Hari kelapan mungkin hari yang paling meletihkan,
itu fikir hamba sebelum jatuh terlena menjelang tibanya.
Seawal pagi, sekitar 0700 pagi tlah dibangunkan dan bersiap untuk ke SMA 1. Sebuah sekolah lagi terletak di sekitar daerah Pelalawan.
tidaklah begitu jauh andai hendak dibandingkan jaraknya dengan ke Sekolah Bestari Tempoh hari..
Tiba kami di sana, kelihatan anak-anak sekolah menengah atas yang begitu gembira dibawah dewan utama mereka. Senyuman merata-rata kelihatan.
Setelah Juruacara memulakan majlis dengan ucapan selamat datang,
bermulalah persembahan pertama dimana ia adalah pementasan lakonan wayang atau "theatre" oleh anak-anak SMA 1. Walaupun disebabkan oleh keadaan yang begitu meriah tidak dapat oleh hamba memahami cerita yang dipentaskan, masih menghargai sepenuh dan sangat-sangat merasakan cukup bangga dengan lakonan serta susunan jalan cerita yang tidaklah mendatar atau membosankan. Tahniah SMA 1 Pelalawan diatas persembahan yang sangat memberansangkan!..
Dendangan kami setelah selesai persembahan tersebut tlah menyemarakkan keriangan pagi itu,
Wajah, Bunga Idaman, Adik berbaju bunga,Kecintaan,Takkan Melayu Hilang Didunia dan diakhiri dengan Lautan Kasih.
Sebelum penutup masih ada satu lagi persembahan nyanyian daripada anak-anak SMA yang sungguh melucukan gara-gara melihat telatah dan gelagat masing-masing.
Selesai sesi penggambaran dan tandatangan maka kami beredar ke Lapangan dimana acara terakhir kami bakal dilangsungkan malam ini.
Apa yang lebih menarik, kami berkerjasama dengan orang-orang Kerinchi dalam menyampaikan himpunan lagu-lagu menjelang persembahan nanti. Raptai atau latihan terus menerus dijalani seawal jam 0900 pagi hingga 1200 tengah hari. Ada kerana kami perlu ke Dewan Kebudayaan Pelalawan untuk menghadiri acara Makan tengah hari dan suai kenal silaturrahimi dengan peserta lain.
Sesampai disana kami makan tengah hari, hidangan yang menyelerakan buat kami terduduk seketika kekenyangan sambil dihiburkan oleh nyanyian peserta lain. Tiba giliran kami, Pendita diputuskan untuk mewakili kami dengan menyanyikan dua buah lagu, Kasih Abadi dan Bunga Cinta. Diikuti oleh nyanyian istimewa oleh orang besar Pelalawan yang mengumumkan bahawa lagu Madu Tiga, garapan Tan Sri P Ramlee yang bakal dinyanyikan oleh beliau ditujukan kepada kami. Begitu terbukanya mereka dan begitu mesra nya hubungan diwujudkan..
Gelak tawa kami diakhiri setelah Raja Epi, selaku Event Co-Ordinator dan saudara hamba yang mulia mengumumkan penyesalan bahawa kami dan ahli kebudayaan Pelalawan terpaksa beredar ke Pentas utama untuk meneruskan latihan malam nanti.
30 minit seterusnya kami sampai di tempat dimana tugas yang belum selesai harus dilaksanakan.
Kerjasama yang diberi tanpa mengira begitu jelas kelihatan, didalam raut kesungguhan masing-masing nyata menunjukkan bahawa kami begitu inginkan yang terbaik.
Terik matahari bukan kepalang, ulang demi ulangan dibuat bagi memastikan semua berjalan lancar memaksa kami memberikan yang paling terdaya dapat disumbangkan, semua dilakukan demi untuk memartabatkan budaya Melayu dipersada seni di mata Dunia suatu hari nanti.
Jam 1630 kelihatan mempaksi pada peniti masa dipergelangan tangan Nadhim, masa untuk pulang ke pengkalan agar dapat berehat seketika dan kemudian meneruskan kerja yang terakhir kami sebelum pulang ke Trangganu.
Menjelang 1930, tiba sudah masanya untuk memberikan yang paling terbaik untuk mengukir kembali nama Dendang Anak sepertimana yang termaktub pada Salatus Salatin.
dimana Dendang Anak bersama orang Indragiri, tidak lupa juga termasuk orang-orang Kerinchi memandangkan mereka semuanya adalah dari kepulauan Riau yang berangkat bersama menuju ke Gunung Ledang untuk meminang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan mereka..
2030- 3 buah persembahan dimulai, Pamuja, Pekan Baru, Semenda dari Medan. Kemudian tibalah masa bagi kami dan orang-orang Kerinci yang terdiri dari lapisan kanak-kanak,remaja, dewasa dan yang berumur. Sengaja disusun semata-mata untuk menjelaskan bahawa Dendang Anak ini tidak hanya untuk kalangan pemuda ataupun dewasa, kerana Dendang Anak sendiri adalah pejuang seni yang tiada bersempadan!..
Bathin selaku Mutakkalim utama kepada Dendang Anak memulakan persembahan dengan mengangkat sembah hormat kepada pembesar yang hadir dan juga penonton,
sebaik sahaja itu bermulalah alunan gelombang pertama...
"Ana Miskin Ana Hina, Ana Yakin Ana Hamba..
Ana takut mata Tutup, Ana tuntut maksud Hidup,
lailahailallah..lailahailallah..lailahailallah..Muhammadur Rasulullah,
Mula Dengan Tajam Fikir, Hidup Pula Dalam Fakir,
Lidah Banyakkan Berzikir, Agar Allah Singkap Tabir,
lailahailallah..lailahailallah..lailahailallah..Muhammadur Rasulullah,
Maka Sampai Alam Kabir, Baharu Tahu maksud Takdir,
Baharu Kenal maha Tadbir, Tiada Awal Tiada Akhir,
lailahailallah..lailahailallah..lailahailallah..Muhammadur Rasulullah,"
Sebagai sebuah "Nazam" yang seringkali kami lantunkan di kampung kami. Terbayang hamba ketika itu,sepertimana berada di masjid kayu buatan kami sendiri, tak berkipas, sekadar berlampukan pelita ayam, dikelilingi hutan belantara yang terpencil dahulunya, nyaman lagi aman yang amat..
Belum selesai menarik nafas, Pendita menyambung pula dengan Selawat Dhzalim, yang telahpun kami alunkan semasa lawatan ke Istana Sayap tempoh hari, yang juga terkandung pada amalan yang sering kami susuli selepas bernazam. Seketika mata hamba terbuka untuk melihat penonton malam itu, suasana sekadar terdiam dan raut wajah dibawah pentas kelihatan tergamam ada, hairan ada, pelik ada, kelu pun ada.. Pendapat hamba, terkesima..berkemungkinan pernah terdengar atau tidak pernah didengari dari mana-mana..wallahualam, namun apa yang jelas semua yang baik dari Allah taala semata-mata.
Selesai dwa perkara, kami semua duduk.
Pergendangan yang tlah disusun atur molek oleh yang Di Pertua semuanya berdentam dentum dengan rentak Inang nya bersatu dalam gabungan Drum, dwa biji Tabuh, dwa biji Rebana, Gendang Silat dan Kompang.
"Kecintaan" didendangkan atas rasa betapa syukurnya kepada Illahi diatas keizinan dan pemberianNya atas segala maksud yang senang bahkan yang sukar. Semua diatur oleh Nya berdasarkan ketentuan dan kemahuanNya.
berselang dengan Ungkapan Nadhim didalam menyampaikan muqadimah awal sebelum Puja Puji diletuskan ke udara Pelalawan. Secara terus menerus ( medley ), "Fadhilat Tersirat" masuk bertandang seketika sebelum rentak gendang disemarakkan lagi diikuti kejutan istimewa oleh orang-orang Kerinchi dengan mentera mereka,
bersambung kembali dengan laungan Bathin,
"Diangkat!.............." (selama 10 harakat pada kiraan hamba), 2 detik terhenti seketika, kemudian disambung kembali: "Seribu Darjat".."Chorus" lagu Malam Seribu Darjat hingga ke akhir lagu..
Tepukkan penonton pada waktu itu sudahpun gemuruh, walhal masih ada lagi 1 lagu yang hendak di jalinkan bersama 6 yang lain. Ditenangkan oleh Nadhim, kemudian bersambung kembali persembahan terakhir buat kami sebelum berangkat pulang.
Amanat terakhir yang Penghulu fikir dan tegaskan kepada sahabat yang lain,
agar anak Melayu tidak lupa bahawa "kita ada wawasan..iaitu wawasan akhir zaman"..
begitu rapatnya hubungan Bangsa yang mengotakan Agama didalamnya.
"Takkan Melayu Hilang Di Dunia" bergema bagi mengakhiri malam itu..
Namun itu sangka kami, sebaik habis lagu tersebut, Raja Epi tampil di pentas dan mengumumkan bahawa ada lagi 2 buah lagu tambahan kerana permintaan yang tinggi dari Pelalawan. Sungguh terharu rasanya dihati hamba, begitu hebatnya sambutan yang diberikan..bayangkan, jam sudah lewat 2350 namun penonton masih tidak berganjak daripada situ. Masih tetap meyakinkan diri mereka bahawa masih ada persembahan lagi sungguhpun tlah diumumkan kami yang terakhir..
Anda tanya diri anda, "Apa pengertian Budaya kepada diri anda jikalau ia BUKAN dimunafaatkan sebagai satu Raga kepada Bangsa?"
Maka yang mengakhiri malam itu adalah "Wajah Mu" dan "Janji Malam Keramat".
..sebaik ucapan terimakasih dan penghargaan dibuat bagi menutup majlis. Hamba rasa begitu lega dan sangat-sangat bersyukur diatas kejayaan yang tlah diraih bersama-sama sebagai satu anggota kumpulan.
Sebaik sahaja turun daripada pentas,
"Gelar Muhibbah Serumpun 2010, Pelalawan Baru"
sudah diisytihar usai.
Kelihatan masing-masing didatangi oleh pelbagai kalangan orang yang ingin tahu lebih lanjut berkenaan Dendang Anak.
dari samar bingit meriahnya malam, terdengar soalan yang menarik corong pendengaran hamba tepat memburunya :"Siapa Dendang Anak?"
itu persoalan yang cukup meremangkan bulu roma hamba sendiri.. yang difikir bukan kami-kami ini, namun "Siapa" yang dimaksudkan dalam garapan Salatus Salatin itu yang menghantui diri hamba dalam menjawab soalan itu.
Kami bukan "Artist" atau "Pemuzik", itu sentiasa dipesan oleh yang Di Pertua Dendang Anak kepada kami..maka kami haruslah setya dengan itu agar yang disampaikan menjadi satu yang jujur atau luhur dengan izin Allah disampaikan kepada penonton sebagai sebuah persembahan yang menyatakan kebesaran atau keagungan Allah taala itu sendiri yang menciptakan kita diantara bangsa,suku,kaum yang berlainan untuk kita saling kenal mengenal akan Agama Nya yang diturunkan untuk menyusun jalan kembali semula kepadaNya..wallahualam.
Untuk hamba, hamba rasa sangat berterima kasih kepada mereka yang sudi bertandang kemari dan mereka yang sanggup tunggu hingga selesai persembahan hanya semata-mata untuk bersua seketika berbicara berkenaan Dendang Anak dan bergambar serba sedikit untuk kenang-kenangan.
Acara malam tersebut diakhiri dengan keletihan yang paling letih, seandainya hendak dibandingkan dengan hari-hari lain sepanjang jlajah kami dari Trangganu ke Melaka ke Siak kemudian ke Pelalawan.. namun kemanisan itu sangat mahal untuk dirasai, tak dijual dan tak dapat dibeli.
Pulang ke Hotel Murni, mandi dan beristirehat secukupnya kerana esok tengah hari kami dijemput ke rumah Tengku Ibrahim dan lewat tengah malamnya pula, kami bakal berangkat ke Pak Ning untuk tangguh terus menuju Melaka..
Rasanya malas sebenarnya nak pulang, masih belum puas ke sekitar perkampungan Istana Sayap yang cuma kami lawati tidak sampai satu jam. Belum kenal orang-orang kerinci dengan lebih mendalam didalam memahami cara kehidupan mereka disini bagaimana. Tambahan hamba kelmarin baharu sahaja selesai peperiksaan dipusat pengajian hamba, sehari sebelum bertungkus lumus beramai-ramai agar kita berjaya menjlajah ke sini. Fikirnya hendak berehat seketika, namun mungkin adalah masanya yang sesuai. Bukan sekarang barangkalinya..
InsyaAllah bersambung lagi..
ڤادوکا