1 October 2010, Jum'at.
jam mempaksi lurus kepada angka 0655, waktu sang fajar mulai membahagi-bahagikan cahayanya kepada serata alam dan makhluk, hamba dan 8 ahli anggota kumpulan Dendang Anak tiba di tanah Darul Makmur bagi menyelesaikan tugas menyiapkan buku pengenalan diri antarabangsa atau selesa digelarkannya sebagai "passport".
kehadiran kami disambut oleh seorang rakan rapat hamba di negeri Pahang, dikenali umum sebagai "Abdullah Jones" oleh para budayawan, seniman, penggemar seni dan pelukis di Malaysia. kesungguhan untuk membantu kami terpancar dari riak wajahnya setelah kami dibawa olehnya ke Immigration Pahang. Walaupun terdapat sedikit permasaalahan bagi menyiapkan Passport, syukur ia tetap berjalan seperti yang dirancangkan. Sementara menunggu tempoh 1 jam untuk siap, kami dirai oleh beliau untuk bersarapan pagi. Suasana di meja makan begitu meriah dengan gelak ketawa dan pelbagai cerita dikongsikan. Jam menunjukkan 1020, dan sedang asyik hamba berbicara bersama beliau, beliau mendapat panggilan telefon dari anaknya untuk dihantar ke sekolah kerana lagi sedang menjalani periksa. Terpaksalah beliau beredar dari situ untuk meneruskan perjalanannya seawal pagi itu (yang sebenarnya hamba sudahpun berkali-kali menyuruh beliau pergi untuk selesaikan urusannya, namun beliau tetap berdegil untuk sama-sama bantu kami)..
1050 pagi maka siap semuanya kelapan-lapan Passport tersebut, masih jauh untuk dikatakan pasti kami ke Indonesia!.. Masih ada beberapa hal yang perlu dibereskan, oleh kerana tlah bermulalah persembahan mingguan kami bertempat di Coffeehouse Primula Hotel dari jam 1515 hingga 1815, setiap Jum'at dan Sabtu maka kami tidak membuang masa untuk terus pulang dari Kuantan ke Kuala Terengganu semula.
1430 sampailah kami di Kuala Terengganu, berkumpul lah kami di Istana Seni untuk "zehen" atau "briefing" oleh Yang Dipertua Dendang Anak. Setelah itu kami terus ke Primula Hotel bagi tujuan melancarkan perjalanan.
1830 kami pulang dan bersiap-siap untuk ke Melaka pula. Pada 9 helaian Ticket Bas tersebut menunjukkan bahwa kami perlu berada di Bus Station sebelum 2030. Hamba dilantik sementara oleh Yang Dipertua selaku Ameer Perjalanan untuk membawa Tajul,Pitung,Arjuna,Malim,Nadhim,Penghulu,Abu Sufyan,Kasturi sampai ke tujuan dengan selamat dan lancar,
Sementara yang selainnya seperti Aduka, Pendita, Bathin, Putra, Panji dan Yang Dipertua sendiri akan bertolak dengan kereta untuk ke Melaka.
Makhdum,Angah dan selainnya sahabat kami disana akan menyambut ketibaan kami di Bus Station Melaka Sentral pada sekitar jam 0545 pagi. Bertempat dan berehat kami semuanya di Pondok Melaka di Bukit Piatu.
0900 pagi waktunya, harinya sudah berubah kepada hari Sabtu yang bertarikh 2 haribulan October 2010. Selesai mandi bersiap, bersarapan pagi dan bermesyuarat kami terus ke Pelabuhan Melaka untuk memunggah semua muatan dalam Ferry Mulia Kencana.
Alhamdulillahirabbilalamin..semua berjalan lancar sepertimana yang dirancangkan.
1430 kami meneruskan perlayaran kami ke Pelabuhan Bengkalis (yang memakan masa 3 jam untuk sampai) kemudian terus ke Pak Ning (2 jam perjalanan) dan akhirnya Siak (2 jam setengah).
Sewaktu di Pelabuhan Bengkalis, kami turun ke Immigration Indonesia untuk cop Passport dan kemudian naik semula ferry.
Yang menarik perhatian hamba adalah ada dari kalangan orang Indonesia yang menegur saya, dan menunjukkan ke seberang lautan itu akan raut wajah Gunung Ledang yang tergambar megah. Yang Dipertua Dendang Anak, begitu juga yang merenung dalam ke arah yang sama, barangkali lebih awal dari kesadaran hamba. Saya kearahnya, dan bertanyakan padanya untuk kesahihan, "itu kan Gunung Ledang?"..dijawab "iya, itu yang dimaksudkan Gabungan Ledang dalam lirik lagu Usul Bangsa"..
Sedang dalam perjalanan menuju ke Pak Ning pula, sambil berdendang diatas deck kapal, terimbas kembali hamba akan perjalanan awal kita hingga akhirnya terlaksanalah ia..
Oleh kerana sepatutnya seawal 1 haribulan October kami sepatutnya berada di Siak, kerana permintaan mereka agar-agar kami dapat membuat persembahan di malam pembukaan. Diatas beberapa hal yang sulit tidak dapat dielakkan kami terpaksa menganjakkannya kepada tanggal 3 haribulan, balasan kiriman surat pendek di telefon bimbit hamba dari Tengku Muhaslida, ketua kesenian dan kebudayaan Siak:
"Kami di Siak mendoakan agar Kumpulan Dendang Anak boleh membuat persembahan di Siak, tak kira tanggal berapa boleh ke Siak, Pelalawan sudah kami kontak dan mereka siap uruskan Dendang Anak menuju ke Pelalawan, kasi perkhabaran, supaya kami dapat siapkan bus sebagai transportasi dari Pak Ning menuju ke Siak!"
...begitu bersungguhlah mereka kepada membantu kami, Tengku Muhaslida atau dipanggil mesra Ku Mus saling tidak putus untuk menghubungi hamba, kiriman surat pendeknya tidak lekang dari pertanyaan akan khabar Dendang Anak samaada kami jadi siap untuk kesana ataupun tidak. Kami sendiri yang pada ratanya bukanlah daripada kalangan yang "berduit banyak" ini begitu bersungguhlah mencuba yang terbaik bagi mencari dan mengumpulkan sejumlah kos agar sampai ke sana..dan Alhamdulillah pada separuh daripada perancangan kami untuk berjaya sampai kesana akhirnya terlaksana. Walaupun baharu setengah daripada perjalanan. Panggilan Pelalawan masih menanti dihadapan.
Jelajah kami bakal hamba susuli..InsyaAllah.
ڤادوکا