang pastinya "Dendang Anak" akan kesana, walau disuatu masa yang panjang atau pendek, walau bukan kami yang diantaranya....

Buat Kolej Yayasan Melaka,Heritage Airlines,Keluarga Tengku Ibrahim,Lembaga Kerapatan Adat Melayu Pelalawan, Sanggar Pahlawan,Dewan Kesenian Pelalawan, Mela dan yang hadir dari jauh dari Tembilahan untuk menyokong sama usaha kami, Orang Pelalawan dan semua yang tak terucap disini.. Jazakallahualakhairan kasiran.

Setibanya kami di Melaka, disambut oleh Makhdum kemudian kami singgah di kedai makan. Maka kemudian kami harus pulang segera ke Terengganu kerana ada persembahan yang bakal dilangsungkan jam 10 malam itu.

Bergeraklah kami dari Melaka-Johor-Pahang dan akhirnya Terengganu..

terpulanglah kepada anda yang membaca bagaimana menilainya, buat hamba tiada salah jika apa diandaikan itu kepada kebaikan yang bukan kerana kita mahukan untuk diri semata-mata, tapi buat semuanya. Atas Bangsa demi Agama. InsyaAllah..

catitan panjang ini mohon disalinlah penanya, ditambahi akan tintanya..demi satu kembara,kelana atau jlajah kami pada masa akan datang..Selagi hayat dikandung badan..Maka adanya yang nama Paduka ini bukan kerana nama, kerana hajat Yang Dipertua,kerana suara Para Sahabat dan niat yang tak pernah kesampaian..dengan serba sa kekurangan maka diceritakanlah, dikongsikanlah, agar menjadi titik permulaan menjelang Tahun Baharu Masehi yang menjadi budaya hari ini..Biarlah ia menjadi satu Perubahan yang benar. Agar Agama ini sebar dan diterima lebar.

wallahualam, diatas hamba sendirilah yang bertanggung jawab atas ketersalahan kata atau bahasa, maka dimohon maaf sekira bahasanya terlalu Satira.
Ini barangkali dilakukan untuk pada usaha merasa dan menghargai apa yang tlah diberi, dan kemudian bakal dikembalikan pada empunya. Maka carilah apa dia.

ڤادوکا

Jlajah Dendang Anak (Pelalawan) : "Gemilang Istana Sayap tertegaknya kembali" :Hari Enam

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh..

setelah yang lama itu tertanam,
kembali dicungkil dari terus dibenam,
maka syukur dipanjat pada yang ke Enam,
inilah kisah yang tercatit dari matanya yang celik dari pejam..

Sebelum bermulanya hari Pertabalan Haji Tengku Kamaruddin bin Said Harun Assegaf sebagai Assaidissyarif Kamarudin Haroen Tengku Besar Pelalawan, Sultan Pelalawan ke-10. Maka diceriterakanlah akan sejarah Kesultanan Pelalawan yang hamba dapati daripada hasil Karya catatan Haji Tenas Effendy dan Halaman Rasmi Kabupaten Pelalawan.

Bermula dari Enam Abad yang lalu, saling berkait dengan sejarah Kerajaan Singapura dan Melaka. Kisahnya dimulai pada tahun 1380 Masehi, saat Maharaja Indera mendirikan Kerajaan Pekan Tua ditepi sungai Pekan Tua, anak sungai Kampar yang sekarang telah menjadi wilayah Desa Kuala Tolam Kecamatan Pelalawan, Negeri Riau.

Maharaja Indera sedniri adalah bekas orang besar kerajaan Temasik(Singapura) yang ditaklutk oleh Kerajaan Majapahit diakhir abad XIV. Sementara Raja Temasik yang terakhir bernama Permaisura(Parameswara) mengundurkan diri ke Tanah Semenanjung dan mendirikan Kerajaan Melaka, Megat Muhammad Iskandar Syah-Al Sultan(Setelah di Islamkan)-lah namanya..
Seawal perkembangan Melaka hingga pesat akhirnya terpaksa dihentikan setelah keadtangan Portugis pada tahun 1511. Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mahmud Syah malah bermukim dan menjadi raja di Kerajaan Pekan Tua selama perjuangan panjang melawan Portugis. Dan mangkat di sana pada tahun 1528 dan diberi gelar Al-Marhum Kampar(yang letak di Pekan Tua,Desa Kuala Tolam,Kecamatan Pelalawan,Kabupaten Pelalawan)..

Mengenal Raja-raja Pelalawan.

A.Zaman Pekan Tua atau Dinasti Temasik (1380-1505)

1.Maharaja Indera(1380-1420)
-Raja Pertama yang mendirikan Pekan Tua. Yang membangunkan Candi Hyang(Bukit Hyang) di Bukit Tua. Peninggalan kerajaan ini pernah ditemukan di Desa Lubuk Mas.

2.Maharaja Pura(1420-1445)
-Putra kepada Maharaja Indera. yang bertanggungjawab mengembangkan Pekan Tua menjadi Bandar besar di perairan Sungai Kampar.

3.Maharaja Laka(1445-1460)
-Putra kepada Maharaja Pura. Penerus kerja ayahndanya Maharaja Pura dalam menjaga hubungan dengan Melaka.

4.Maharaja Syisya(1460-1480)
-Pengganti Maharaja Laka.Yang membangunkan bandar-bandar baharu dir seberang hulu bandar Pekan Tua yang dinamakan Bandar Nasi yang kemudian bernama Bandar Nasi-nasi.

5.Maharaja Jaya(1480-1505)
-Sedang Maharaja Jaya memerintah Pekan Tua menggantikan Maharaja Syisya, Pekan Tua diserang oleh Melaka. Sultan Melaka waktu itu, Sultan Mansor Syah memerintahkan Sri Nara Diraja bersua dengan Maharaja Jaya, akhirnya kemenangan itu jatuh ke tangan Melaka.

B.Zaman Pekan Tua Kampar atau Dinasti Melaka(1505-1590)

6.Raja Munawwar Syah(1505-1511)
-Ditabalkan oleh Sultan Mansor Syah(Sultan Melaka pada waktu itu) menjadi penguasa Pekan Tua. Pekan Tua digantikan namanya menjadi Pekan Tua Kampar dan akhirnya dikenal sebagai Kampar.

7.Raja Abdullah(1511-1515)
-Putra kepada Raja Munawwar Syah yang meneruskan pemerintahan Kampar.Pada waktu inilah Melaka diserang Portugis dan ditakluk tahun 1511. Raja Abdullah dijadikan menantu oleh Sultan Mahmud Syah. Sulatn Mahmud Syah 1 bersama Tun Fatimah, putranya Raja Ahmad dan orang-orang besar kerajaan Melaka mundur ke Pagoh,Muar kemudian sampai ke kota Kara dan Kopak di Pulau Bintan.
Ternyata Raja Abdullah tidak sehaluan dengan mertuanya dan memilih Portugis kerana berharap dapat dijadikan Sultan Melaka. Tapi akhirnya Raja Abdullah dijadikan bendahara oleh Portugis.

8.Mangkabumi Kampar(1515-1526)

9.Sultan Mahmud Syah(1526-1528)

10.Sultan Alauddin Riayat Syah 2(1528-1530)

11.Mangkabumi Tun Perkasa(1530-1551)

12.Mangkabumi Tun Hitam(1551-1575)

13.Mangkabumi Tun Megat(1575-1590)

D.Zaman Pekan Tua Kampar atau Dinasti Johor(1590-1798)

14-22

E.Zaman Pelalawan(1798-1946)

23-32

32.Tengku Said Harun(1941-1946)

33.Haji Tengku Kamaruddin Ibni Tengku Said Harun Assegaf.

website rasmi Pelalawan boleh klik di sini


Begitulah seadanya perjalanannya yang panjang hingga lah kini.

Namun hari ini adalah yang lainnya, kami pada mengembalikan semula sejarah yang sebelum semua ini berlaku ke tempatnya.

Maka kami bersiap dengan pakainya serba Putih, bertengkolok,sampin dan celana hitam.
Manakala yang sedang bersiap bersama kami adalah antara Bentara Zulkifly,Paduka Iskandar,Orang Kaya Shukri,Tun Ali dan Orang Kanan Ismail.
Setelah lengkap semuanya berangkat bersama kenderaan Orang Pelalawan menuju ke Istana Sayap..

Tiba disana hamba seperti terimbas kembali suatu yang ada nilai dan berbau "lama".

Semua serba lengkap dengan pakai Melayu, tiada kasut yang mahal harganya cuma yang kelihatan adalah capal, tiada celana yang "jeans" jenisnya, yang ada cuma pasang kain baju Melayu, sampin, songket, dan segala pakai Melayu.

Selepas berangkat sampainya Tuanku Al-Sultan di Balairong Seri Istana Adat, dan duduklah baginda diatas kursi kebesarannya. Gong canang dipalu 3 kali tanda seru semua untuk tawajjuh/bertumpu kepada majlis yang akan dimulaikan..

diikuti dengan pantun Muqadimah:
"....adat Melayu pantang dipulang,
kalau mahu dipulangkan..Melayu hilang"

maka diizinkanlah patik membuta patah,
"Menjunjung duli mengangkat sembah,
melangsai niat menyampaikan amanah,
menggadai tuah menjalankan titah..:

berbunyilah pantun Datuk Canang pula..dipalu lagi 3 kali sebelum berpantunlah akan dia,
"Encik-encik,Tuan-tuan dan Puan-puan yang dimuliakan,
agar nian disampaikan Allah yang maha berkuasa, agar kerja berbuahkan pahala,
agar harap tidak sia-sia, agar simpang tidak menyusahkan,
agar pohon tak menenggelamkan,
agar api tak menghanguskan,
agar langkah segak dihayunkan,
agar tangan jauh dilambaikan,
agar kepala tegak terngadah,
agar sombong tak berumah...demikian seterusnya adalah doa, marilah sama-sama diaminkan.."

kemudian setelah pertabalan berlangsung dengan penuh kehalusannya, santap beradab sengaja dibuat supaya warga semakin rapat,

bersatu hati, bersatu niat,
supaya nanti tidak melarat,
santap beradab pemula kata,
penyampai niat, penyambung rasa,
agar yang kurang tidak dicela.."

Majlis santap beradab bermulalah ia, disekitar sungguh indah rupanya, tiada bezanya antara siapa dan siapa hanya yang menadah rezki ditalam mahupun pinggan itunya adalah sama sekadarnya..

maka selesai sudah Majlis tersebut dengan 3 paluan Gong Canang diikuti bala bicara yang bunyinya seperti ini:

"..yang didekat,yang tidur atau yang berjaga,
baik yang berpangkat atau yang biasa, baik yang ditepi atau ditengah, yang tinggi mahupun yang rendah, ibu-ibu mahupun bapa-bapa, panglima mahupun yang kelana,atau yang dihulu atau dihilir, dibukit mahupun dilurah, yang digunung mahupun dilembah, baik dirumah atau disawah, baik dihutan mahupun yang dirimba, baik yang tua mahupun yang muda, bahawa pada hari ini, tepat hari Khamis,
adalah tanggal 7 Muharram 1432 hijrah, tlah ditabalkan yang Mulia, Assaidisharif Haji Tengku Kamaruddin Harun, Tuanku Besar Pelalawan...Selaku Sultan dan Pucuk Payung Panji adat Negeri. Semoga Allah tlah memberi berkat pada kita semua"..

disambung ucap ia oleh Datuk Canang.

"..oi, encik-encik,tuan-tuan,puan-puan...
masih ada sedikit niat kami,
niat yang tumbuh kerana kebersamaan,
niat yang lahir kerana kebiasaan,
niat yang datang kerana kemahuan,
niat yang dibuat kerana keikhlasan,
baiklah kita seiring sejalan,
tanda kita satu harapan,
tanda kita satu perjuangan,
tanda seia sepakaian,
tanda sepiring sepemakanan,
tanda seperiuk sepenjerangan..
adalah negeri tetap bertuah,
agar pemimpin tetap bermaruah,
agar kerja tak menyalah,
agar rakyat tak berpecah belah,
agar Allah memberi berkah....
maka dengan ini Tuanku Besar Pelalawan berangkat mencemar duli sembari menutup tirai majlis ini,
wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.."

maka majlis pun bersurai setelah tamat bahagian bersalaman yang terakhir bersama Gubenor, Bupati Pelalawan dan Tuanku Besar Al-Sultan Pelalawan.

dan bersiap-siaplah kami memunggah keluar barangan dan bertolak ke Pekan Baru, kerana masih ada satu lagi tugas yang tak terlesai, kami dijemput untuk ke Dewan Latihan Perguruan bersama Gubenor,pembesar Riau dan Datuk Shahroni Judi,Pengerusi Kolej Yayasan Melaka.

tinggal-lah 1001 kenangan antara Dendang Anak dan Orang Pelalawan yang belum mungkin pada kami semua untuk lupakan. Bagaimana bersungguh mereka pada kadar adanya pada mereka untuk menjaga Adat,Budaya,Bangsa serta Agamanya Melayu..sementara kita yang adakala lebih memilih jalan singkat dengan memilih apa kita mahukan,bukanlah apa kita semua mahukan yang sebenarnya..

Sesudah maghrib menjelang maka selesai itu kami langsung ke tempat yang dituju, tatkala sampai disana "Tugas Kesinambungan" itu adalah yang utama.

Majlis dimulai dengan beberapa dendangan, diikuti ucapan taazim dari Yang Dipertua Dendang Anak berkena mengena jalinan atau gabungan kita yang cukup ber"alas"..Antara Melaka dan Negeri Riau.

Hinggalah malam itu selesai dengan penuh kepuasan, kerana tugas kami kali ini semuanya tlahpun selesai..

Alhamdulillah wa Astaghfirullah..

tamatlah kisah kali ini yang penuh bersejarah.
Gemilanglah Istana demi Kesinambungan.

bersambung lagi buat hari kepulangan..insyaAllah.


ڤادوکا