Friday, July 15, 2011

Jelajah Dendang Anak (Terengganu-Padang Panjang) : Hari Dwa

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

hari kedwa diimbas akan ambe pada awal kedatangan kelmarin,
jejak kaki di Bhumi Minangkabau sememangnya tiada dirancang, jika baharu dan sebelum ini tlah dwa dunia kami jelajahi iaitu Pekan dan Negeri Sembilan yang menyentuh perihal kebendaharaan dalam menjamin adat sebagai martabat bangsa terutamanya..

bagi diri hamba, tugas yang disandang sebelum kedatangan kami kesini, adalah sebulan suntuk membantu persiapkan Theater Muzikal atau pementasan lakonan dalam bentuk tarian melibatkan para pelajar Institute Pengajian PTPL Terengganu.
yang rata-ratanya mengisahkan bagaimana usaha Agama Islam itu bertapak di Nusantara.
Bagaimana Islam diterima oleh masyarakat yang begitu kuat mengamalkan budaya Hindu atau Buddha ketika itu.

Maka berperanan besar lah kira-nya yang menyatukan mereka itu sudah tentu-tentunya Ulama, seperti mana yang sudah dilaksanakan oleh Tok Ayah atau Sharif Muhammad Al Baghdadi suatu ketika dahulu dalam mengislamkan Merah Silu, hingga ditabal akan baginda itu Sultan Malik ul Saleh, yang akhirnya bermaqam di Lhokseumawe, Aceh Darul Salam.
Sementara kemudiannya andaikata ada dari kita mengikuti akan kesah tersebut, didalam Pemerintahan Melayu itu ada Bendahara namanya, sang penyimpan mohor-mohor besar, serta ketua adat yang kemudian meletakkan usaha Adat ditempatnya, Budaya ditempatnya, Bahasa ditempatnya, Agama ditempatnya..inilah antara tugas penyediaan diri Bendahara.
didalam erti Agama..Bendahara itu-lah Ulama. dalam istilah Bangsa..Ulama itu-lah Bendahara.
kerana itulah namanya Benda-Hara. Barang Bangsa adalah barang Nyata, yang nampak pada cara laku, cara berlagu, cara berbahasa atau cara khas untuk ber Agama.

sementara barang Agama pula, diri sebagai Ulama perlu tetap dengan persamaan, menekankan maksud penyatuan didalam perlaksanaan bertertib, berbuat sesuatu dari keputusan Syuro, atau berbahasa "Hamba" kepada diri sementara Tuan kepada pihak kedua atas maksud memuliakan sesiapapun didalam mendidik sifat "Hamba" kepada yang Khaliq.

demi-kian maka tukang chatit berhenti seketika bahagi mengkhabar akan Sejarah hari ini dimana perpisahan antara keluarga Ku Ibrahim dan keluarga, oleh kerana terpaksa beransur pergi meninggalkan kami untuk kembali ke Pekan Baru kerana anak-anaknya sudah mulai bersekolah esoknya.

tatkala kemudian itu kami pula yang dijemput oleh urus setia Padang Panjang untuk berpindah tempat kerana penginapan kami itu sudah ada yang ingin masuk bermalam disitu.
maka berkemas-lah antara kami semua dan bergerak-lah bersama barang kelengkapan kami itu 13 orang kesemuanya menuju ke Rumah Gadang, dimana hamba difahamkan kita akan berkunjung tiba buat kali ke dwa dan langsung menginap disana selama 2 hari bakinya.

risau bergaul akan rasa gembira didalam Hati hamba,
kerisauan itu datang bilamana perkhabaran kurang enak dari Ku Ibrahim yang sedang diuji perjalanan dengan kerosakkan kenderaan ditengah perjalanan. Gembira hamba pula oleh kerana suasana yang dingin bakal kami bermalam di Rumah Gadang itu dimana Hamba turut diberitahu oleh orang disitu waktu pertemuan pertama, adanya kitab-kitab lama karya perawi dizaman awal Masyarakat Minangkabau ini wujud..

oleh kerana perjalanan untuk kesana itu singkat sahaja, maka sampai-lah kami disitu dan diangkut keluar lah akan barang kelengkapan kami ke belakang Rumah Gadang tersebut.
adapun yang berehat..mereka berehat, adapun yang sibuk bermuzakarah dengan Yang Dipertua, maka bersoal-jawab lah akan pelbagai kesah yang ada oleh kerana Yang Dipertua itu banyak ilmu orangnya yang juga tiada kedekut menjawab walau sepatah bicara sahaja.

Kira-kira petang tersebut datang lah Dede, antara urus setia kami yang baik orangnya, wanita yang lahir di bhumi Aceh Darul Salam.. dan dibawa kemari sa orang gadis kecil manis senyumnya, melampai dan kurus orangnya.
"dia ini ponakan(anak saudara) Dede, yang kelmarin itu juara Lomba Lagu Minang(jika tidak silap hamba)"
dengan nada rendah sambil menunduk kebawah sahaja kerana malu, dikenal kan lah namanya Sillaturahmi atau panggilannya Sil.

Maka kami berkumpul lah dihadapan rumah kami diantara Rumah Gadang, dibawah pohon rendang ditengah waktu tengah hari menuju ke petang sememangnya aman rasanya kerana cuaca disini begitu dingin kerana kawasannya pun ditanah tinggi dikelilingi gunung serta bukit bukau.
Yang Dipertua memutuskan lagu Gurindam Jiwa sebagai lagu gandingan antara kami dan Silaturrahmi.
oleh kerana Bathin kurang sehat dan tiada dapat bersama kami untuk jelajah kali ini, maka Hamba bergantilah tempatnya walaupun menyedari benar suara yang tiadalah semerdu Bathin yang Hamba sendiri kirakan itu Kurniaan Istimewa Allah taala bahaginya selama 12 tahun usahanya, begitu banyak lah kurangnya namun Hamba tidak sekali-pun berputus asa didalam mengusaha akan yang terbaik demi Dendang Anak dan Rakyat Padang Panjang untuk malam esoknya.

sesudah beberapa jangka masa berlatih, Silaturrahmi sudahpun berjaya menangkap dan membiasa akan dirinya bersama lagu kami. Apatah yang molek sekali rupanya bilamana garapan yang bakal dinyanyikan olehnya itu diubah sedikit didalam bahasa Urang Minang, cantik benarlah rasanya seolah-olah mengembali akan secebis kesah sejarah lama dahulu dimana orang Trangganu dari Tanah Melayu pernah bertandang kesini serta menyampaikan khabar berita baik buat rakyat Minangkabau.

hari semakin larut, justeru itu kami perlu bersiap sedia kerana ada jemputan khas malam ini untuk menghadiri majlis santapan malam di rumah Wali Kota atau Datuk Bandar Pandang Panjang.

setelah selesai bersolat Maghrib maka bertolak lah kami menuju ke rumah kediaman Wali Kota.

setibanya disana, jangkaan Hamba yang hanya menyangkakan bahawa hanya kami sahaja dijemput sebenarnya salah sama sekali. bersusunan kenderaan peribadi, yang jelasnya adalah bukan calang-calang pemiliknya.
apatah diturunkan kami dipintu masuk yang dikiri serta kanan dikelilingi oleh penyambut tetamu..
bersalaman lah dariantara kami disitu hingga dijemput masuk bertemu dengan Wali Kota Padang Panjang, kepala Dinas dan sebagainya yang se meja dengan tuan rumah,
maka kami diiring ke meja khas kami kemudian disuruhlah duduk, maka duduklah.

ucapan rasmi tidak lama setelah semua tetamu sampai dan memenuhi ruang legar besar milik Wali Kota itu menggemakan berpuluhan terima kaseh kerana sudi menerima undangan beliau, hingga pada menyebut Wakil Dari Terengganu, Malaysia..Kumpulan Dendang Anak, Hamba jadi makin waras lah menerima bahawa kedatangan kami disini bukan sekadar membuat persembahan kesenian, malah merapat akan hubungan yang baik atau diplomatik (menurut istilah Bahasa Asing)..diganti akan pengucap yang turut mewakili bidang penguasaan nya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Wali Kota yang sudi menjemput mereka.

dan setelah beberapa lama itu, dihidangkan lah makanan dan minuman enak lagi menyelerakan pada kami semua, sambil dihidangkan juga santapan pendengaran kepada kami nyanyian-nyanyian dari tetamu yang hadir..sehinggalah tiba ke giliran kami,
maka Hamba yang baharu beberapa suap makannya bangun lah menyertai sahabat lain untuk kehadapan dan mempersembahkan dwa buah lagu iaitu Lautan Kaseh serta Dendangan Kaseh Sayang diatas Niat menjalin hubungan yang paling kuat dari segala tali keyakinan lain, Kaseh Sayang sebagai sesama Agama yang begitu menekan kan amalan berkaseh sayang sesama Insan.

malam tersebut tamat beberapa ketika itu dan pulanglah kami langsung ke Rumah Gadang untuk berehat,
kerana ada jemputan lagi perlu dihadiri sebelah pagi esok.

sementara sahabat lain hendak ke lapangan acara Festival Serambi Mekkah. Hamba dan beberapa sahabat begitu tidak lah sehat maka berehatlah dipenginapan.

dengan mengakhiri chatatan malam ini, maka padamlah lilin semalam kerana itu sudah rasminya Sejarah.

ڤادوکا

Monday, July 11, 2011

Jelajah Dendang Anak (Terengganu-Padang Panjang) : Hari Satu

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

setelah hampir sebulan suntuk Dendang Anak disibukkan dengan persiapan untuk membantu para pelajar College PTPL Kuala Terengganu menjelang acara perasmian persatuan atau "Club Versatile".
Jemputan kami terima kali ini datangnya dari Bhumi Padang Panjang, sebuah daerah yang letaknya dihujung Sumatra Barat, Indonesia.

awalannya, adalah hamba menyangkai bahwa dengan pelbagai ikhtiar dan usaha untuk mendapatkan peruntukkan agar sampai lah kesana itu tidak menjadi.
dengan tiada disangka bahwa nusrah yang dikurniakan oleh Allah taala itu tiadalah diduga.
sehari sebelum acara tersebut, maka bersegeralah dariantara kami bersiap untuk ke lapangan terbang Kuala Lumpur..

Rabu, 6 hari-nya didalam bulan yang 7 pada tahun 2011.
Jam 0130 pagi kami bergegaslah dari Istana Seni, Kuala Terengganu.
walaupun keadaan agak kelam kabut, dan ticket penerbangan kami tepat jam 0830 pagi hari itu juga maka kami bersama pengangkutan kami yang 2 bergerak menuju bandar-udara LCCT.

sekitar jam 0640 pagi sampai lah kami, suasana sibuk yang sememangnya selalu lah kadarnya di mana-mana bandar udara,
ada yang hendak ke timur, ada pula hendak ke barat..kemana-mana sahaja lah tujuan mereka.
sementara ketibaan kami disambut oleh Angah & Mi Sawo yang juga akan ikut serta Jelajah kali ini.. Bagi mereka, ini seperti "Balik-Kampung" oleh kerana mereka juga adalah antara orang-orang Minang.

hal yang paling menyedihkan kami semua adalah didalam keadaan kelam kabut tersebut, passport Panji lesap dan hilang entah dimana letaknya. maka ditangguhlah akan dirinya untuk bersama didalam perjalanan ini. Tinggal-lah Aduka, Arjuna dan Indra sahaja dari Halqah Gendang kami.

oleh kerana hamba diberi amanah menjaga barang pribadi sahabat-sahabat lain, atas diri hamba-lah dipersalahkan dalam hal ini.

penerbangan yang sepatutnya jam 0830 pagi ditangguh kepada 1015 pagi.. maka kemudian kami turun-lah lagi dari pesawat tersebut kerana ada sedikit masaalah yang tak dapat dielakkan. penantian pendek menjadi panjang, dan berada didalam kadar tersebut hamba jadi terfikirlah akan apa agaknya rencana yang tersedia buat kami setibanya disana..

yang hamba tahu, Padang Panjang itu antara tempat sejarah usul "urang Minang".
yang lebih awal dari penubuhan Negeri 9 yang terletak di Tanah Melayu.
dan acara bertajuk "Festival Serambi Mekah" ini diadakan secara tahunan, yang ambe kira ia adalah salah dari satu usaha mengangkat martabat seni budaya yang memuji dan memuja Tuhan yang maha Esa. Jika dimengertikan Serambi itu tempat menyambut tetamu dan Mekah adalah tempat suci buat mereka yang meyakini dirinya adalah yang Islam kemudian berIman.

celoteh diri hamba bersama sendiri buatkan mata terlena, sa-hingga dikejutkan oleh sahabat agar segera naik ke pesawat.

maka terbanglah angkatan Dendang Anak menuju bhumi "urang Minang"...

beberapa jenak ketika sebelum pendaratan, sudahpun kelihatan tersergam indahnya pemandangan serba asli dan terperlihara..
bumbung rebung rumah minangkabau berkeliaran bak tanduk kerbau.

"itu pengibaratan orang Minang dahulu akan prahu Nuh alaihissalam yang pernah datang ke puncak gunung ini bagi tujuan mengembalikan kembali kehidupan setelah banjir besar.."
tenang disapa Yang Dipertua Dendang Anak.

lantas hamba teringat pada kitab yang bertajuk Sejarah Sumatra yang dikarang oleh William Marsden yang ada mengisahkan hal ini berdasarkan bukti dan kesan-kesan peninggalan orang terdahulu..

dari Bandar Udara Minangkabau maka kami disambut oleh urus-setia Pariwisata Padang Panjang yang tlah pun menantikan kami sejak awal pagi lagi. Kami singgah di sebuah kedai didalam perjalanan tersebut, "Jus Apokat" yang jadi kegemaran sebahagian besar sahabat-sahabat..

selesai itu maka berjalanlah kembali menuju Rumah Gadang, dan disitu kami dibawa bersilaturahmi dengan Kepala Urusetia maka lebih terjalin lah kemesraan itu apatah lagi diraikan pula dengan hidangan Nasi Padang. kami yang sudahpun bergadang atau tidak tidur seharian kerana perjalanan panjang dari Terengganu ke Bandar Udara,Sepang sangatlah cerah kelihatan sebelum ataupun sesudah taam..

acara seterusnya dibawa kami ke ruang penginapan yang terletak lebih kurang beberapa batu dari Pengkalan atau "Kompleks" Rumah Gadang itu. Sesampai disana maka adapun pergi mandi dan bersiap untuk pergi mengadap wakil Walikota Padang Panjang, di Pejabat Walikota. dan sebermula kata-kata bermadah indah akan bahasa berbau Minang namun Melayu memberi pemahaman yang jelas betapa suka nya wali kota dan semua pengurus setia Padang Panjang bagi mengadakan dan sanggup bersusahpayah demi menjayakan Festival Serambi Mekah 2011 yang diadakan sebagai acara tahunan.

manakala ucapan ringkas dari Yang Dipertua Dendang Anak yang bermukadimahkan pengenalan setiap ahli Dendang Anak dan menyampaikan salam dari kerajaan Terengganu. serba sedikit penerangan atas nama Dendang Anak dan perjuangan Dendang Anak yang begitu ingin mengembalikan kegemilangan budaya yang meragakan kembali kesemua suku-kaum Bangsa Melayu dizaman anak cucu kelak.

walaupun banyak kata hendak disampaikan, namun begitu waktu yang ada begitulah cemburu dengan perjumpaan yang murni ini, dan bersalaman lah antara kami kemudian berangkatlah ke Lapangan atau tapak persembahan Festival Serambi Mekkah.

udara dingin seperti "Cameron Highlands" di Pahang dan pemandangan sepanjang perjalanan hamba saksikan sungguh aman, tenteram dan menelan segala macam kekusutan yang ditanggung.
"Alangkah enak andai kita dapat lama disini dan menyelami alam Minangkabau ini"..bisik hamba sendirian.

tidaklah lama sa-telah itu maka turunlah berpijak dua blah kaki di samping "medan" prang kami..sementara menunggu siap acara yang sedang berlangsung berlegaran lah sahabat-sahabat disekitar tapak tersebut. adapun yang dapat kawan baharu dan adapun dapat pengetahuan yang baharu, itulah kenyataan yang paling dasar dalam tiap kelana ditempatkan..

dan sesi cuba suara kami berlangsung, Malam Seribu Darjat dan WajahMu diputus oleh Yang Dipertua bagi mendapatkan keserasian yang beliau kehendaki diatas suasana..belum lagi apa-apa, sekitar pentas sudah dipenuhi masyarakat Padang Panjang dengan riak wajah yang ingin tahu apakah yang dibawa oleh orang dari Terengganu ini..menurut pandangan hamba dari atas pentas, begitulah gayanya..

selesai sebelum Azan Maghrib dilaungkan, maka pulang lah kami ke penginapan dan bersiap kerana malam itu kami akan membuat persembahan.

penatnya bukanlah kepalang, namun itulah Dendang Anak dan selama ini kami diajarkan, bersusah payah kerana kami bukanlah "artis" yang dibahasakan zaman ini namun adalah "orang seni"..maka dengan ketawa dan suka itu maseh setia bersama, bahkan yang tiadapun disedari adalah kemesraan yang dijalinkan antara kami, disebabkan hanya sebahagian kami terpisah selama di tanah Melayu kerana tugas masing-masing, pertemuan ini bahkan merapatkan dan memperkuatkan lagi hubungan yang berada atas nama Persahabatan..

Pakaian yang dikena akan malam tersebut adalah Hitam-Puteh, Lambang "Orang Terengganu".
berangkatlah kami kemudian menuju tempat yang tadinya kami tlah kunjungi, baharu sekerat jalan, kami terpaksa turun dan berjalan menuju ke pentas, kelihatan dari kedudukan hamba paling belakang sekali sangat gah.
Sepertinya benar kisah-kisah dahulu dimana orang-orang Melayu masuk dilautan manusia yang rata-ratanya sudah tidak lagi memakai pakaian bangsa mereka. Tiba ditepi pentas kami dibawa ke belakang pentas kerana maseh ada 2 persembahan pembukaan sebelum persembahan kami.

Sungguhpun pendengaran hamba sudah kurang mungkin disebabkan kepenatan, dari belakang pentas dapat didengari permainan alat-alat muzik yang enak bunyinya, hingga kedip mata adakalanya terpejam lelap seketika tanpa disedari..

Tiba giliran kami maka sebelum naik, Yang Dipertua memperingat akan kami semua dengan tujuan asal kedatangan, agarnya penyampaian itu tidaklah seperti berbohong ataupun serba kosong dikepala, Niat hingga Matlamat dibentang secara ringkas dan bersalamlah kami yang bersegera naik untuk tampil dihadapan "Urang Minang"..

Muqadimah awal seperti biasa dimulakan oleh Nadhim, juru-juru yang juga menggantikan tempat sahabat kami Pitung yang tak dapat bersama.

Maka sebermula itu Nazam dan Selawat Dzalim diudarakan,
diikuti Ulek Mayang..sebagai pesan dari Terengganu diakhiri dengan lagu Puja Puji.
menjadi kekaguman bathin hamba ketika beraksi diatas pentas itu adalah melihat sahabat-sahabat yang penat namun maseh punya tenaga yang baki juga dikorbankan demi persembahan yang paling terbaik ingin ditampilkan.
serba kurang kami dengan ketiadaan penyanyi utama, Bathin ataupun Wira atau Kasturi ditampung oleh suara Penghulu yang bermain Guitar yang dipinjamkan oleh orang Padang Panjang(kerana Guitar Penghulu tlahpun patah, barangkali ketika dibanting oleh pembawa bagasi waktu di Bandar udara tadi..wallahualam) dan paduan suara Tajul, Pendita dan Putra maseh membantu menyokong penyampaian suara hamba yang sememangnya sumbang.
sekilas lagi tatkala menunggu giliran lagu Puja Puji dimulakan, terpandanglah di mata hamba betapa kurangnya bilamana tiada pemain Rebana yang kedua-duanya sememangnya besar badanya..Makhdum di tinggalkan di Melaka manakala Panji pula kerana tercicir passportnya. Tinggal-lah Arjuna,Indra dan Aduka.
serba kekurangan kami sebegini buatkan hamba bertambah kagum dengan kesungguhan masing-masing..dan tak lupa bahwa yang memandu kereta dari Terengganu ke Kuala Lumpur itu pun antara kami yang berada diatas pentas tersebut juga.

Alhamudlillah wa Astaghfirullah,
maka tamatlah persembahan pra-tatap Dendang Anak pada hari pertama.

turun kami dari pentas, Pak Ibrahim dan keluarga berserta Inong atau Imah yang kami kenali sejak persembahan di Kerinchi dan Pelalawan tahun yang selepasnya.. dan apatah lagi setelah itu Urusetia mengajak kami untuk duduk bersama Walikota dan orang-orang pejabat Walikota di tengah Lapangan menyaksikan beberapa persembahan yang disediakan untuk malam itu.

selesai acara itu maka pulanglah kami dan berehatlah secukupnya menunggu Hari Dwa.
sementara hamba mencari titik noktah bagi mengakhiri hari ini dengan penuh kesyukuran,
diatas pertemuan Ya Wajid, Khamis, Hari Tujuh bulan Tujuh tahun dwa ribu sarathan usianya..
dibawah kekurangan adanya, mohon maaf.

ڤادوکا

Friday, June 17, 2011

Jlajah :Perkampungan IPT-IPTA, Kolej Yayasan Melaka

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

..susulan seterusnya setelah selang beberapa jangka masa, maka sampailah kami di Melaka Darul Salam, andai direnung jauh semenjak awal tertubuhnya Kumpulan Dendang Anak,
kami jarang ke sini,
suatu tempat, kami anggap "Madinah" kepada wilayah Nusantara suatu ketika dahulu dimana pemerintahan Islam yang beraja subur diamalkan,
dimana-mana kami berpengkalan, jika riwayat Sejarah hendak didengar akan para pencari atau peminat lagu-lagu kami. Tiadalah sah andai tak menyentuh bahkan sedikit jumlahnya mengenai Melaka. Kerana ternyata inilah titik "koma" atau tangguh kisah Sejarah kita sebelum keruntuhan, penjajahan, atau disebutlah "Era Kolonial"..

Sejak Pesta Gendang Nusantara ditahun 2008, dimana kami dijemput kesana bagi mewakili Terengganu dan Malaysia. Melaka sering kali pula kami datangi, bagi mengisi atau mengadakan persembahan khas bagi sesebuah majlis Khursus.

Tahun berganti tahun dan akhirnya Kolej Yayasan Melaka menjemput kami dan memohon agar kami mengadakan suatu acara untuk mengisi rancangan harian mereka selama 3 hari tersebut, maka setelah bermesyuarat antara kalangan Sahabat sebagai satu Jemaah, Usul lah pula akan keputusan itu kepada Yang Dipertua kami agar mengadakan suatu "Bengkel Muzik" dan dipecahlah akan ia kepada kelompok kecil agar 200 lebih-kurang peserta Institut Pengajian Tinggi atau IPT yang ada dapat membuat persembahan masing-masing pada malam penutup.

Tungkus lumus, hempas pulas semua tampak kelam kabut adakalanya, kerana ia adalah perancangan yang sepatutnya mengambil masa paling kurang sa minggu, namun dijayakan dalam masa 2 setengah hari. Masing-masing dengan ilham masing-masing maka disyorkan kepada Amir kumpulan yang dimana ia diketuai oleh antara kami juga..

Sememangnya satu kepuasan andai kita letak pada Niat untuk bersuka ria, namun akan kemana agaknya kepuasan itu hendak dihadapkan? Memandangkan kita lebih arif dalam membanding-tara kan antara Nafsu atau Hati, pasti dipilih Hati, atas alasan Perasaan lebih abadi, ia kekal andai diperlihara dengan penuh pengorbanan.
Sementara Nafsu ada kepuasannya, walaupun Nafsu yang paling tinggi, tetap ada puasnya, ada penghujungnya.. Makan makanan yang sedap walau berdulang-dulang hidangan, maseh-lah akan bertemu dengan Kenyang. Maka kita berhenti, Nikmat itu tiada Istimewa kerana ia sudah kita lalui hari demi hari, justeru memahami maksud tersebut pun bakal kita dapati bahawa ia adalah suatu kerja yang bodoh dan memenatkan(bagi pandangan hamba lah)..

Mana lah tidaknya, dah tahu apa dihujung maseh kita berjuang demi suatu kepuasan yang tidak abadi, sedangkan perjuangan memiliki Cinta adalah paling sejati..Andai letaknya tepat kepada Illahi.

Kita akan terus menerus berjuang untuk mencari dan mencari sehinggakan kita mendapati ia adalah suatu dasar perjuangan, tujuan, ataupun Niat harian kita.. Sungguhpun jelas dan benar, ia adalah pengamalan yang memenatkan, meletihkan, lelah dan menyeksakan adakalanya, namun begitu, dinding Perasaan kita sendiri akan makin menebal,
hingga mampu melaksanakan hal yang kita dari dahulu tak ketahui dapat melaksanakan. Akan tetapi, demi sesuatu kuasa yang nyata diperasaan, kita berjaya melakukannya.

Kerana memang jelas bahwa perjuangan kita adalah demi hal yang tiada. Rasa Cinta,Kaseh ataupun Sayang yang hadir dalam bentuk perbuatan, bukannya barang agar dibuktikan "ini adalah Kaseh".
Walhal, untuk menceritakan-nya sekalipun tak akan ada yang serupa, jika ada mungkin ia tak sama. Inilah Rahsia, dan kerana Rahsia lah sesuatu hal disebut Istimewa.

Buat kami, Dendang Anak adalah perjuangan yang sangat Istimewa, kami tak perlu mengambil kira siapa yang akan mendengar dan sudi menghargai, jenis lagu ataupun kesesuaian lagu yang didendangkan, ternyata lagu-lagu yang digarap dan dipersembahkan khas oleh Yang Dipertua adalah demi anak-anak. Penerus dan bakal pemimpin Islam akan datang.

Dan setelah susah payah tersebut, Dendang Anak berjaya menubuhkan wakil-wakil Dendang Anak Melaka yang terdiri dari kalangan pelajar-pelajar, bahkan membuktikan bahawa Budaya itu benar "Raga" kepada Bangsa.
Baik pelajar yang berbangsa Cina, India mahupun Melayu. Acara tersebut dijayakan dengan penuh warna warni dan kemeriahan.

Ambe tertanya, "Dimanakah Penindasan Orang Melayu?"..Lagu tlah menyatukan mereka, Nyanyian tlah menandakan seterunya kita, betapa taat dan murni sebenarnya hati-hati kita didalam mengikut setiap rentak tarian ataupun degupan lagu-lagu..Bahkan mereka masing-masing kekal dalam berpakaian Sari bagi pelajar India, Cina berbaju Cheong Sam mereka, Melayu dengan, Baju Kurung, Sampin dan Tanjaknya..Apa kami pakai adalah kami sebagai Bangsa..
andai AGAMA lah menjadi hal pertikaiannya, SATU kan lah mereka.

demikian tamatlah kesah serba ringkas ini. jadi lah renungan.


ڤادوکا

Saturday, April 16, 2011

Jelajah Dendang Anak ke Kota Singa (Terengganu-Temasik) : Hari Tiga

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

demikian turunlah ia hari ke tiga dimana sepanjang hari kami berlatih dan santai,
satu peluang yang baik buat hamba menurunkan sepenggalan kisah dan pedoman yang mungkin diantara kita pernah dengarkan kisah Tun Jana Khatib yang usulnya dari Pasai, adalah beliau Ulama yang alim lagi bijaksana datang menguji Raja Singapura ketika itu pada karamah yang dikurnia akan nya..

Oleh kerana dirasakan tergugat, maka Raja Singapura mengarahkan agar menghukum Tun Jana Khatib mati.

namun sebelum dihukum, Tun Jana Khatib telahpun berpesan yang adapunbunyinya begini:

"Hai kamu semua!
ketahuilah kamu semua.
Aku relakan kematian ini! Tetapi raja yang zalim itu tidak akan terlepas begitu sahaja.
Dia hanya membayar harga keatas kezaliman itu... Dan percayalah Singapura ini akan huru hara! akan ditimpa malapetaka yang dahsyat!"

setelah itu berlakulah Kisah Singapura Dilanggar Todak. Sepertimana dilakonkan semula oleh Allahyarham Tan Sri Puteh Ramlee.

Adapun sebahagian dari kita menganggap kisah ini adalah "Dongeng", Karut, Rekaan dan sebagainya,
itu terpulang, namun disini hamba ajak pekanira sekalian baik rupa menelaah seketika akan nilai yang ada.

Hamba meneliti akan ia dalam menuntut pelajaran, bagi menyampai akan sa pesanan, menghormati orang yang tua, bermakna mendengar akan kata orang yang tua itu keperluan kita.

Kisah demi kisah diperturun ini dari turunan ke satu turunan adalah demi satu pengajaran.

Bahwa disetiap pedoman atau iktibar yang kita diajar renung kembali itu ada nilai tersendiri, Pemerintahan selepas satu pemerintahan, dari moyang hinggalah kita berada didalam suasana yang memungkinkan kita saling berselisih faham dan mempertikai akan ia berdasarkan perbandingan-perbandingan kita. Hala jari kita senantiasa merujuk pada orang lain, barangkali menurut penilaian mata hamba..itulah "politik" kita. Yang sering dimenangkan kerana ia baik, atau sering dihujahkan kerana kita pada menyangka lawan pedang kalam kita terhadap kekejaman semata-mata..

namun apalah buktinya yang begitu ingin buat kita mengangkat keagungan makna "menang", jika kemenangan itu maseh disambut dengan kematian?..kita tewas dengan kesakitan, bermakna kemenangan itu hanyalah sementara rupanya.

Pinjaman.

walau begitu, penyakit "Sombong" tetap lah berterusan. Seperti hamba yang dahulu pernah menyangkal bahwa Iblis atau Syaitan atau Dajjal lah dalang kepada kesombongan, hingga menyesatkan jagad Adam.
Tuduhan hamba ternyatalah salah sama sekali..
Iblis pernah Sombong,
namun kesombongan Iblis hanya sekali, disadarkan laku kesombongannya setelah dia dilaknat..kerana dirasakan dirinya lebih hebat jauh dari Adam, perintah sujud di dapati Ingkar maka Allah taala memurkai akan dirinya.
dari Azazil, kepala atau amir yang dipilih para malaikat agar memimpin mereka semua..kepada Iblis, bapa kepada Usul kejahatan,kezaliman,ketaghutan atau kebathilan.

Andai-lah Iblis maseh lagi "Sombong", pasti Iblis tlah melanggar peranan-nya sebagai Iblis..
Hingga hari ini kiranya hamba, rasanya dia maseh melaksanakan tugasnya. Menjadi watak Jahat,Kejam,Zalim dan Ketidak-adilan..

Siapalah yang diberi pilihan, sementara siapa lah yang tidak diberi pilihan untuk merubah nasib sendiri?

Setahu hamba yang serba Jahil ini, hanya Jin dan Manusia diberi Pilihan.. Makhluk-makhluk Allah seperti Malaikat,Syaitan,Hantu bahkan Iblis sekalipun tidak ada pilihan kecuali melaksanakan apa diperintahkan..

Antara Jin atau Manusia,
Sebaik-baik Jin sudah kita tahu, adalah menyamai sejahat-jahatnya Manusia, sementara Manusia yang terdiri dari keturunan Adam hingga Muhammad jlas tlah mendalilkan keamanan,kedamaian,kesentosaan..

Martyapada,
kita saksi bahwa yang mampu dan diberi mandat kekuasaan Memilih itu adalah kita, anda, yang hamba sebenar sahaya!

mengapa Sombong?

..perjalanan Kami alhamdulillah belaka, selesai persembahan maka berangkatlah terus kami ke Johor untuk meneruskan klana kami menuju kota Melaka bagi mengusahakan Program Perkampungan IPT, bertempat di Kolej Yayasan Melaka.

buat kali ini. mohon berhenti.

ڤادوکا

Friday, April 15, 2011

Jelajah Dendang Anak ke Kota Singa (Terengganu-Temasik) : Hari Kedwa

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

hari dwa,
sa telah daya dikerah separuhnya hingga jaya kami bertapak kembali disini kali ke dwa,
maka ini adalah persembahan pra-tatap di Singapore Expo Hall.
Jam 11 pagi maka sampailah kenderaan yang datang menjemput kami untuk ke sana, 20 detik lama dari 60 degup nadi biasa maka sampailah disana.
Alangkah ramai benarnya manusia, saling bersaing didalam meniaga, dan tiada lupa serba aneka nya yang ada,
yang hadir atau yang berkunjung. Tiada lekangnya orang yang berdagang dan berunding dan segalanya berkena mengena dengan acara yang paling suci dan kemuncak yang paling dibenci oleh Iblis diatas pengulangan Kisah Adam dan Hawa.
dari persiapan Merisik, Akad Nikah, Sambut Menantu atau Bersanding semuanya tersedia adanya disitu, menunggu dan berharap agar dipilihlah mana yang lebih baik agar disempurna akan Majlis Perkahwinan bagi sesebuah pasangan Raja Sehari itu nanti.

Dipertengahan dada keramaian ada degupan nadi yang dari luar dewan itu kedengaran pelbagai corak getaran yang disengaja alunkan, berselang seli dengan ucapan atau sapaan atau galakkan atau dorongan dari pihak penganjur kepada semua yang datang. Disitulah pentas utama buat semua, baik peniaga ataupun pembeli berhimpun serta bertumpu pada satu tumpuan, terserahlah apa rencananya.

Setelah kami siap menyimpan barang dibelakang pentas, maka duduklah kami beramai-ramai dihadapan pentas bagi menyaksikan perbahasan antara kaum Adam dan Hawa. Bertanyakan soal Cemburu ataupun soal "siapa yang melebih?" dan sebagainya, yang barangkali sudah selalu kita dengar dimana-mana siaran akhbar bunyian atau tatapan.
Disitu hamba duduk didalam lautan orang-orang yang saling gelak ketawa melihatkan perbahasan antara wakil Lelaki untuk berbahas dengan wakil sebelah Wanita.

Jam hampir sahaja mengarahkan jarum penitinya ke arah angka 4 menandakan ia adalah waktu buat Dendang Anak beraksi pertama kali dihadapan rakyat Temasek.
Maka hari Kedwa ini berlangsunglah persembahan yang dinanti-nantikan..Uji Suara kemudian diikuti lagu Pertama dari kami "Bakawali" kemudian "Ulek Mayang"..maka tahu lah bahwa kami datangnya dari Terengganu.

Kemudian yang menyusul adalah bonda hamba dan Putra, suatu ketika dahulu seawal tahun 1970 adalah sa orang seniwati yang terkenal di Temasek. Adapun sebahagian besarnya yang bertandang ke acara tersebut adalah untuk mengubat kembali rindu mereka terhadap penyanyi, pengacara dan pelakon yang bernama "Elmi Salleh".. Berkumandanglah lagunya yang pertama bertajuk "Sepasang Mata Hati" dan "Ku Berangan-angan" diiringi dan dimainkan oleh para sahabat hamba.

Suasana ketika itu begitulah ceria, adapun mungkin terimbas kembali kenangan lama mereka dalam lagu-lagu nyanyian "Elmi Salleh".... itupun baharu 41 tahun lamanya, sudahpun dari hamba melihat bagaimana rindunya manusia pada kenangan silam mereka yang bermandikan suka duka yang tiada akan dapat menggantinya..
Hamba terfikir bagaimana agaknya "rindu" kita kepada kenangan yang lebih lama nenek-moyang kita hadapi suatu masa yang dahulu kala, hingga melahirkan titisan-titisan mulia sepertimana dirinya kita, dan alangkah sayu kiranya kesenangan yang mereka korbankan semata-mata demi menyediakan katil berserta tilam,selimut dan bantal yang empuk agar kita dapat tidur dengan lenanya.. Sedangkan kita tahu, Kelmarin hari itu Hadiah, Hari ini adalah Anugerah dan Esok masehlah Pasrah.

Apa benarkah Sejarah itu bosan buat kita kerana ia kisah yang panjang dan memakan masa yang panjang agar mengetahuinya?
...

Hamba di panggil oleh Shah Ibrahim, sa-orang juru acara yang terkenal di negara Singapura. Tampil mewakili para sahabat lain untuk memperkenalkan Dendang Anak kepada orang ramai. Maka ceritalah hamba dalam kadar yang kurang-lebihnya berkena mengena dengan kami.

dan pada itu berakhirlah setelah kemeriahan Bunga Idaman dan keriangan malam yang digambarkan melalui dendangan Puja Puji.

Setelah selesai semuanya, maka berangkat pulanglah kita semua ke penginapan Pasir Ris Costa Sand Resort. Penat namun sedikit berpuas hati terzahir dari bayangan wajah para sahabat yang mulia dari hamba. Berehatlah sebaiknya malam itu sementara kelana hamba maseh belum selesai, dengan beberapa keping wang dan bersama Panji dan Indera maka kami ke pekan atau disini sebutnya "Downtown Pasir Ris" dibawa oleh Lenny dan sa-orang lagi kenalan baharu kami, Inna.

Tatkala berjalan kami menuju disana, banyak cerita dikongsikan bersama, antaranya adalah berkisar kehidupan yang selama ini kita dipisahkan oleh tanggungjawab dan tugas. Lenny, yang 3 tahun lalu kami kenal di Indragiri Hilir, Tembilahan, Indonesia melalui rombongan Sri Warisan milik Ibu Som Said dan Abang Mat.

Dan setelah itu, Lenny berseorang diri membawa dirinya dari kota Singa demi Terengganu untuk berlatih bersama kami, adalah kerana dia adalah sa-orang penggesek biola yang agak terkenal di Singapura sebagai guru muzik dan penggiat seni. Hendak dijadikan ia sebagai satu "restu" pada pertemuan yang mulia, ada persembahan di Terengganu ketika itu di Taman Syahbandar. Maka bersama lah kita sebagai satu kumpulan. Alunan yang berganding antara gesekkan biola Lenny dengan tiupan seruling Putra menjelaskan betapa "dalam" sebenarnya sesebuah lagu hingga adapun banyak kisah kita dengar atau mungkin terlihat kesan ke "dalaman" nya pada diri, yang memungkinkan seseorang itu gila atau pilu jiwa nya dalam kenangan yang tertentu diatas maksud tertentu..dan sebaliknya. Sekali sekala hamba dapat merasakan kejujurannya didalam mencurahkan perasaannya melalui sentapannya. Mungkin sekali kerana pengorbanannya pada waktu itu yang ada persembahan di Singapura pada hari yang sama, namun dipilih untuk bersama Dendang Anak.

Kemudian, pulanglah dirinya.. Khabar dikirim tak seindahmana yang diinginkan oleh hasrat kami semua yang mengharapkan agar kita semua bersama-sama selamanya. Kini kami bersua semula, dan berbalas kisahlah diantara kita sepanjang ketiadaan.

Pekan Pasir Ris sangatlah sibuk, walaupun sudah hampir lewat malam. Hamba yang sudah kehilangan sentuhan Kretek Gudang Garam akhirnya terjumpalah disatu kedai, namun samanya tidak. Kerana tak punya pilihan maka dibeli sahajalah, baik ada dari tiada terus.

Selesai Lenny membelikan barangan makan malam untuk para sahabat yang berada di penginapan. Kami pulang terus..

Dan malam tersebut berakhir dengan senyuman. Walaupun didalam diri kita semua tahu, bahwa esok penuh dengan cabaran.

ڤادوکا

Saturday, April 9, 2011

Jelajah Dendang Anak ke Kota Singa (Terengganu-Temasik) : Hari Pertama

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Kali ini perjalanan kami bermula dari awal pagi setelah Matahari mencelikkan harinya menyuluh kehidupan sekalian makhluk siang.
Pesan amanat Yang Dipertua kali ini kuat menekan kan perasaan risau kami pada mengembalikan Sejarah kepada sekalian rakyat Temasek. Dan pada meraikan mereka semua diatas ruang dan peluang yang diberikan..
"Ziarah" kali kedwa kami ke Singa-pura ini memanglah satu Al-Kisah yang menyambung kembali jalinan persaudaraan.. Bukanlah ia satu percaturan rawak yang biasa kita namainya "Show" namun ia adalah satu persembahan yang digelar akannya "Maal".

Waktu 11 maka bergeraklah kita menuju ke Stulang Laut, Johor Darul Ta'zim. Pada permulaan perjalanan sudah ditemukan ujian, iaitu kenderaan Pendita mengalami kerosakkan hingga mengeluarkan kepulan asap tanda amaran bahwa kereta ini patut digantikan, mujur sekali ketika itu kami maseh berada dekat dengan Kuala Terengganu, walaupun memakan masa hampir 1 jam untuk sampai kenderaan yang satunya lagi.

Hentian demi hentian, oleh kerana kami sebenarnya tiadalah biasanya memandu jarak jauh pada waktu siang. Hingga mendung di Pahang Darul Makmur kami lewati begitu pekat gelapnya, adakala terlihat seperti malampun ada.
Azan Maghrib berkumandang di bandar serba sibuk dan sungguh sesak, adi kerana Johor Baharu yang letaknya diantara Melaka dan Temasek atau Singa pura, dari dahulu hingga kini tiada pernah hilang kesibukkannya. Ia adalah laluan yang menjabat tangan para pedagang dari tempat lain, barangkali kerana itu mungkin ia digelar "Darul Ta'zim"..

Andaikata di tafsir akan ia dari Bahasa Arab, Ta' Azim adalah Hormat atau Memuliakan. Sesuailah Negeri Jauhar yang dikenali suatu masa dahulu ini meraikan sesiapapun yang bertandang kemari diatas dasar persaudaraan.
Maka sampailah kami waktunya yang 730 seraya bergema melatanya Azan Solat Fardhu Maghrib. Diatas persaudaraan yang tlah dijalan sebelum ini dengan penjaga Surau An-Nur di daerah Stulang Laut, maka dibenarkanlah kami menyimpan kenderaan disitu selama ketiadaan di Malaysia(yang kini kita kenali).

Rizal adalah nama penyambut atau istiqbal yang bakal membawa kami semua berserta barang-barang kami, agar dapat melintasi seberang tambak sana dengan menaiki kenderaan besarnya. Buat diri yang terbiasa dengan panggilan serba nama-nama namun tidak tahu apakah maksudnya, Rizal atau Rijal adalah "Pemimpin" didalam ertikata bahasa Arab. Buat hamba, ia adalah suatu hal yang bukan kebetulan, ia sebuah tanda yang baik buat semua oleh kerana Niat kali ini adalah ber"tajuk" kan lagu "Usul Bangsa" dimana berkisar bagaimana permulaan Bangsa.

Dan tiada kiranya bangsa mereka itu apa, yang rumpun utama terawal pasti ada sa-orang pemimpin,
Arab ada Sultan nya dizaman dahulu, adalah terbukti adanya "Sultan" baikpun yang zalim ketika Firaun bermaharajalela ataupun Raja Agung Sulaiman Alaihissalam.
Bangsa Cina yang ramailah sungguh diantara mereka yang terdiri daripada nya para cerdik cendekia, ahli fikir hingga tabib tersohor dengan menjadikan Zhao dari Han sebagai "Emperor" mereka ataupun Kaisar Yuan dan sebagainya menunjukkan Cina pada zaman dahulu pun sudah memperakui akan pemerintahan sebegini adalah terbaik.
Bangsa India dengan Maharaja-maharaja mereka pada seawal usul nya era Mahabharata sebagai contoh yang paling tua pernah ditemukan oleh Sejarah sendiri menyatakan maseh yang kekal menjamin kehidupan hingga kini adalah kerana susun atur pemerintahannya berpandukan hanya satu pemimpin utama.
Bagaimana tamsil kita terhadap sejarah Melayu pula? Layak atau tiada layakkah bagi kita pun ada Sultan atau Agung atau Duli Yang Maha Mulia sepertimana adanya Bangsa lain?
Bukankah tujuan utama diciptakan Bangsa ini adalah demi suatu perkenalan didalam mengertikan betapa istimewanya perbezaan yang ada?
Hamba ajak pekanira sekalian tenungkan sedalam-dalamnya dan lihat pada pantulan air yang jernih di lautan atau sungai yang tak terancam oleh alunan supaya pekanira jelas menilik diri empunya mengenai nasib malang yang kita sendiri merelakan ia agar terjadi.

Setelah sampai di tambak agar segala laporan diri itu sah untuk merantau di negeri orang kini, lega-lah kiranya. Kerana sudah dwa kali buat pengalaman hamba suatu masa dahulu, ditahan oleh pihak "immigration" dan di panggil masuk ke kamar soal-siasat hanya kerana gambar hamba berjanggut sejemput dan bercelak tebal ketika itu. Dah jadi suatu hal yang kecoh..Dengar khabar dari rantau, pengalaman di Negara Ratu Elizabeth lebih dahsyat bilamana orang beragama Islam sudahpun disoal sepertinya sa orang penggugat Negara. Sejauhmana kebenaran tersebut elok kita tanya yang pernah, jangan didengarkan yang tiada kemudian terus oleh kita percaya sebulat-bulatnya. Itu perilaku zalim namanya. Dan sebagai orang yang Islam, Hukuman bukan yang senang-senang dijatuhkan, Islam yang sebenar mengelak perpecahan, Islam yang sebenar menolak sama sekali sengketa. Islam luas.. dan boleh sahaja dikatakan mendendangkan alunan Lagu yang berunsur ketuhanan itu satu Dakwah, dan orang yang berpergian atas nama Dakwah, seandainya mati barangkali juga Jihad. Namun begitu dari hamba, tiadalah berani meletakkan siapa yang masuk Syurga atau tidak, itu kerja Tuhan. Kita bukan Tuhan.

Dari gerbang utama masuk Singa-pura, maka bergeraklah kenderaan yang dipacu oleh Rizal terus ke "medan" juang kami. Iaitu di Singapore Expo. Namun setengah kiranya perjalanan, hamba terima panggilan dari Rozi-salah sa-orang setiausaha yang menguruskan kami disana, memaklumkan bahawa sesi uji swara ditangguh hingga ke esok kerana sudah lewat malam. Maka kami langsung ke penginapan di sebuah tempat peranginan daerah Pasir Ris.
Walaupun berlaku sedikit permasaalahan, segera ia dibantu oleh saudari Maria dan Suaminya yang menyediakan makan malam serta tilam bantal yang cukup buat kami semua.

Malam ini memanglah penat, sungguhpun begitu menunggu yang paling dirindui itu lebihlah dari tenat,
hamba ajak pekanira sekali lagi beringat, diatas catitan yang tersirat keringat..

panjang umur maka bersualah lagi esok hari,
bi iznillah.

ڤادوکا

Sunday, March 27, 2011

...dan ia bukanlah Bala

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

sekian lamanya sudah tidak hamba menurunkan catitan buat Blog Dendang Anak ini,
pada diri, mungkin alasannya bermacam-macam namun pada hikmah,
hamba faham bahawa ruang yang diberikan oleh yang maha pemberi peluang..

Hamba tertarik benar untuk menceritakan kesah yang berlaku pada kita kebelakangan ini,
Peristiwa perbalahan antara kita sesama kita yang tiada akhirnya,
menegakkan puak ini dan meruntuhkan puak itu..apa sebenarnya kita mahukan?
yang meng Api- apikan kita sesama kita boleh jadinya Iblis, Syaitan, Jin atau Dajjal, namun wajarkah kita menudingkan jari Syahadah kita kepada mereka sedangkan Kejadian Azazil yang pada awal kesah sa-belum kejadian baka Muhammad yang bernama Adam, ia adalah Beliau sewaktu masa yang lamanya dahulu, bahkan menurut kata yang dikesahkan beliau di syorkan oleh para Malaikat agar diangkat menjadi Ketua kepada sekalian nya,
pedoman ini pun dari dahulu kita sesama kita pernah dengar atau baca sendiri. Untuk fahaminya, adakala kita memakan masa yang lama untuk mengertinya, kenapa begitu? Bukankah para Malaikat sudah dicipta kan oleh Allah taala menjadi makhluk yang paling taat dan tak bernafsu? Masehkah mereka memerlukan pimpinan? Mengapa tidak cukup buat mereka duduk langsung dibawah pimpinan yang Khaliqul Alam? Sedangkan Azazli bukanlah yang sama seperti para Malaikat, kejadian Azazil adalah dengan Api yang menyamai Jin pada apa kita bacakan dalam kesah-kesah, riwayat, sahih-sahih, Quran ataupun hadist.
Bagi diri hamba yang serba kosong fahamannya, berpendapat..ini adalah pengajaran yang dari pertama kali kejadian. Agar diingatkan dan diingatkan dan kemudian jadilah akan ia sebuah bentuk susunan yang harfiah Arab memanggilnya Din.
Dan pada mereka yang pernah mendengar kata orang "Ad-Dinu Nassihah"(Agama itu Nasihat), mereka akan tahu bahawa inilah tujuan sebenar kenapa Agama itu perlu dan wajib dituruti buat mereka yang mencari Tuhannya.
Namun disebabkan Azazil dipilih oleh sidang Mesyuarat para Malaikat dan disyor akan mereka pada Allah taala untuk dipimpin,
diperkenankanlah oleh Yang Maha Mulia, jadilah beliau Pemimpin buat mereka.
Sa telah kian lama penciptaan Manusia, maka Adamlah yang pertama,
disuruh sujud oleh Allah taala kecuali Azazil membantah, seraya berkata "mengapa harus aku tunduk pada dia sedang aku adalah ketua para Malaikat?"
durhaka lah ketua para Malaikat diatas ketidak taatannya, jadilah Iblis.
dan bersumpah-lah ia mengajak jagat bani Adam menjadi teman-teman, sahabat handai, rakan sejawatannya setelah kiamat kelak Dunia,
dan abadi didalam Neraka sebagai pilihan..maka laknatlah ia dari SinggahsanaNya, usir keluar dari IstanaNya.
wallahualam bi sahwa'.

Namun mengapa harus ia diceritakan tidak lah jelas, sekadar sejarah dari anggapan kita mungkin,
tuan bahkan puan yang dimuliakan oleh Allah taala sekalian mungkin tiadalah berminat seandainya menceritakan kesah seseorang yang tidak dikenali langsung, pelakon yang terkenal kita minat untuk tahu ada kerana pengetahuan kita terhadap nafsu mata yang memandang, nafas yang kencang dan sebagainya. Mungkin..
akan tetapi bagaimana nasibnya pelakon yang tidak terkenal yang sekadar hadir di pementasan kampung..itupun jika diterima oleh orang kampung, atau di dalam kamar sendiri dihadapan cermin hingga menyatakan dirimu yang sendirinya?
bahkan pelakon paling hebatnya bukanlah yang menjadi percakapan orang ramai, yang kita tahu suatu hari bakal lahir pelakon lain yang menenggelami pelakon tua tadinya, itu kebenaran dan kenyataan pada apa kita pernah saksikan sepanjang kehidupan.
Akhirnya yang kita tahu hanyalah sendiri ini tiada dihargai oleh diri,
dan andai tidak bersahabat dengan mereka yang hampir dilucutkan pakaian ke Duniaan diri ini yang dinamai Jasad, adalah kita akan tahu bahawa sa nya penyesalan bermula disitu, saat sakit hampir bercangkerama dengan diri, tiadalah kenal ia tua atau muda. Mati maseh kekal.

Baharulah setelah itu sadar, Pelakon terhebat itu adalah diri. Bukanlah watak seperti Hang Tuah, Sang Nila Utama, Tun Perak, Pangeran Diponegoro atau Sunan Kalijaga bagi "inspirasi" laki-laki jantinanya sementara watak seperti Puteri Gunung Ledang, Puteri Hijau, Tun Teja atau Putri Lindungan Bulan bagi wanita.. Namun tidak menjadi kesalahan seandainya ingin dijadikan tokoh yang dikagumi selagi tidak melangkah ke garis yang ditentukan Agama.

Sebabnya,
merekapun bermula dengan mengenali diri, kebolehan diri mereka diserah kepada siapa, untuk siapa, agar apa, demi apa dan sebagainya. Apa penting disini adalah sejauhmana mereka mengenali diri mereka sebagai apa,
menggunakan tangan bagi tujuan apa, mata agar dilihat apa, hidung dihidu untuk dikenal apa, telinga mendengar atas tujuan apa dan yang penting adalah "hayat" mereka pada apa dikurnia.
Andai kepala kita berotak, pasti tahu bahawa gunanya ingat, ingatan memerlukan akal dan mulut yang menggetarkan bunyi tiada semena-mena diperbolehkan bercakap, pasti tahu dimana gunanya kata dari kalamnya, manakala didada punya jantung yang menjadi nadi sekalian tubuh ada degupan tertentunya..namun pernah kita terfikir, dengan kecanggihan barang cipta kita panggil "teknologi" dalam perubatan, yang bersependapat bahawa Jantung maseh belum penting, Otak lebih penting. Kerana bapa bagi segala hayat "organ" tubuh badan adalah otak. Berhenti nya Jantung tetap ada peluang walau beberapa minit untuk menukarganti atau membaiki kerosakkan Jantung. Kata para tabib-tabibah atau "doktor" : "Selagi otak berfungsi"..
itu salah satu contoh bagaimana akal kita ditipu, kita andaikan yang dibawah lebih penting sedangkan yang paling tinggi atas bahagian tubuh kita panggil Kepala adalah Mahkota bagi sekalian "rakyat" tubuh anggota.
Inilah betapa Maha Halusnya diriNya.. yang Maha Memperbaharui segala yang Baharu.
Namun kita lupa, dimana Hati sebenarnya berada, ada yang menyangka Hati juga adalah "organ" menurut kata "Mat Saleh" yang bijakpandai kata kita, sedangkan namanya "Liver" bukanlah Jantung kerana kata ahli pandai itu lagi kerana Jantung adalah Heart.
Salah faham seperti ini menurut hamba begitu bahaya, kerana kita maseh ada Roh pada kejadian diri,

Roh pun ada "organ-organ" nya bagi hidup dan Hati atau Kalbu inilah "Jantung" bagi Roh.
Akal itu "Otak" pada Roh.. Sebab itulah timbul peribahasa "Mati Akal" bagi maksud pada orang "Gila",
BUKTIKAN jika Akal adalah "organ" atau urat atau cairan atau apapun dalam perubatan yang membuatkan manusia senantiasa berfikir dan digelar waras.

kemudian Kalam itu "Sua ra" pada Roh..
BUKTIKAN punca Kalam yang menerbitkan bunyi yang berlainan dan berjenis-jenis jika ia datang dari "organ".
Nyanyian yang merdu dikata kita merdu, mengulik, mengusik..mungkin sahaja kata kita "teknik nyanyian" membuatkan ia lunak dan sedap dipendengaran telinga. namun begitu, atas apa dalil kita katakan kesedapan suara itu? banyak ibaratnya, buluh perindu orang dahulu panggilnya, buluh perindu pun sekadar berkerongkong dan berlekuk-lekuk mungkin. Perlu diingati bahawa tak semua buluh bunyinya sama, bermakna ia melalui suatu punca geseran angin yang menyebabkannya begitu. namun soalannya adalah dimana letak Suara jika kotaknya dikerongkong?

kemudian Hati atau Kalbu bagi "Jantung" Roh..
BUKTIKAN apa yang hamba persoalkan tadi. Kerana akhirnya kita akan mendapati yang sama. Ia sebenarnya tiada, hanya mungkin "konsep" atau panduan akal kita menggunakan tamsilan orang terdahulu menamainya Hati sedangkan yang benar itu tiada. Jika ada zahir didalam "organ" badan, BUKTIKAN dimana tempat rasa Sedih, Senang, Suka, Sakit, Pedih dan sebagainya..Pergilah ke "farmasi" bagi menuntut sebotol atau beberapa butir atau ubat sapu atau suntikan cecair bagi ubat yang namanya Rindu. Pasti tiada, kerana penawar pada kebenarannya harus dicari dan diusahakan.

inilah antara yang buat kali ini dikongsikan bersama.
Tujuan utama adalah untuk kembali mempersoalkan "watak" mana kita pilih untuk diri kita agar jadi pelakon yang terbaik buat sesama kita, kehidupan, Nabi, Rasul dan Tuhan yang kita diajak untuk yakin dan percaya. Sa-belum tirai pementasan kita dibumi milikNya dan disingkapkan tirai utama yang sebenar-benarnya utama.

kerana menjadi sa-orang pelakon, mungkin hak orang ramai itu penentu lakonan, namun penentu sebenar penentu itu adalah waktu ditutup pintu, ia sendirian, baharulah tahu bahawa lakonan bukanlah satu kepuasan..walaupun banyak jawapan diberikan pada hamba oleh rakan-rakan seni yang juga bertugas sebagai pelakon yang mendapati ia sebagai kepuasan, bila diajak diam sebentar dan fikir kita ada lebih hebat, lebih "popular" atau mahsyur atau lebih maha anggun diriNya akan mendapati bahawa tiada nikmat nya mendapat satu rasa keikhlasan yang jadi rahsia terbesar buat diri sendiri dengan Tuhan.
Menjadi rahsia, istimewanya tiada seandainya ia benar rahsia, dan rahsia TIDAK sesekali dicerita atau dihebah-hebahkan kerana barangkali orang lain bakal ketahui ia sebagai satu salah faham hinggalah dihukum fitnah,
renungkan kembali sirah 25 Nabiullah. Cukup dengan penurunan 3 jenis macam Al-Kitab oleh Musa alaihissalam, Daud alaihissalam dan Isa alaihissalam..Sudah cukup membuatkan sesama kita yang berusaha mencari Tuhan sebenar bergaduh sesama sendiri, atas apa? itu hamba kurang jelas, banyaklah dalil dan kias atau nas dari orang yang mengaku dirinya bijak pandai hinggalah kepada yang bodoh namun sombong.

Diakhir 24 lahir sa-orang Pesuruh yang paling tinggi kita kagumi akan dirinya baginda, bahkan satu Dunia memperakui kepemimpinannya dan keadilannya. Al-Amin kerana percaya-lah para kafir pada amanah diberi padanya, Muhammad namanya,
mulia semulia jadinya, hina dihina caci oleh sesetengahnya, Nabi akhir dan Rasulullah yang satu-satunya paling istimewa.
Kalimat dari Ayat menjadi Surah, Sa potong surah atau sabda disampai, teruk di terima orang-orang ketika itu. Dipulaukanlah atas fatwa baginda oleh orang-orang tadi. Ditentang dan diserang pula pada Isytihar Islam sebagai satu Agama menjelang akhir zaman.
Diperturunkan oleh para sahabat diatas kekalifahan akhirnya Saidina Osman Radhiallahuanhu menjadikan pesanan atau sabda baginda sebagai satu himpunan diberi nama "Al-Quran" Al Kareem.. Sehingga kini, serata dunia mampu memilikinya, namun bagi mempersoalkan pengamalan, adakah kita pada melaksanakan sepenuhnya itu hamba serah sepenuh pada diri yang membaca. Agar seruan ini kembali diamalkan. InsyaAllah..

Dihujung muqadimah tadi ada-lah dari hamba membicarakan hal API yang tercetus dari Langit yang kemudian turun ke bumi, Iblis lah namanya. dan Pedoman sepotong kesah bagaimana ia dari makhluk yang beliau dilaknat. Paling tidak, menurut kata Putra yang adapun berbunyi: bahkan Iblis Kenal Tuhan bagaimana Kita?
"Cetusan perang sia-sia membunuh yang tidak berdosa, Letusan Prang manusia merubah tata-susila." yang sengaja diambil dari bait lagu Panji Hitam (Kumpulan Kecil atau "Project Band" Dendang Anak) bertajuk "Bulan Gerhana" menjadi sumber renungan pada punca Api yang membakar dari amarah kita sendiri yang begitu kuat dengki dan iri hati.

Kemudian Khabar ANGIN bergerak dari udara mengkhabarkan berita peperangan sesama kita, adalah dari jauh dan disebuah tempat yang kita gelar kini Negara membuatkan kita terhad untuk membantu ataupun satu hikmah untuk kembali menoleh tidak dikiri atau kanan namun dari dalam ini bahawa dari keramaian puak yang begitu bersungguh menyokong kita dari belakang atas nama "Perjuangan", kita sedar bahawa kita bukanlah "kita". Namun Aku, Hamba atau Sahaya(saya).. yang sebenarnya sangat-sangat-sangat sepi tak ditandangi mana yang paling abadi melainkan ilahi..
Hari ini kita kunjung konon seteru dengan perjuangan kita gelar "Agama" namun maseh disitu, Syahid kita di kerusi malas, dihadapan kaca TV atau helaian akhbar sambil menjamu secangkir kopi serakah dan jamuan nasi lemak yang memberatkan jasad untuk berusaha pada sesuatu, walau satu sunnah diamal sudah dianggap payah. Kemana fikir sedang kita cuma beringatkan kemudian lupa lagi?

Datanglah AIR bagi menjernihkan atau menyucikan kembali bumi, ia adalah semula-jadi menurut Sunnatullah atau Susunan Allah bahawa akan datang hari seperti itu, dalam hadis atau Quran, hamba minta buktikan, mana sepotong ayat yang mengatakan hidupmu di sini adalah kekal?
Maka kelalaian oleh kerana kita terlalu tertidur lenanya didalam selimut tebal, beralaskan tilam empuk dan dikiri kanan ada bantal semuanya, memastikan bahawa kamu juga "ditidurkan" oleh Nafsu sendiri. Bukanlah main alasan diatas ilmuan-nya kita yang lupa maksud kurang dan menjanggali kata "bodoh" kerana dirasa pandai. Hidupnya serba kehendak, majunya terlajak hingga berlagak, namun tiadalah bagi hamba mengutuk Jepun kerana mereka kafir menurut kita, namun bertanyalah kepada diri kenapa tidak di-Islamkan yang kafir sementara diri sendiri pun belum jelas dari sudut apapun kita renung akan pantulan cermin hina diri ini kerana kita faham, Agama Islam adalah cara hidup, yang pada itu melahirkan tujuan kemudian disuakan niat hingga diketahuilah ia apa itu matlamat.

Ketahuilah, AGAMA itu USUL BANGSA. yang berpuluh-ratus atau ribu kali diwar-warkan oleh Yang Dipertua Dendang Anak kepada kami semua. Dan perkataan USUL bukan sekadar dipilih berhati-hati, bahkan untuk menepati maksud sebenar jika hendak tahu bagaimana AGAMA. Kenal yang hulu ayat iaitu, BANGSA. Kerana Sejarah itu pengajaran sepertimana termaktub dalam Al-Quran. Walaupun Al-Quran ada yang menganggapnya sebagai Sejarah, namun Al-Quran lebih dari sekadar Sejarah.. Langkah pertama menjadi diri yang mengamal isi Al-Quran itulah orang yang menyusuli Sejarah diri, keturunan, umat, yang disatukan jadi BANGSA atas tujuan perkenalan sesama AGAMA yang pasti beza Adatnya, Budayanya dan Bahasanya..

Syahdan, tiadalah segala sesuatu dicipta atas dasar sahaja-sahaja semata, ada sebabnya dan yang ingin dicapai pada mereka yang menjadikannya sepakat sebagai satu kelompok BANGSA yang terdiri dari kepelbagaian.
Kembali pada awal kesah Adam, tahu sudah kita bahwa turunnya pasangan ini ke bumi bukan kerana kesalahan, namun restu yang dipohon oleh Makhluk penghuni sebelum adanya Manusia. Diambil oleh para Malaikat atas perintahNya, TANAH agar dijadikan ia Jasad.
Dan apa kita pijak diawal jejak langkah pertama kita kecil dahulu, hingga Tahun, Bulan, Minggu,Semalam, Hari ini atau esok Hari mungkin adalah di atas Tanah yang lebih-kurang sama dengan Makkah Al Mukarramah. Usah riak, ujub dan merasa benar sekali pada kesombongan. Kerana akhir setiap Raja bahkan Hamba abdi itu maseh ditanah diajak kembali..Usuli hidup yang saling memberi dari meminta berlebihan agar kita tahu apa itu Syukur dan apa itu Berkat dan apa itu Rahmat dan apalah Nusrah.

Juma'at lalu kita digegarkan oleh peristiwa gegaran gempa bumi, begitu rancak seperti Juma'at lalu kita dikejutkan oleh peristiwa Tsunami di Jepun.. dan sebelumnya lagi penggulingan Pemimpin atas Pemimpin yang kita jangka, duga, sangkakan "tidak adil"..
Ambil hikmah jangan ambil barang yang musnah, kerana kemenangan tetap milih Ya Fattah.

adakah segala ini suatu Kifarah, Mala Petaka atau "Bala" yang diucapkan oleh sesetengah kita?
Jika diambil "Bala" sebagai sangkaan kita kepada Tuhan, segeralah buat nya memohon ampun sebenar ampun yang tinggi kepada maha tinggi kerana Allah hu rabbil alamin tidaklah sekejam itu menjadikan Manusia itu tanpa tujuan dan mematikan sebahagian apabila diriNya mengkehendaki sesuka-sukaNya walaupun Dia-lah Maha Berkuasa, tapi lupakah kita bahawa adalah Dia ya Adil dalam soal memberi..
Pokok-nya tetap Bismillah Al-Rahman Al-Rahim kerana jika surut Kemurahan, Kaseh Sayang akan menunjukkan Jalan manakala tandus Kaseh Sayang, akan datang ia pewaris yang dipilih olehNya agar Bahtera Islam Berlayar Aman..

Buat hamba yang serba kurang, mohonlah tunjuk ajar dari kalangan sahabat diatas kata yang kurang mencukupi..ditambah akan,
buat kebodohan sama dibijakkan agar sana tetap kita berpengkalan,
buat yang ada.. tunaikanlah hakmu sebagai Manusia yang Orang, agar kenal kami semua sebenarnya sebagai Insan, moga penuhlah Hamba ini sebagai Sahaya-Nya semata. insyaAllah.

Akhirulqalam..
Dan tiadalah AGAMA itu kejam kerana Tuhan-nya namun yang membuatkan ia kejam adalah Sangkaan, kita memilih agar menyangka ini atau itu sedang tidak lah kita ketahui.
Fasiq pertama, Munafiq kedwa, Sangka Ulama ketiga, Disangka Tuhan keempat,
tiadalah ia dapat, melainkan merempat..nauzubillah.

Suatu Masa itu nanti akan datang,
gegaran pasti berkumandang..
diatas izin,
diatas ketentuan....dari kita, kepada Nya, demi kerana Nya....sahutlah Panggilan Illahi.

bersambung..


ڤادوکا

Thursday, February 3, 2011

Jelajah Dendang Anak, Temasik(Hari Tiga) | Menyusuli Jejak Waliullah Melayu : Habib Nuh

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

sudahlah hari tiga angkanya keberadaan di Temasik,
pagi yang terang separa mendung bersama deru angin yang turun bersama hujan kerahmatan tanpa henti ini bakal kami tinggalkan beberapa lama lagi..
Namun sebelum itu hamba dan Putra begitu teringinlah memenuhi hasrat atau sedikit permintaan dari Yang Dipertua agar menziarahi Makamnya Habib Nuh. Maka setelah sarapan kami langsunglah ke makam salah seorang yang cukup tersohor kini dikenali oleh orang Melayu disini sebagai wali Allah.

Tibanya kami disana, sayup kelihatan tinggi makamnya berada dipuncak bukit. Turun dari kenderaan maka kami berjalanlah kesana, walau hujan menimpa lebat tanpa hentinya kami redah.. Terkenang hamba sepertimana suatu kisah berkenaan orang istimewa yang bakal kami dekati ini yang pergi dari Teluk Belanga ke Paya Lebar pada suatu hari yang lebat hujan berserta ributnya hanya kerana ingin mengubati kanak-kanak yang sakit. Setelah beliau tiba dirumah itu, kedua orang tua kepada kanak-kanak itu terkejut dan jadi hairan kerana Habib Nuh tidak langsung basah kerana air hujan tersebut. Persoalannya bagaimana hujan seperti lebat itu tidak langsung membasahkan pakaiannya?....

Kami menuju ke 49 langkah tangga yang menaik ke arah makam yang pernah juga diceritakan bahawa pada Perang Dunia ke Dwa, Kapal Terbang Jepun pernah menjatuhkan sebuah bom tepat kearah Makam beliau namun disekelilingnya mendapat kerosakkan kecuali makam beliau yang langsung tidak terjejas.

Akhirnya sampailah kami berdwa keatasnya, sambil merenungkan segala amal baik beliau agar moga-moganya kami dan anda yang akan mengunjungi makam beliau laksanakan juga. Dengan lafaz Bismillah berserta Al-Fatihah yang menyusuli amal beliau yang sedikit sebanyak telahpun meninggalkan kesan yang mendalam kedalam lubuk pemikiran kita sesama kita, bahawa Agama Islam dibawah pimpinan Rasulullah ini benar..dan langsung tiada kebengkokan didalamnya.

Jika mengikut sejarah awal beliau, sebelum kedatangan ke Temasik, Habib Noh bin Muhammad Al-Habshyi, keturunan Rasulullah s.a.w. menerusi nasab Zainal Abidin bin Sayidina Hussein Radhiallahuanhu datang dari Kedah Darul Aman. Berempat adik-beradik lelaki iaitu Habib Noh, Habib Ariffin(bermakam di Pulau Pinang),
Habib Zain (bermakam di Pulau Pinang) dan Habib Salikin,
yang bermakam di Daik, Indonesia.
Dipercayai berdasar fakta yang tersedia ada, Habib Nuh sampai ke Temasik tidak lama sesudah
Stamford Raffles mendarat di pulau itu. Usianya pada ketika itu
sekitar tiga puluhan tahunnya. Walaupun beliau telah menghabiskan saki-baki
usianya di Singapura, beliau dipercayai telahpun menyebarkan usaha Dakwah keserata Tanah Melayu..

Banyak lagi kisah beliau, antaranya adalah ketika Habib Nuh pada suatu hari dikejutkan oleh tangisan
berterusan anak tetangganya. Bila beliau pergi ke sana, beliau mendapati bahawa keluarga itu amat miskin dan tidak mampu membeli makanan untuk anak yang kelaparan itu. Beliau sedih lalu mengalirkan airmata bila mendengar cerita itu, lantas mengambil satu tempurung kelapa, menuangkan air kedalamnya dan berdoa. Dengan izin Allah, air itu bertukar menjadi susu untuk diminum oleh kanak-kanak tersebut.

Habib Nuh juga dikenali mempunyai kelebihan untuk tahu masa depan. Beliau seolah-olah tahu jika seseorang itu sakit, memerlukan beliau atau memaksudkan beliau. Pada satu masa seorang India Muslim balik ke India mengikut jalan laut untuk melawat keluarganya. Dia telah berniat bahawa jika dia kembali ke Temasik dengan selamat, dia akan menghadiahkan kepada Habib Nuh satu hadiah. Apabila dia pulang dengan selamat ditujuan, dia terkejut bila melihat Habib Nuh sudah sedia menunggunya di tepi laut seraya berkata kepadanya
“Saya percaya bahawa awak sudah berjanji untuk memberikan sesuatu kepada saya.”
Dengan rasa terkejut, India Muslim itu berkata,
“Katakan kepada saya wahai tuan yang bijaksana, apakah yang tuan hajati dan saya akan dengan senang hati menghadiahkan kepada tuan.”
Habib Nuh menjawab,
“Saya mahukan beberapa gulung kain kuning untuk bersedekah kepada orang miskin, yang memerlukannya dan kanak-kanak.”
Sambil memeluk Habib Nuh, India Muslim itu berkata,
“Demi Allah, saya amat gembira untuk menghadiahkan kepada seorang lelaki yang dirahmati
Allah kerana baik budinya terhadap umat manusia. Berilah pada saya tiga hari untuk menghadiahkannya kepada tuan.”
Dia telah menunaikan janjinya dalam masa yang dijanjikan.

78 tahun mengabdikan diri beliau kepada Agama Rasulullah, Habib Nuh telah pulang ke rahmatullah pada hari Jumaat, 27 Julai 1866 bersamaan dengan 14 Rabiul Awal 1283.
Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memberikan banyak pesanan kepada sahabat handainya.
Antaranya adalah: “Jangan jadi tamak terhadap harta dunia dan jangan punya perasaan hasad-dengki terhadap sesiapa sepanjang hidup mu.”

Habib Nuh menghembuskan nafasnya yang terakhir di Teluk Belanga, dikediaman Temenggong Abu Bakar, Johor. Bila berita itu tersebar, ramai orang dari berbagai peringkat, termasuk orang-orang Inggeris yang telah masuk Islam melalui Habib Noh, dan mereka yang berada dikepulauan-kepulauan berhampiran telah datang untuk menziarahi beliau.

Semua kereta kuda yang ada di Singapura memberhentikan amalan harian untuk membawa pengunjung-pengunjung itu dengan percuma. Tapi sejurus sebelum rombongan jenazah itu meninggalkan rumah Temenggong ke tanah
perkuburan, satu hal ganjil berlaku.
Kerana pesan beliau sebelum meninggal, agar jenazah beliau dikebumikan di Mount Palmer, yang merupakan tanah
perkuburan kecil pada masa itu. Walau bagaimana pun pada hari beliau meninggal, setiap orang telah lupa mengenai pesan itu dan mereka semua bersedia untuk menuju ke tanah perkuburan Bidadari Muslim. Bila tibanya masa untuk mengangkat keranda, ia tidak berganjak dari atas tanah.
Tidak ada seorang pun terdaya mengangkatnya. Keadaan waktu itu menjadi kelam kabut, dan hampir setiap orang menangis melihat keranda itu tidak berganjak walaupun cuba diangkat oleh lelaki-lelaki yang gagah mahupun yang perkasa orangnya.

Untung baik masih ada dari kalangan yang ramai teringat akan pesan Habib Nuh lantas mengisahkan hal dan wasiat beliau. Setiap orang sedar bahawa mereka telah lupa pesanan itu lantas memutuskan untuk bergerak ke Mount Palmer. Dengan kehendak Allah, keranda itu dengan diangkat dengan mudah dan laungan Allahu Akbar! bergema. Maka akhirnya jenazah Habib Noh telah selamat dikebumikan di Mount Palmer.

Adapun kemudian ceritera ini, menurut rancangan pemerintah, makam Habib Nuh dan Masjid Haji Mohd Salleh perlu dipindahkan demi membolehkan pembinaan Highway dibina lurus. Dengan membelakangkan rayuan daripada jawatankuasa makam dan masjid, kontraktor pembangunan telah menempatkan beberapa jentolak untuk memulakan pemugaran namun semua jentolak tidak dapat dihidupkan. Akhirnya, lebuh raya terpaksa dibina membelok di antara sekitar makam dan masjid.

Begitulah sedikit sebanyak kisahnya seorang waliullah. Hamba bersyukur dengan peluang yang ada bersama untuk kesini. Kepada sidang pembaca, diharap tiadalah mengambil kisah ini kerana kesaktian agar ditaksubkan, namun memahami bahawa inilah kurniaan pada mereka yang hampir kerana Allah taala kerana mereka sentiasa jujur dalam setiap lakunya..

buat Habib Nuh, Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh..

insyaAllah perjuanganmu bakal disambung kembali dan kekal hingga ke akhir.

ڤادوکا

Jelajah Dendang Anak (Terengganu-Temasik-Melaka) : Hari Dwa

Pagi yang lewat mata yang terpejam akhirnya terlelaplah seketika, kemudian kami digesa bangun sebelum jam 9 kerana bermulalah kegiatan yang tlahpun dirancangkan oleh hamba, Putra dan Bonda. Kerana di jamuan Minum Petang anjuran Klub ESQ itu akan bermulalah satu titik mula dan bertapak lah nama Dendang Anak itu di kota Singa ini. Bahkan dengan latihan demi latihan yang direncanakan sebelum kedatangan, Bonda akan membuat kemunculan kembali setelah berapa lamanya mendiamkan diri didalam kesenian, rasanya hamba semenjak pernikahan Ayahnda hamba dengan Bonda, hingga melahirkan hamba yang sulungnya..Bonda tidak lagi bernyanyi. Kali ini, bersama kami adalah Elmi Salleh, yang ada masa dahulu itu beliau adalah terkenal orangnya..di Temasik juga tempatnya.

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan selamat pagi dan sejahteralah semuanya diucapkan,

Izinkanlah hamba menyambung ceritera yang bakal terpahat oleh sejarah,
Kasih Abadi lagunya yang terpilih didalam ratusan lagu garapan Yang Dipertua.. Paling tinggi rasanya bahagia walau hamba tahu, kepenatan yang dirasai bersama ini ada keberkatannya..InsyaAllah.

Sampai kami di Furama Hotel tempatnya, dipunggah muatan ke dalam menuju ke dewan yang dimana majlis petang ini akan berlangsungnya. Uji Swara dan bunyi dilakukan setelah itu, maka selesai kemudian jam 2 nantilah bermulalah detik yang bersejarah dalam hidup hamba. Kerana hari ini hamba dan Dendang Anak paling beruntung berpeluang untuk digandingkan dengan seorang seniwati yang dahulunya bergiat sepenuhmasa menjadi orang seni sepertilah kami cuba lakukan sekarang.

Namun tidak itu sahaja, majlis tersebut didatangi dan dijayakan juga oleh Suhaimi Yusof, Suraya Alberto dan Sarah Aqila..antara seniman seniwati yang juga terkenal di sini. Apatah lagi ia dihadiri oleh sebahagian besar wakil-wakil masyarakat Melayu yang ada di Temasik sekarang..

Jam 2 maka sampailah semua berhimpun, kami dijemput makan bersama-sama sambil memperdengarkan celoteh berbentuk kerohanian, ada kerana kegiatan Klub Esq berasaskan dan cenderung kepada mengajak orang ramai kembali beragama sambil membentuk jiwa yang teguh bersama kekuatan atas apa yang diyakini..

Jam 240 maka Dendang Anak dijemput naik kepentas utama, setelah separuh masa High-Tea atau minum Teh Petang berlangsung. Pertama kali didengarkan lagu Kecintaan kemudian Kasih Abadi bersama Bonda Nurilah atau Elmi Salleh, Kemuncaknya adalah seperti selalunya "Puja Puji" dikumandangkan dan diperkenalkan kepada rakyat Temasik.

Alhamdulillah hi rabbil alamin, sambutan selepas itu begitu memberangsangkan. Berkemungkinan besarnya kami akan selalunya datang kesini kerana katanya mereka-mereka yang bercakap dengan hamba ingin menjemput yang namanya Dendang Anak ini lagi ke sini.Syukurlah dipanjatkan tinggi kepada yang maha menjadikan sementara kami hanyalah penyampai, bukanlah orang-orang yang terkenal atau pencari kemewahan apatah menjaja seni milik Tuhan yang paling mutlak ini..

Setelah habis acara bergambar beramai-ramai, hamba bersua lah dengan Suhaimi Yusof seorang pelakon dan juga juru acara yang terkenal disini. Beliau sungguh kagum katanya, dan menyatakan hasrat yang sama sepertimana orang lain yang mendatangi diri hamba atau sahabat-sahabat hamba selainnya.

Bergeraklah kami kemudian ke Little India, sebuah perkampungan kecil yang rata-ratanya sarat dengan umat berbangsa India. Bagi kami yang sentiasa terasa semacam kagum dengan kesenian mereka yang begitu halus dan adakalanya rumit untuk difahami akan maksudnya, disini banyak kelihatan walhal dimana-mana sahaja seni tangan tidak kiralah ukiran hinggalah ke lukisan. Bangsa India sememangnya cukup mashyur dengan kesenian mereka.

Hamba tiba terlebih dahulu bersama Putra dan Angah disana, oleh kerana Kak Som katanya sibuk dengan acara latihan di Kedutaan Brunei maka disana Abang Mat lah orangnya yang menyambut kami dengan mesranya. Dijemput masuk ke Pejabat Sri Warisan sambil diberi penerangan yang cukup lengkap dan begitu senang sekali seandainya timbul dibenak fikiran akan persoalan yang teringin ditanyakan.

Sejenak sejarah kelahiran Sri Warisan, menurut Abang Mat bermula sejak tahun 1998, dan diasaskan sepenuhnya oleh mereka berdwa diatas fikirnya yang kuat untuk semata-mata memelihara budaya warisan Melayu yang terdiri dari pelbagai Suku atau Kaum orang-orangnya.. Apakala memperdengarkan setia perkhabaran tersebut hamba kira ada juga persamaan antara kami dan mereka. Walaupun tujuan utama dahulu Dendang Anak yang kemudiannya lahirnya lagu-lagu Dendang Anak itu atas kerisauan Yang Dipertua kepada nasib umat sekarang, yang semakin hari semakin terlupa akan sejarah, apatah mereka yang bosan sudah dengan sejarah.. Sedangkan dengan Sejarahlah kita kenal Agama, dan memahami Agama itu kota atau bentengnya adalah Bangsa. Allah taala jadikan sendiri kita sesama kita untuk suatu tujuan yang menarik dan istimewa.

Lahirlah Dendang Anak kembali dari kesunyian hari dan malam tanah Melayu ini, membangun dan majunya Dendang Anak hingga kehari ini terutamanya kerana Allah taala mengizinkan, walau sungguh hamba kirakan. Menjadi "Orang" sudahlah kita terkenal dengan aneka "Pilihan", menjadi manusia dalam bab Tugas atau Kerja, kita bersilih ganti.. Pencapaian Dendang Anak hamba dapat simpulkan disini bukanlah kerana Siapa dia itu dan Apa keistimewaan dia ini. Semua manusia punya keistimewaan masing-masing yang terbekal bersama, semua manusia punya cara yang disenangi oleh sebahagian yang menyenangi cara tertentu maka disukailah ramai.. Namun sebagai satu Keluarga itu menjadi satu Jemaah yang kecil, rumah Dendang Anak itu adalah Budaya yang berteraskan Bangsa yang diasaskan semata-mata untuk menampilkan betapa luasnya Agama ini jika teringin buat kita memahaminya. Kerana itulah "Kamilah Dendang Anak"..

Betapa tiada mustahilnyalah kekal Dendang Anak sejak 1997 hinggalah hari ini.. Syukur bukan lagi Syukur, hamba tak terkalam katanya.. Terkesima. Setelah saling berkongsi ceritera dan berceloteh malam, disambung pula kemudian di Studio Sri Warisan bersama-sama ahli Dendang Anak selainnya. Larut malam telahpun mulai mendiamkan dirinya. Kemeriahan lagu-lagu Tamil yang dari awal malam tadi kedengaran kini senyap.. Tibalah masanya untuk berehat.
Hamba dan Putra bersama Bonda menziarahi rumah Saudara terdekat yang letaknya di Pasir Ris, lebih kurang 20 minit perjalanan. Sambil itu hambapun menutup tamatlah kisah kami hari ini.

Kerana Esok kami bergerak pulang ke Johor kemudian ke Melaka.

Seekor Singa yang besarnya ini disejukkan kembali oleh kerahmatan yang Tuhan sendiri perintahkan ia untuk turun. Bersyukurlah pada Hujan sebelum didatanginya Kemarau.. Jikalau Kekeringan melanda, bersyukurlah masih..Kerana anda masih belum merasa sebagaimana tandusnya Agama ini dari kehidupan ini, yang pastinya akan datang menjelang kiamat nanti.

InsyaAllah kita bersambung lagi.

ڤادوکا

Monday, January 31, 2011

Jelajah Dendang Anak (Terengganu-Temasik-Melaka) : Hari Satu

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Syahdan maka bermulalah perjalanan Jelajah kami ke Kota Singa atau Temasik,
Lebat hujan bersama deruan angin bumi Terengganu Darul Iman mengasbabkan perjalanan kami pada awal malam tertangguh hingga jam 1 pagi..

Dari Terengganu ke Pahang, 9 pagi kami sampai di Stulang Laut, Johor. Awal pagi yang agak mendung separa terang bersama renyai hujan disitu disambut mesra oleh mereka-mereka yang ditugaskan untuk membawa kami semua dari Johor melepasi sempadan Temasik.

Putra, Penghulu, Pandita, Bathin, Aduka, Tajul, Nadhim meneruskan perjalanan ke dalam Kota Singa itu dengan pengangkutan van yang disediakan sementara hamba, Panji dan Affandi, salah seorang petugas menaiki sebuah kenderaan dari Terengganu.

Rasanya sudah hampir 8 tahun lamanya tidak ke Temasik. Jika ikutkan kedatangan hamba yang dulupun ruang dan peluang untuk kemana-manapun agak terhad oleh kerana kebiasaannya hamba kemaripun tiadalah peluang untuk melihat suasana di Temasik sekarang..
Sememangnya jauh berbeza dengan Temasik dahulu yang dikenali kini sebagai Singapura. Disini tidaklah seperti ditempat kita, sebahagian besar jumlah orangnya di pulau Temasik sekarang adalah Cina bangsanya, kedwa adalah Melayu dan ketiganya adalah India. Kebersihan dan budaya hidup yang agak tegas sering sekarang diterapkan kedalam pentadbiran mereka membuatkan ia cukup masyhur hari ini dimata dunia sebagai salah satu negara yang bersih dan "tersusun" cara kehidupannya..
Adapun satu pepatah jenaka berbahasa Inggeris berbunyi : "Singapore is a FINE city".. perkataan FINE disini memberi 2 maksud, pertama adalah Baik dan yang kedwa adalah Saman/Denda. Namun oleh kerana ketegasan yang diamalkan oleh mereka tidak kira ahli pentadbiran ataupun rakyat, setiap kesalahan yang seringkali kita anggapnya kecil menjadi satu hal yang besar dan perlunya dibayar dengan sejumlah wang sebagai dendanya. Bahkan jika anda meludah ditempat awam, anda akan disaman. Merokok dikawasan larangan, anda disaman. Dan yang lebih menghairankan adalah sepanjang keberadaan anda disana nanti, anda jarang bertemu dengan pihak berkuasa. Kerana semuanya diawasi sepenuhnya dengan kecanggihan "CCTV System" atau maksud lainnya, kamera tersorok yang disembunyikan dari penglihatan.

Dan rasanya inilah yang mendidik rakyat Singapura sekarang untuk sentiasa menjaga kebersihan. Walaupun kulit makanan yang kecil sekalipun jika mereka tidak mendapati adanya tong sampah, mereka akan menyimpan terlebih dahulu didalam saku seluar mereka.Namun tidaklah disini hamba menceriterakan hal ini agar para pembaca terasa semacam pelik, takut untuk kesana atau sebagainya. Ia berlaku kerana keadaan, Singapura adalah sebuah pulau yang kecil..namun maju dan canggih dari sudut dunia. Ada pernah mengumpamai kebesaran Singapura dengan Tasik Kenyir di Terengganu kerana bentuk dan ukurannya yang lebih-kurang bahkan lebih besar dari Singapura itu sendiri..namun perlu juga diingatkan Tasik Kenyir adalah tasik yang terbesar di Asia Tenggara.

Tidak beberapa lama setelah itu, maka sampailah di tempat penginapan kami.
Penginapan kami kali ini adalah di sebuah rumah rehat di sekitar Geylang, dimana ia terletak didalam kawasan perkampungan kecil Melayu disana.

Setelah selesai memunggah muatan ke dalam kamar, sebahagiannya berehat. Sementara hamba menunggu kedatangan Hajjah Som Said dan suami, atau lebih selesanya dikenali mereka dengan panggilan Kak Som dan Abg Mat. Antara budayawan yang cukup terkenal, dan begitu bersungguh-sungguh hanya semata untuk mengekalkan budaya Melayu di Temasik ini. Sudah 12 tahun lamanya penubuhan Kumpulan Kesenian "Sri Warisan".. Mereka sudahpun membuat persembahan diluar negara tiada begitu banyaklah kiranya.

Akhirnya Kak Som sampailah bersama suaminya yang tercinta. Hamba, Bonda hamba, Angah dan Pendita dijemput untuk "tour" dan bermesyuarat dengan pihak Esplanade, sebuah medan dimana Seni dicurahkan,dikongsi-kongsikan, dibahagi-bahagikan dan diperkenalkan.

Setelah beberapa jam berada disana maka kami dihantar ke penginapan kami kerana jam 730 malam itu ada Kunjungan Muhibbah dirumah anak yatim Darul Ma'wa.

Senja mulai surut di permukaan bumi Temasik nama tempatnya, kini digelar istimewanya Singapura.

Setelah bersiap sedia semuanya, maka berangkatlah kami menuju ke rumah anak yatim atas maksud meraikan mereka-mereka yang paling istimewa dari kalangan masyarakat semuanya. 10 Minit lebih-kurang perjalanannya maka sampailah.
Kedatangan kami disambut oleh para petugas dan penjaga Darul Ma'wa dengan mesra. Diikuti dengan sedikit sebanyak cerita sepanjang jalan kami menuju ke dewan kecil mereka.

Segala barangan alat kami disusun, Angah dan Pandita masing-masing sibuk membuat ujian demi ujian pelarasan bunyi menggunakan alatan pembesar suara yang tlahpun disediakan, sambil dikerumuni oleh anak-anak kecil....cantiklah kiranya rupa yang ada ketika itu. Senyuman dimana-mana.

Maka lagu pertama itu Keikhlasan Insan namanya, berkisar tepat mengenai Kasih kita pada si anak yatim, agar tidak Sayang diturut mengikut musim, barang Ikhlas biar sahaja Tuhan menjadi Hakim, kerana diakhir segalanya hanya Dialah maha menjadikan..
Penegasan yang berkali-kali dinyatakan dalam lagu tersebut, Jangan Riak..Jangan Berlagak. kerana undang-undang membuat sesebuah amal kebajikan, tidak diukur atau diiktiraf atas apa kata orang atau kita. Biar jujur janganlah takkabur.. Itulah yang dipesankan dan dingatkan kepada kita semua. Agama Islam adalah kasih sayang, bukan sebuah Agama yang menuntut kita untuk berperang bahkan menunaikan hak mereka-mereka yang dalam keperluan, tidak kiralah Kafir sekalipun orangnya.. Allah taala tidak pernah zalim dan senantiasa membahagi-bahagikan rezeki dan harta yang berlimpah ruah kepada sesiapapun yang berusaha untuk mendapatkannya.. Namun mengapa selalu kita diperdaya dengan rasa bagus sendiri, walhal ianya tak adalah setanding hebat manapun dengan jasa orang kafir sekalipun yang menolong orang? Fikirkanlah..

Setelah itu, beberapa lagu joget didendang kan. Diikuti Puja Puji yang hamba sendiripun tak dapat menahan betapa hebatnya rasa kebersamaan kita sesama kita, hingga hamba turun dari pentas dan bersama anak-anak yang paling dikasihi Allah taala ini semua..

Rangkap "La maujud-Ilallah-lailahailallah" : Tiada yang wujud hanya Allah, Tiada disembah melainkan Allah. dinyanyikan beramai-ramai.. Getar nada swara bersulaman antaranya, melantun-lantun bergema didalam rumah Darul Ma'wa yang kami kunjungi..

Setelah selesai sekitar jam 10, kerana anak-anak hendak masuk ke kamar dan beristirehat maka bersurailah majlis tersebut. Kak Som dan Abang Mat membawa kami ke sebuah kedai di Jalan Sultan yang ada disitu masakkan istimewa yaitu Daging Merah dan tulang sumsum.

Maka tatkala menikmati hidangan dan melihat sebahagian yang termampu dek mata memandang sambil diperturunkan hujan renyai membasahi bumi Kota Singa yang kini begitu pesat kemajuannya.

Setelah beberapa lama disitu maka pulanglah kami ke penginapan. Berehatlah kerana esok pagi pun berlangsung sudah acara..Jika ada buat kita semua.

Demikian hamba mohon henti disini.

ڤادوکا

Tuesday, January 11, 2011

Pelancaran Dendang Anak.com




Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

tepat tanggal 11.1.11 maka Dendang Anak secara rasminya mengumumkan kelahiran jaringan tempat atau website rasmi kami pada alamat:

www.dendanganak.com

yang memuatkan pelbagai kisah separa lengkap mengenai kami,baik dari berita,layar,lagu dan barang cendramata yang boleh dimiliki oleh semua.
Pelbagai lagi perancangan dibuat menjelang masa akan datang namun secara rasminya akan kami umumkan sebaik ianya disahkan. InsyaAllah.

Namun dukacita memaklumkan bahawa proses atau penyelenggaraan naik ulang atau upload ke dalam internet akan memakan masa beberapa hari. Harap bawa bersabar. Dan disini hamba ada lampirkan serba sedikit pra tatap-nya buat semua.

ڤادوکا

Saturday, January 1, 2011

Jlajah Dendang Anak (Pelalawan) : Hari Tujoh

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Pagi dirumah sanak-saudara Tengku Ibrahim yang mendung cuacanya, walau tertegak matahari masih kelabu harinya..ada kemungkinan inilah yang pada kami-kami merasakan setiapkali meninggalkan "Indonesia"..yang pada dahulu kalanya kita tidak bersempadan.

Dibandar Sultan Syarif Kasim tempatnya kita berpisah,hanya buat sementara insyaAllah..walau mungkin takdir atau ajal atau apa yang berlaku, yang pastinya "Dendang Anak" akan kesana, walau disuatu masa yang panjang atau pendek, walau bukan kami yang diantaranya....

Buat Kolej Yayasan Melaka,Heritage Airlines,Keluarga Tengku Ibrahim,Lembaga Kerapatan Adat Melayu Pelalawan, Sanggar Pahlawan,Dewan Kesenian Pelalawan, Mela dan yang hadir dari jauh dari Tembilahan untuk menyokong sama usaha kami, Orang Pelalawan dan semua yang tak terucap disini.. Jazakallahualakhairan kasiran.

Setibanya kami di Melaka, disambut oleh Makhdum kemudian kami singgah di kedai makan. Maka kemudian kami harus pulang segera ke Terengganu kerana ada persembahan yang bakal dilangsungkan jam 10 malam itu.

Bergeraklah kami dari Melaka-Johor-Pahang dan akhirnya Terengganu..

terpulanglah kepada anda yang membaca bagaimana menilainya, buat hamba tiada salah jika apa diandaikan itu kepada kebaikan yang bukan kerana kita mahukan untuk diri semata-mata, tapi buat semuanya. Atas Bangsa demi Agama. InsyaAllah..

catitan panjang ini mohon disalinlah penanya, ditambahi akan tintanya..demi satu kembara,kelana atau jlajah kami pada masa akan datang..Selagi hayat dikandung badan..Maka adanya yang nama Paduka ini bukan kerana nama, kerana hajat Yang Dipertua,kerana suara Para Sahabat dan niat yang tak pernah kesampaian..dengan serba sa kekurangan maka diceritakanlah, dikongsikanlah, agar menjadi titik permulaan menjelang Tahun Baharu Masehi yang menjadi budaya hari ini..Biarlah ia menjadi satu Perubahan yang benar. Agar Agama ini sebar dan diterima lebar.

wallahualam, diatas hamba sendirilah yang bertanggung jawab atas ketersalahan kata atau bahasa, maka dimohon maaf sekira bahasanya terlalu Satira.
Ini barangkali dilakukan untuk pada usaha merasa dan menghargai apa yang tlah diberi, dan kemudian bakal dikembalikan pada empunya. Maka carilah apa dia.

ڤادوکا

Jlajah Dendang Anak (Pelalawan) : "Gemilang Istana Sayap tertegaknya kembali" :Hari Enam

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh..

setelah yang lama itu tertanam,
kembali dicungkil dari terus dibenam,
maka syukur dipanjat pada yang ke Enam,
inilah kisah yang tercatit dari matanya yang celik dari pejam..

Sebelum bermulanya hari Pertabalan Haji Tengku Kamaruddin bin Said Harun Assegaf sebagai Assaidissyarif Kamarudin Haroen Tengku Besar Pelalawan, Sultan Pelalawan ke-10. Maka diceriterakanlah akan sejarah Kesultanan Pelalawan yang hamba dapati daripada hasil Karya catatan Haji Tenas Effendy dan Halaman Rasmi Kabupaten Pelalawan.

Bermula dari Enam Abad yang lalu, saling berkait dengan sejarah Kerajaan Singapura dan Melaka. Kisahnya dimulai pada tahun 1380 Masehi, saat Maharaja Indera mendirikan Kerajaan Pekan Tua ditepi sungai Pekan Tua, anak sungai Kampar yang sekarang telah menjadi wilayah Desa Kuala Tolam Kecamatan Pelalawan, Negeri Riau.

Maharaja Indera sedniri adalah bekas orang besar kerajaan Temasik(Singapura) yang ditaklutk oleh Kerajaan Majapahit diakhir abad XIV. Sementara Raja Temasik yang terakhir bernama Permaisura(Parameswara) mengundurkan diri ke Tanah Semenanjung dan mendirikan Kerajaan Melaka, Megat Muhammad Iskandar Syah-Al Sultan(Setelah di Islamkan)-lah namanya..
Seawal perkembangan Melaka hingga pesat akhirnya terpaksa dihentikan setelah keadtangan Portugis pada tahun 1511. Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mahmud Syah malah bermukim dan menjadi raja di Kerajaan Pekan Tua selama perjuangan panjang melawan Portugis. Dan mangkat di sana pada tahun 1528 dan diberi gelar Al-Marhum Kampar(yang letak di Pekan Tua,Desa Kuala Tolam,Kecamatan Pelalawan,Kabupaten Pelalawan)..

Mengenal Raja-raja Pelalawan.

A.Zaman Pekan Tua atau Dinasti Temasik (1380-1505)

1.Maharaja Indera(1380-1420)
-Raja Pertama yang mendirikan Pekan Tua. Yang membangunkan Candi Hyang(Bukit Hyang) di Bukit Tua. Peninggalan kerajaan ini pernah ditemukan di Desa Lubuk Mas.

2.Maharaja Pura(1420-1445)
-Putra kepada Maharaja Indera. yang bertanggungjawab mengembangkan Pekan Tua menjadi Bandar besar di perairan Sungai Kampar.

3.Maharaja Laka(1445-1460)
-Putra kepada Maharaja Pura. Penerus kerja ayahndanya Maharaja Pura dalam menjaga hubungan dengan Melaka.

4.Maharaja Syisya(1460-1480)
-Pengganti Maharaja Laka.Yang membangunkan bandar-bandar baharu dir seberang hulu bandar Pekan Tua yang dinamakan Bandar Nasi yang kemudian bernama Bandar Nasi-nasi.

5.Maharaja Jaya(1480-1505)
-Sedang Maharaja Jaya memerintah Pekan Tua menggantikan Maharaja Syisya, Pekan Tua diserang oleh Melaka. Sultan Melaka waktu itu, Sultan Mansor Syah memerintahkan Sri Nara Diraja bersua dengan Maharaja Jaya, akhirnya kemenangan itu jatuh ke tangan Melaka.

B.Zaman Pekan Tua Kampar atau Dinasti Melaka(1505-1590)

6.Raja Munawwar Syah(1505-1511)
-Ditabalkan oleh Sultan Mansor Syah(Sultan Melaka pada waktu itu) menjadi penguasa Pekan Tua. Pekan Tua digantikan namanya menjadi Pekan Tua Kampar dan akhirnya dikenal sebagai Kampar.

7.Raja Abdullah(1511-1515)
-Putra kepada Raja Munawwar Syah yang meneruskan pemerintahan Kampar.Pada waktu inilah Melaka diserang Portugis dan ditakluk tahun 1511. Raja Abdullah dijadikan menantu oleh Sultan Mahmud Syah. Sulatn Mahmud Syah 1 bersama Tun Fatimah, putranya Raja Ahmad dan orang-orang besar kerajaan Melaka mundur ke Pagoh,Muar kemudian sampai ke kota Kara dan Kopak di Pulau Bintan.
Ternyata Raja Abdullah tidak sehaluan dengan mertuanya dan memilih Portugis kerana berharap dapat dijadikan Sultan Melaka. Tapi akhirnya Raja Abdullah dijadikan bendahara oleh Portugis.

8.Mangkabumi Kampar(1515-1526)

9.Sultan Mahmud Syah(1526-1528)

10.Sultan Alauddin Riayat Syah 2(1528-1530)

11.Mangkabumi Tun Perkasa(1530-1551)

12.Mangkabumi Tun Hitam(1551-1575)

13.Mangkabumi Tun Megat(1575-1590)

D.Zaman Pekan Tua Kampar atau Dinasti Johor(1590-1798)

14-22

E.Zaman Pelalawan(1798-1946)

23-32

32.Tengku Said Harun(1941-1946)

33.Haji Tengku Kamaruddin Ibni Tengku Said Harun Assegaf.

website rasmi Pelalawan boleh klik di sini


Begitulah seadanya perjalanannya yang panjang hingga lah kini.

Namun hari ini adalah yang lainnya, kami pada mengembalikan semula sejarah yang sebelum semua ini berlaku ke tempatnya.

Maka kami bersiap dengan pakainya serba Putih, bertengkolok,sampin dan celana hitam.
Manakala yang sedang bersiap bersama kami adalah antara Bentara Zulkifly,Paduka Iskandar,Orang Kaya Shukri,Tun Ali dan Orang Kanan Ismail.
Setelah lengkap semuanya berangkat bersama kenderaan Orang Pelalawan menuju ke Istana Sayap..

Tiba disana hamba seperti terimbas kembali suatu yang ada nilai dan berbau "lama".

Semua serba lengkap dengan pakai Melayu, tiada kasut yang mahal harganya cuma yang kelihatan adalah capal, tiada celana yang "jeans" jenisnya, yang ada cuma pasang kain baju Melayu, sampin, songket, dan segala pakai Melayu.

Selepas berangkat sampainya Tuanku Al-Sultan di Balairong Seri Istana Adat, dan duduklah baginda diatas kursi kebesarannya. Gong canang dipalu 3 kali tanda seru semua untuk tawajjuh/bertumpu kepada majlis yang akan dimulaikan..

diikuti dengan pantun Muqadimah:
"....adat Melayu pantang dipulang,
kalau mahu dipulangkan..Melayu hilang"

maka diizinkanlah patik membuta patah,
"Menjunjung duli mengangkat sembah,
melangsai niat menyampaikan amanah,
menggadai tuah menjalankan titah..:

berbunyilah pantun Datuk Canang pula..dipalu lagi 3 kali sebelum berpantunlah akan dia,
"Encik-encik,Tuan-tuan dan Puan-puan yang dimuliakan,
agar nian disampaikan Allah yang maha berkuasa, agar kerja berbuahkan pahala,
agar harap tidak sia-sia, agar simpang tidak menyusahkan,
agar pohon tak menenggelamkan,
agar api tak menghanguskan,
agar langkah segak dihayunkan,
agar tangan jauh dilambaikan,
agar kepala tegak terngadah,
agar sombong tak berumah...demikian seterusnya adalah doa, marilah sama-sama diaminkan.."

kemudian setelah pertabalan berlangsung dengan penuh kehalusannya, santap beradab sengaja dibuat supaya warga semakin rapat,

bersatu hati, bersatu niat,
supaya nanti tidak melarat,
santap beradab pemula kata,
penyampai niat, penyambung rasa,
agar yang kurang tidak dicela.."

Majlis santap beradab bermulalah ia, disekitar sungguh indah rupanya, tiada bezanya antara siapa dan siapa hanya yang menadah rezki ditalam mahupun pinggan itunya adalah sama sekadarnya..

maka selesai sudah Majlis tersebut dengan 3 paluan Gong Canang diikuti bala bicara yang bunyinya seperti ini:

"..yang didekat,yang tidur atau yang berjaga,
baik yang berpangkat atau yang biasa, baik yang ditepi atau ditengah, yang tinggi mahupun yang rendah, ibu-ibu mahupun bapa-bapa, panglima mahupun yang kelana,atau yang dihulu atau dihilir, dibukit mahupun dilurah, yang digunung mahupun dilembah, baik dirumah atau disawah, baik dihutan mahupun yang dirimba, baik yang tua mahupun yang muda, bahawa pada hari ini, tepat hari Khamis,
adalah tanggal 7 Muharram 1432 hijrah, tlah ditabalkan yang Mulia, Assaidisharif Haji Tengku Kamaruddin Harun, Tuanku Besar Pelalawan...Selaku Sultan dan Pucuk Payung Panji adat Negeri. Semoga Allah tlah memberi berkat pada kita semua"..

disambung ucap ia oleh Datuk Canang.

"..oi, encik-encik,tuan-tuan,puan-puan...
masih ada sedikit niat kami,
niat yang tumbuh kerana kebersamaan,
niat yang lahir kerana kebiasaan,
niat yang datang kerana kemahuan,
niat yang dibuat kerana keikhlasan,
baiklah kita seiring sejalan,
tanda kita satu harapan,
tanda kita satu perjuangan,
tanda seia sepakaian,
tanda sepiring sepemakanan,
tanda seperiuk sepenjerangan..
adalah negeri tetap bertuah,
agar pemimpin tetap bermaruah,
agar kerja tak menyalah,
agar rakyat tak berpecah belah,
agar Allah memberi berkah....
maka dengan ini Tuanku Besar Pelalawan berangkat mencemar duli sembari menutup tirai majlis ini,
wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.."

maka majlis pun bersurai setelah tamat bahagian bersalaman yang terakhir bersama Gubenor, Bupati Pelalawan dan Tuanku Besar Al-Sultan Pelalawan.

dan bersiap-siaplah kami memunggah keluar barangan dan bertolak ke Pekan Baru, kerana masih ada satu lagi tugas yang tak terlesai, kami dijemput untuk ke Dewan Latihan Perguruan bersama Gubenor,pembesar Riau dan Datuk Shahroni Judi,Pengerusi Kolej Yayasan Melaka.

tinggal-lah 1001 kenangan antara Dendang Anak dan Orang Pelalawan yang belum mungkin pada kami semua untuk lupakan. Bagaimana bersungguh mereka pada kadar adanya pada mereka untuk menjaga Adat,Budaya,Bangsa serta Agamanya Melayu..sementara kita yang adakala lebih memilih jalan singkat dengan memilih apa kita mahukan,bukanlah apa kita semua mahukan yang sebenarnya..

Sesudah maghrib menjelang maka selesai itu kami langsung ke tempat yang dituju, tatkala sampai disana "Tugas Kesinambungan" itu adalah yang utama.

Majlis dimulai dengan beberapa dendangan, diikuti ucapan taazim dari Yang Dipertua Dendang Anak berkena mengena jalinan atau gabungan kita yang cukup ber"alas"..Antara Melaka dan Negeri Riau.

Hinggalah malam itu selesai dengan penuh kepuasan, kerana tugas kami kali ini semuanya tlahpun selesai..

Alhamdulillah wa Astaghfirullah..

tamatlah kisah kali ini yang penuh bersejarah.
Gemilanglah Istana demi Kesinambungan.

bersambung lagi buat hari kepulangan..insyaAllah.


ڤادوکا