Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,
setelah Empat angka selesai dalam usaha, maka kenal kita pada yang Lima..
inilah Hari ke Lima. yang dinanti selama ini..
Perjalanan kami dari Dewan Kesenian Pelalawan seawal pagi itu menuju ke Istana Sayap Pelalawan begitu lancar semuanya. Setiba kami disana, terhenti seketika perjalanan ke satu rumah yang dimana tempat kami bermalam nanti, sudah diperkarangan Istana Sayap..
Namun gambaran yang ditampilkan adalah menyerupai apa yang kami pada amalkan, berbalik di Kampung Halaman buat Dendang Anak..Jenagor,Hulu Terengganu, Terengganu Darul Iman. yang dianggap satu amalan kewajiban buat kami, satu "tradisi" yang tak mungkin hilang.. Oleh kerana jarak Sungai Terengganu dengan Kolah Wudhu' Masjid agak sedikit jauh dan perlunya mendaki sedikit bukit ke atas baharu anda bertemu dengan sebuah Masjid yang dibikin dengan tangan-tangan para awalin(orang awal) dari kalangan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai Dendang Anak sendiri yang membina Masjid kayu kami bersama dengan Yang Dipertua sendiri.
Tlah menjadi suatu amalan "Istimaie" (bermaksud Beramai-ramai) harian, kami diajar untuk mengisi air kedalam baldi sebesar tong cat setiap satunya, kemudian bergotong royong mengangkat bermula dari gigi Sungai hinggalah ke Kolah Wudhu' yang letaknya disebelah masjid dengan kepercayaan yang disemai dalam diri bahawa dengan amalan sebegitu sekali, ia adalah amalan yang menghapus dosa, pembunuh segala sifat mazmumah yang ada pada diri sendiri, membina satu rasa kesatuan dan melahirkan satu makna kebersamaan.
Inilah Hikmah. Inilah Sunnah, walau sekecil hal kita amalkan, bagi yang menganggapnya satu kepentingan buat Agama, maka ia akan jadi sebuah penyebab pada suatu masa nanti.. Kalau menurut pandangan hamba, jatuh bangun Islam itu bermula dan berakhir kerana Sunnah juga, asbab Sunnah bermesyuarat dalam setiap apa ingin dilakukan pun hingga hari ini kita dan kita dan kita semua menerima munafaatnya, Islam tersebar luas 3 persuku Dunia kerana Mesyuarat. Itu antara taklim(peringatan) yang sering diperingatkan didalam membentangkan tertib Mesyuarat setiap hari, yang kami amalkan.
Namun di Pelalawan, lebih bermakna dan dalam ertinya pada apa yang berlaku, kalau di Jenagor itu kami mengangkat air untuk wudhu, kali ini kami pada mengangkat barang-barangan berguna untuk dibawa masuk kerumah. Bag yang berisi baju, adalah pakaian yang ditugas khas untuk menjaga sebahagian marwah anggota diri..dan apa sahaja lah juga yang ada didalam saku bag dan barangan yang dipunggah masuk kedalam rumah.
Setelah itu, maka berangkatlah Dendang Anak ke tapak persembahan, di Perkarangan Istana Sayap.. Serba sederhana rupanya, jika ndak dibandingkan dengan apa yang pernah digambarkan oleh kita berkenaan Istana.
Sesudah panji Dendang Anak pertamakali ditegakkan, semua kelengkapan tlah dipersiapkan maka uji swaranya berjalanlah sepertimana yang dikehendaki dan dijaga oleh Rakan-rakan yang selainnya..
Semuanya pada pulang ke tujuan dengan berjalan kaki..
Hamba masih bersiar-siaran didalam ruang Istana Pelalawan. Hingga diketemukan satu sudut di tangga sebelah kiri sayap Istana.. Duduk disitu sambil mencatitkan catatan ini sambil menulis beberapa garapan lainnya dan beberapa helai lukisan..Hinggalah dijemput untuk pulang.
Mak pulangnya lewat yang lain, setelah berselisihan dengan orang-orang Pelalawan hatinya rasa semacam. Tak tertafsir kepala. Ingin dirakam pemandangan indah tak ada "camera" nya, makanya berjalanlah laju menuju ke rumah penginapan hingga diambil camera dan pada langsung berjalan berseorangan.. Tapi sayang, senja sudah pada hampir menyingsing.. Masih ditangkap gambar buat pujukkan hati semata-mata, disamping itu juga hamba disapa oleh tiap-tiap penghuni, rata-ratanya mengucapkan "Salam" tanpa ada sedikitpun rasa malu atau segan, kerana memang memberi "Salam" itukan tanggungjawab kita sebagai Islam. Dan apa yang nyaman memberi "Salam" kepada seseorang itu bukan setakat kebudayaan yang diamalkan, namun ia adalah ucapan atau perbuatan yang begitu ingin mendoakan kebaikan, justeru "Salam" itu bermaksud "Sejahtera" dalam Bahasa Arab.
Tapi kesejahteraan seperti Apa dari kita ingin dikongsi atau diberikan? itu persoalan kita, yang jika kita ingin "Ikhlas" maka jujur dahulu dengan diri..Bak kata lagu "Ikatan Insan" dari Dendang Anak, "Ikhlas....Tuhan yang menjadi Hakim"..
Taarifan hamba yang serba jahil, Ikhlas bukan dianugerah atau senang-senang diiktiraf oleh Manusia. Menjadi Ikhlas itu Tuhan sahaja yang tahu, bukan manusia. Ini istimewanya Islam yang sentiasa tidak putus dari memberi harapan yang tinggi kepada lebih tinggi agar kita saling bekejaran demi kebaikan..
Hari ini seperti apa agaknya? itu yang hamba curigakan.. Kerana yang sering berlaku, "Ikhlas" dihulur dengan sejumlah wang yang sudah pastinya tak setanding nilainya, dipamer kedalam akhbar berita dan begitu mudah pada mengatakan "Sumbangan Ikhlas dari si anu.." itu "Ikhlas"..
Hamba pada berjalan terus lagi kesuatu jalan yang hamba sendiri tidak pernah lalui, dan tak pernah bimbangi akan ketersesatan hamba ini ke mana, memang benar pada satu ketika di akal memainkan sangkaan yang mencurigakan. "Apa ini benar jalannya?" sedang kalau hendak pada berpatah kembali, itu jauh. Kalau hendak terus, itu belum jelas, padahal waktu sudah karib dengan Malam. Gelapnya hampir sahaja melabuhkan tirainya sepenuhnya..Menggelapkan bhumi Pelalawan untuk persembahan malam ini.
Tapi yang lebih hamba sukai adalah bagaimana suasananya disini, dimana semuanya berumah serba sederhana, bertanahkan paya, jika airnya tinggi mendadak mencecahlah lantai rumah, hendak kerumah masing-masing perlu melintasi jambatan dahulu, ini pernah dimimpikan sebelumnya.. Hamba tersenyum sendiri, kerana cukup Sayang pada rakyat Pelalawan yang begitu menjaga amanah Rasul dan Para anbia didalam membela sesuatu yang ditunggu-tunggukan sekian lamanya, berbisik lagi sendiri:
kami hadir bukan untuk hiburan, namun "mengembalikan yang dahulu kepada yang lama"..maksud dahulu itu(bagi hamba) adalah yang berada DAri yang HULU(Hulu Terengganu) yang dikembalikan kepada yang lama, lama ditinggalkan, lama ditunggu-tunggukan.. dan penabalan Sultan Pelalawan ini bukan setakat mainan yang berupa Budaya masa sekarang, yang sekadar menjaga, tapi lebih menjurus kepada tujuan untuk melahirkan para "Wali-wali" Allah yang dimaksudkan Nabi kita Muhammad Sallalahualaihi wa salam.
Moga tugas sekecil ini mendapat pandangan Allah taala dengan benar agar tak disesatkan oleh gangguan yang pastinya menganggu gugat kita semuanya.
Syukur dengan apa pernah diajarkan, tekad diri membawa ke arah yang memang dirasakan oleh hati "Ini benar".. akhirnya setelah hampir 30 minit perjalanan. Akhirnya hamba sampailah ke asal mana hamba berlabuh sebentar tadi untuk mengambil "camera" hamba.. Kemudian hamba diajak bermandi di Sungai oleh Pendita. Memandangkan yang selainnya pada mungkin sudah selesai, kerana berjalan kaki dari rumah ke sungai hampir 5 minit perjalanannya..Maka kami berdwa kesanalah, hingga berselisihlah dengan yang lain yang tepat dijangkakan tadi..
Hamba dan Pendita meneruskan jalan kakinya ke sungai, melalui rumah salah seorang penduduk kampung itu, yang pada awalannya melihat dengan hairan, tak tahu pula kami bahawa orang kampung disana sudah berpesan pada sahabat-sahabat hamba tadi agar tidak mandi sedang waktu maghrib baharu masuk.. Kamipun mandilah, tapi hairan hamba tatkala setiapkali menoleh ke belakang dilihat penghuni rumah itu mengintai-intai kami seperti menjangkakan "sesuatu"..wallahualam..
Sedang hamba merendamkan kaki sambil mengenakan sabun dirambut, hamba bercakaplah dengan Pendita, ceritakan kisah tadi yang berlaku, dan "kar-kuzari"(ulasan) bersama. Yang menarik tentang Pendita, beliau adalah seorang yang bijak, berpelajaran tinggi dan begitu banyak pengalamannya dalam memahami apapun yang ditanyakan. Hemah bahasanya dan jenakanya membuatkan hamba cukup berkenanlah dihati, maka mula lah perbicaraan pendek kami mengenai hal apa yang kami pernah amalkan selama ini dengan persamaan disini.. Kalau tadi hamba memberitahu hamba rasa "hairan" kenapa orang kampung disini begitu bimbang pada kami, sedang kami disana selalunya mandi pada waktu seperti inilah. Biarkan yang lain mandi dahulu, kemudian baharu kita menyusuli.
Pokoknya, kami sudah mengamalkannya dan sudahpun biasa dengan keadaan apapun diletakkan. Kemudian sembang kami beralih bab lain, berkenaan rasa yang terbit dari diri hamba yang pada mengatakan "kami datang mengembalikan yang dahulu kepada yang lama"..rasanya tepat seperti memulangkan kembali apa yang tlah ditumpangkan atau diletakkan disuatu tempat, hingga suatu masa nanti diberikan semula..
Pendita pun merasakan yang sama, dan hamba tak hairanlah jika sahabat selainnya merasakannya juga. Alangkah peha kiri yang dicubit, peha kanan juga terasa juga.
Maka selesai mandi, sebaik sahaja hamba bangun, hamba terjatuh tersembam kerana permukaan kayu yang licin, Pendita jadi kaget/cuak langsung menarik hamba, mungkin dibimbanginya hamba tergolek ke dalam sungai yang dikatakan oleh orang kampung itu dalam dan gelap rupanya..Bergegar sebentar apungan kayu yang kami berada diatasnya itu. Terdengar suara seperti Tengku Ibrahim dihujung jambatan "Jangan kerasukkan dimaghrib ni Ku Bad".. Hamba ketawakan aja..
Sampai dirumah, kami bersiap, Solat dan menjamu selera sedikit yang dimasak khas oleh tuan rumah. Terus ke perkarangan Istana Sayap dengan kenderaan.
Di belakang pentas, kami diberi suntikkan semangat dari Yang Dipertua Dendang Anak dengan penuh bersemangat memperingatkan bahawa kami datang disini untuk mengembalikan kegemilangan Melayu zaman dahulu kala kepada rakyat serta Sultan mereka. Dipesankan lagi kesinambungan itu perlu kita capai sebaiknya dengan apa disampaikan, hujung segala pangkal untuk kali ini adalah "Jujur" dalam persembahan. Sempat bersalaman dan setelah itu kami dipanggil tampil,
lagu pertama: Ulek Mayang.
Asli dari Terengganu, pada mereka yang dari Terengganu, mereka tahu dan tak perlu lagi memberitahu lagunya bagaimana, namun tak ramailah tahu apa maksud Ulek Mayang?
Secara ringkasnya, Ulek Mayang itu adalah sebuah lagu yang pada menceritakan pembentukan diri sebagai seorang Wanita. Kerana itu disebut Putri berulangkali..Berbaju serong itu lemah dirinya-jalannya hemah hingga tahu maruah yang wajar dibela, Bersanggul sendeng itu lembut dirinya-tak perlu meninggi diri, Bersubang gading itu Sopan dirinya-tak terlalu mudah menghukum dan melihat kiri atau kanan kerana takut kena gading itu, Berkain sendeng itu Santun dirinya-tidak berjalan laju atau terlalu perlahan adalah kerana kain dipakaikan adalah membataskan langkahnya..Inilah antaranya usaha memupuk diri seorang Wanita dan buat pemahamannya yang lain itu terserah bagi empunya. Jika itu membawa anda kepada satu hal yang terangi fikiran kita berkenaan seni yang khas buat diri yang berTuhan.
Tamatlah Ulek Mayang setelah yang laut disuruh balik ke laut, yang darat disuruh balik ke darat, nasi berwarna dipersembahkan..
Setelah juruacara menyerahkan Majlis kepada Yang Dipertua Dendang Anak untuk menyampaikan ucapan dibawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pelalawan.
Dengan mengenakan pakainya beliau hitam putih serbanya dengan hemah yang rendah dirinya memulakan ucapan.
"Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, syukur yang selalunya dipanjatkan kepada Allah subahanahu wa taala, pertama sekali adalah kedatangan kami dari Terengganu untuk meraikan Kebawah Duli Tuanku Al-Sultan, Tengku Ubai dan semua yang hadir. Kami dari Terengganu, begitu merasakan dengan ruang serta peluang yang ada buat kami untuk sampai kesini begitu penting, segala yang disempurna jadi oleh Allah subahanahu wa taala adalah penting buat kami..
Sejak dari bangku persekolahan lagi, kami diajar untuk membaca sebuah buku, disitulah bermula cerita kami, pencarian kami, doa kami selama ini, tajuknya Sulalatus Salatin. Dihalaman 64, disebut oleh Nabi junjungan besar Nabi Muhammad Salallahualaihi wa salam yang tlah bersabda pada sahabat-handai baginda, mahfumnya:
Akan ada sebuah nya Negeri dibawah angin, Samudra namanya..maka disuruh Islamkanlah mereka-mereka yang ada disitu kerana akan lahir wali-wali Allah disana..kemudian setelah beberapa lama wafatnya Nabi Muhammad, di Madinah ada mendengar nama Samudra, Syeikh Ismail yang juga merupakan seorang Amirul Bahar ataupun Nahkoda kapal berlayar menuju kesana dan bertemulah mereka yang namanya Sultan Muhammad..Kemudian lahirlah rasmi seorang Sultan yang diberi nama Sultan Malikul Saleh.
Jadi, Nabi telah bersabda akan lahir "Wali-wali".
Di tempat kami, kerajaan yang Beraja itu 9 ada provinsi/negeri, 7 negeri asalnya dari Sumatra.
Terengganu-Riau,Pahang-Riau,Johhor-Riau,Melaka-Riau.Negeri Sembilan-Padang.Sementara itu di Perak, kerana itu lagunya Perak itu bermula dengan "....tanjung putus pasir selerak."
iaitu sebenarnya disinilah tempatnya...
Kehadiran kami bukan berharap apa-apa namun adalah kesyukuran semata-mata..
Benar, kami terbatas dari segi negara. Namun atas nama Budaya kami bersama....demikianlah apa Patik sampaikan.
wa billahi taufikul wa hidayah..wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh"....
Setelah Yang Dipertua selesai berucap dan beransur turun dari pentas, Ku Ubai menerpanya daripada jauh dan memeluk mesra dengan penuh Kasih Sayangnyalah Agama..Seraya teriak girang gembiranya..
"SELAMAT DATANG!...."
Didalam dada hamba bersama sahabat-sahabat lain pada menahan getaran rasa terharu pada ucapkata Yang Dipertua tadi, tidak mampu ditahan sudah. Maka mengalirlah airmata kesyukuran..Sepertinya satu pertemuan yang begitu lama ditunggu-tunggukan hinggalah ketemuan lagi.
Seterusnya majlis menyerah segalanya kepada ucap Titah Seri Paduka Baginda, maka Sultan Pelalawan pun mencemar dulinya untuk berangkat naik ke Pentas untuk memberi Titah baginda kepada rakyat...
"Bismillahirrahman nirrahim..
Asslamualaikum wa rahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillahirabbil alamin, wa bihi nastaim, waala alihi wassabihi wa salim ashrafil anbia iwal mursalim.
Pada sanak saudara terutama rombongan tetangga khas dari Terengganu. Merafak rasa syukur, ke atas apa yang dilaksana kini..semoga mendapat redhanya.
Apa kita lakukan adalah satu ajaran mulia Agama Rasul..
Ini satu rasa Syukur yang teramat dalam, menjalin kembali silaturahmi.
yang tlah lama terpisah..kini pada acara ini kita diketemukan..Daripada lubuk terdalam ayahnda, dari yang jauh mngorbankan segala antara Trangganu dan Pelalawan.
Ini adalah dalil, yang menunjukkan bahawasanya dengan adanya peringatan akan Sejarah masa lalu insyaAllah kita akan tidak hilang..
inilah rasa bahagia yg tak dapat diucapkan.Semoga menjadi ia petanda baik.Bahwa kasih sayang adalah agama yang kita adalah benar..
Dan akhir kalam ayahnda, ayahnda mohon maaf atas serba kekurangan yang ada.
wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh"...
selesai ucap Titah Seri Paduka Baginda Al Sultan, juruacara menyerahkan majlis kepada Dendang Anak untuk menyambung persembahan sambil mengesat titis airmata kerana ternyata bukan sahaja kami yang merasai, bahkan rakyat Pelalawan sendiri dibasahi hujan kesyukuran..
"seterusnya, marilah beri tepuk tangan kepada Dendang Anak..dan acara mulia ini saya serah kepada Nadhim.."
Ucap pertama muqadimmah Nadhim penuh berperasaan dan tinggi rasa kebangaannya terhadap apa yang dianugerahkan kepadanya:
"Usulnya Raja, Raja berdaulat,
Raja dijunjung,Raja beradat.
Panggilan Gunung kami persembahkan..dimana Raja bermula darinya....marilah sama-sama kita dengarkan Panggilan Gunung!!"
Panggilan Gunung keudara bagai suatu semboyan yang memanggil kembali Raja-raja serta titisan-titisannya kembali berkelana atau berjalan ke Gunung. Kerana disitulah titik permulaan bagi Muhammad Bin Abdullah mencari yang namanya Agama.. Menjadilah baginda Nabi Muhammad setelah itu, menjadi pemimpin buat Umatnya yang beragama Islam.
Nyanyian berselang seli suaranya Pendita,Malim,Kasturi,Nadim serta hamba sendiri, diikuti petikan Gitar Penghulu, Abu Suffyan, Tajul, bersama derau genderang paluan Arjuna,Aduka,Panji dan Aidil..Diatas semuanya yang menyulam adalah tiupan seruling buluh Putra..
"Melayu melata..selamanya....."
bergaung-gaung alunan merdu suara Bathin...
dipalu gendang,tanda bermula,
dilagu dendang,tanda gembira,
dipadu lantang,tanda bermula,
dimahu datang..tandanya dia...
kedatangan bergema..diikuti tarian istimewa khas datangnya dari Raja Alfirafindra yang penuh berseni tarinya.
Janji malam keramat menyusuli seterusnya..
Kemudian Yang Dipertua menyusuli disisi Malim..dengan memberi sepatah ucapan berkena mengena dengan lagu Melayu Sejati yang bakal dihadiahi buat duli Tuanku.
segala latihan yang diletakkan selama ini maka dipersembahkanlah kini, diikuti tarian istimewa Sanggar Pahlawan dari Dewan Kesenian Pelalawan..
Dengan penuh sepenuhnya, bersungguhnya dan sebenarlakunya.
Diakhiri dengan mengangkat Sembah Abdi menghadap Duli Tuanku tanda Hambanya diri seorang Melayu itu kepada Sultan yang adalah Imam kepada Rakyatnya..
Lagu yang mengakhiri babak 1 adalah Marhaban Bumi Pelalawan,dicipta khas buat Pelalawan..Katanya Yang Dipertua Dendang Anak.
Sebelum menyerahkan acara "Teater" pementasan anak-anak Pelalawan, berlakulah Majlis penyerahan Cenderamata antara Dendang Anak Terengganu dan Sultan Pelalawan pun berlangsung. Bekas Cakera padat dan Watikah lirik Lagu Melayu Sejati dipersembahkan dan penyerahan cenderamata dari Sultan Pelalawan.
1 Jam setelah pementasan yang menarik dan mencuit hati tadi, maka tibalah babak terakhir bagi persembahan kumpulan Dendang Anak.
Dwa buah lagu dipersembahkan,
yang pertama adalah Gurindam Jiwa. Gabungan suara antara Bathin dan Fatimah Amir, seorang penyanyi yang terkenal di Aceh dan Pelalawan.
Adalah satu persembahan yang cukup mendalam maknanya, jika diambil penyanyi lelakinya itu adalah dari Terengganu orangnya, manakala Fatimah Amir itu adalah Aceh asli datangnya.. Ini satu hubungan yang terjalin kembali, yang bukan disengaja adakan oleh kami ataupun siapa-siapa. Yang pasti, pertemuan itu adalah milik Yang Maha Menemukan kita antara kita.
Jika tidak kita pada mengaitkan lagu tersebut dengan penyanyinya, maka cuba dikaitkan pula lagunya pula, apa maksud yang tersirat yang dapat dijalin dengan yang tersurat menjadi satu cetusan yang sehingga pada diri anda berbisik sendiri berkata: "ya iya tak iya kan?"
"Tuai Padi Antara Masak,
Esok Jangan Layu-layuan.."
jika hendak ditanam, hendak tahu tempatnya dimana, berapa bilangannya, perlu dirancangkan kesemuanya..kemudian sesebuah usaha yang gigih perlu ada padanya penyerahan. Kerana yang memastikan semua itu adalah pastinya Tuhan, bukan kita.
Begitu juga jika kita pada berkasih-kasihan yang dibawa ke jinjang pelamin. Yang berusaha itu kita, yang merancang itu kita, namun yang menentukan adalah tetap Allah yang maha esa maha menjadikan.
"Intai kami Antara Nampak,
Esok Jangan Rindu-rinduan.."
kalau tiadalah yang namanya Istimewa. Kekuatan untuk mengenalpasti siapa di-"Intai"kan itu didalam mengetahui sama-ada ia adalah yang "kami" atau kamu atau sesiapapun, anda pada melihat yang terhijab, "Antara" yang "Nampak" atau tidak nampak, kemudian dipesankan agar "Esok" itu "Jangan"-lah di "Rindu-rinduan"..Bermakna, janganlah sering harapkan yang esok kerana yang esok itu selalu yang buat kita sambil lewa, meremehkan apa dilakukan hari ini dengan terbaik sedang esok masih kelam rupanya, masih Tiada mungkin..
"burung merpati terbang seribu,
hinggap seekor ditengah laman.."
Sering dikaitkan Burung Merpati itu kepada lambang kebebasan dan kemerdekaan.
Langit kita katakan satu ruang yang bebas dan luas, mendung atau terang sama dinikmati dan dikejarkan..Kebebasan seekor burung itu untuk kemana-mana sahaja dianggap suatu yang bebas dan boleh dilakukan semuanya tanpa batas.
Jikalah tlah hinggap seekor burung merpati di laman itu seekor dari yang seribu maknanya(barangkali) adalah membawa maksud yang dinisbahkan oleh Nabi kita menjelang akhir zaman yang mahfumnya adalah yang 1000 dari itu cuma satu yang terpilih untuk ke Syurga..bermaksud begitu ramai bersaing untuk sesuatu yang abadi, sedikit jumlahnya yang sanggup. yang "hinggap seekor ditengah laman" itulah yang memperolehi kemenangan dan kebebasan yang abadi buatnya, kerana menjadi seekor burung pun mereka memerlukan makanan untuk tenaga agar dapat terbang lagi..Apa nasib mereka yang tlah terbang seribu tadi yang terbang kesana sini pada menyangka bahawa diudara itulah kebebasan yang sebenarnya, walhal yang bebas itu cuma di Syurga. Namun penulis tidak mengibarati ia dengan manusia, sedangkan yang membezakan manusia dan makhluk lain adalah Akal,Qalam,Hati..dan yang paling jelas lagi nyatanya, penghuni Syurga itu cuma manusia, sepertimana yang tercatit pada Al-Quran ataupun Hadis. Boleh saja ia menjadi satu teguran yang "sinis" atau dalam buat kita dizaman ini, boleh sahaja kita merasai salah itu pada diri. Kerana yang mencari kebebasan itu adalah "binatang" bukan kita, yang bersungguh menyangka itu "binatang" bukan kita..yang sering pada kebudayaan yang senang dan mudah.
kemudian penulis menyambung gurindamnya:
"Hendak mati dihujung kuku,
hendak berkubur ditapak tangan"
Mati itu satu hal yang dianggap akhir, kita merasai inilah hujungnya..sedang Mati itu satu permulaan yang baharu, perpindahan kepada Barzakh-Akhirat kemudian Syurga atau Neraka. Jika pada mengharap yang bakal dikuburkan itu..baiklah berdoa dan berusaha atas yang diharapkan.. ya, "berkubur ditapak tangan" itulah Doa, bernesankan dua belah Ibu Jari dikanan dan kiri tangan..
wallahualam..ini sekadar secubit dari Gurindam Jiwa yang pernah tertulis dan dinyanyikan seawal keberadaan kita lagi. Penulisnya tiada kita ketahui siapa dan adalah rahasia bagi yang mengetahuinya..
Selepas tamat babak "Gurindam Jiwa" maka "Puja Puji" didendangkan.
Ini merupakan lagu "Tema" buat Dendang Anak. Kerana boleh dikatakan semua persembahan kami akan memainkan lagu yang kami anggap paling istimewa..
Maka inilah babak penutup, selesai penggambaran bersama Sultan Pelalawan dan Rakyat Pelalawan bersama Dendang Anak. Majlis bersurai setelah mencemar Duli Seri Paduka Baginda dari tapak temasya.
Kami langsung pulang dan berehat,
setelah selesai mengenakan pakai untuk tidur. Yang Dipertua meminta agar dimainkan beberapa buah lagu buat Tuan Rumah, Tengku Ibrahim serta Sanggar Pahlawan..Sesudah itu kami berehatlah..
Hamba keluar berjalan diluar sambil menghirup udara segar Pelalawan yang bebas pencemaran, sangat sangat sangat lain dari tempat-tempat lain..Teringat hamba akan kampung kami di Terengganu. Ditilik bulan dilangit cantik rupanya.. Dada merasuk lega setelah menyelesaikan sebahagian besar tugas yang ada dipertanggungjawabkan kepada kami semua.
Deru angin sungguh asyik yang kusangkakan dari hulu,
rupanya dihilir..kami bertemu yang lama,
sudah dikembalikan yang dahulu,
moga kita kekal bersaudara semua dengan bersyukur pada Agama yang dianugrah bersama.
bersambung lagi esok..jikalau masih ada.
ڤادوکا