Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,
Kali ini perjalanan kami bermula dari awal pagi setelah Matahari mencelikkan harinya menyuluh kehidupan sekalian makhluk siang.
Pesan amanat Yang Dipertua kali ini kuat menekan kan perasaan risau kami pada mengembalikan Sejarah kepada sekalian rakyat Temasek. Dan pada meraikan mereka semua diatas ruang dan peluang yang diberikan..
"Ziarah" kali kedwa kami ke Singa-pura ini memanglah satu Al-Kisah yang menyambung kembali jalinan persaudaraan.. Bukanlah ia satu percaturan rawak yang biasa kita namainya "Show" namun ia adalah satu persembahan yang digelar akannya "Maal".
Waktu 11 maka bergeraklah kita menuju ke Stulang Laut, Johor Darul Ta'zim. Pada permulaan perjalanan sudah ditemukan ujian, iaitu kenderaan Pendita mengalami kerosakkan hingga mengeluarkan kepulan asap tanda amaran bahwa kereta ini patut digantikan, mujur sekali ketika itu kami maseh berada dekat dengan Kuala Terengganu, walaupun memakan masa hampir 1 jam untuk sampai kenderaan yang satunya lagi.
Hentian demi hentian, oleh kerana kami sebenarnya tiadalah biasanya memandu jarak jauh pada waktu siang. Hingga mendung di Pahang Darul Makmur kami lewati begitu pekat gelapnya, adakala terlihat seperti malampun ada.
Azan Maghrib berkumandang di bandar serba sibuk dan sungguh sesak, adi kerana Johor Baharu yang letaknya diantara Melaka dan Temasek atau Singa pura, dari dahulu hingga kini tiada pernah hilang kesibukkannya. Ia adalah laluan yang menjabat tangan para pedagang dari tempat lain, barangkali kerana itu mungkin ia digelar "Darul Ta'zim"..
Andaikata di tafsir akan ia dari Bahasa Arab, Ta' Azim adalah Hormat atau Memuliakan. Sesuailah Negeri Jauhar yang dikenali suatu masa dahulu ini meraikan sesiapapun yang bertandang kemari diatas dasar persaudaraan.
Maka sampailah kami waktunya yang 730 seraya bergema melatanya Azan Solat Fardhu Maghrib. Diatas persaudaraan yang tlah dijalan sebelum ini dengan penjaga Surau An-Nur di daerah Stulang Laut, maka dibenarkanlah kami menyimpan kenderaan disitu selama ketiadaan di Malaysia(yang kini kita kenali).
Rizal adalah nama penyambut atau istiqbal yang bakal membawa kami semua berserta barang-barang kami, agar dapat melintasi seberang tambak sana dengan menaiki kenderaan besarnya. Buat diri yang terbiasa dengan panggilan serba nama-nama namun tidak tahu apakah maksudnya, Rizal atau Rijal adalah "Pemimpin" didalam ertikata bahasa Arab. Buat hamba, ia adalah suatu hal yang bukan kebetulan, ia sebuah tanda yang baik buat semua oleh kerana Niat kali ini adalah ber"tajuk" kan lagu "Usul Bangsa" dimana berkisar bagaimana permulaan Bangsa.
Dan tiada kiranya bangsa mereka itu apa, yang rumpun utama terawal pasti ada sa-orang pemimpin,
Arab ada Sultan nya dizaman dahulu, adalah terbukti adanya "Sultan" baikpun yang zalim ketika Firaun bermaharajalela ataupun Raja Agung Sulaiman Alaihissalam.
Bangsa Cina yang ramailah sungguh diantara mereka yang terdiri daripada nya para cerdik cendekia, ahli fikir hingga tabib tersohor dengan menjadikan Zhao dari Han sebagai "Emperor" mereka ataupun Kaisar Yuan dan sebagainya menunjukkan Cina pada zaman dahulu pun sudah memperakui akan pemerintahan sebegini adalah terbaik.
Bangsa India dengan Maharaja-maharaja mereka pada seawal usul nya era Mahabharata sebagai contoh yang paling tua pernah ditemukan oleh Sejarah sendiri menyatakan maseh yang kekal menjamin kehidupan hingga kini adalah kerana susun atur pemerintahannya berpandukan hanya satu pemimpin utama.
Bagaimana tamsil kita terhadap sejarah Melayu pula? Layak atau tiada layakkah bagi kita pun ada Sultan atau Agung atau Duli Yang Maha Mulia sepertimana adanya Bangsa lain?
Bukankah tujuan utama diciptakan Bangsa ini adalah demi suatu perkenalan didalam mengertikan betapa istimewanya perbezaan yang ada?
Hamba ajak pekanira sekalian tenungkan sedalam-dalamnya dan lihat pada pantulan air yang jernih di lautan atau sungai yang tak terancam oleh alunan supaya pekanira jelas menilik diri empunya mengenai nasib malang yang kita sendiri merelakan ia agar terjadi.
Setelah sampai di tambak agar segala laporan diri itu sah untuk merantau di negeri orang kini, lega-lah kiranya. Kerana sudah dwa kali buat pengalaman hamba suatu masa dahulu, ditahan oleh pihak "immigration" dan di panggil masuk ke kamar soal-siasat hanya kerana gambar hamba berjanggut sejemput dan bercelak tebal ketika itu. Dah jadi suatu hal yang kecoh..Dengar khabar dari rantau, pengalaman di Negara Ratu Elizabeth lebih dahsyat bilamana orang beragama Islam sudahpun disoal sepertinya sa orang penggugat Negara. Sejauhmana kebenaran tersebut elok kita tanya yang pernah, jangan didengarkan yang tiada kemudian terus oleh kita percaya sebulat-bulatnya. Itu perilaku zalim namanya. Dan sebagai orang yang Islam, Hukuman bukan yang senang-senang dijatuhkan, Islam yang sebenar mengelak perpecahan, Islam yang sebenar menolak sama sekali sengketa. Islam luas.. dan boleh sahaja dikatakan mendendangkan alunan Lagu yang berunsur ketuhanan itu satu Dakwah, dan orang yang berpergian atas nama Dakwah, seandainya mati barangkali juga Jihad. Namun begitu dari hamba, tiadalah berani meletakkan siapa yang masuk Syurga atau tidak, itu kerja Tuhan. Kita bukan Tuhan.
Dari gerbang utama masuk Singa-pura, maka bergeraklah kenderaan yang dipacu oleh Rizal terus ke "medan" juang kami. Iaitu di Singapore Expo. Namun setengah kiranya perjalanan, hamba terima panggilan dari Rozi-salah sa-orang setiausaha yang menguruskan kami disana, memaklumkan bahawa sesi uji swara ditangguh hingga ke esok kerana sudah lewat malam. Maka kami langsung ke penginapan di sebuah tempat peranginan daerah Pasir Ris.
Walaupun berlaku sedikit permasaalahan, segera ia dibantu oleh saudari Maria dan Suaminya yang menyediakan makan malam serta tilam bantal yang cukup buat kami semua.
Malam ini memanglah penat, sungguhpun begitu menunggu yang paling dirindui itu lebihlah dari tenat,
hamba ajak pekanira sekali lagi beringat, diatas catitan yang tersirat keringat..
panjang umur maka bersualah lagi esok hari,
bi iznillah.
ڤادوکا