Thursday, February 3, 2011

Jelajah Dendang Anak, Temasik(Hari Tiga) | Menyusuli Jejak Waliullah Melayu : Habib Nuh

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

sudahlah hari tiga angkanya keberadaan di Temasik,
pagi yang terang separa mendung bersama deru angin yang turun bersama hujan kerahmatan tanpa henti ini bakal kami tinggalkan beberapa lama lagi..
Namun sebelum itu hamba dan Putra begitu teringinlah memenuhi hasrat atau sedikit permintaan dari Yang Dipertua agar menziarahi Makamnya Habib Nuh. Maka setelah sarapan kami langsunglah ke makam salah seorang yang cukup tersohor kini dikenali oleh orang Melayu disini sebagai wali Allah.

Tibanya kami disana, sayup kelihatan tinggi makamnya berada dipuncak bukit. Turun dari kenderaan maka kami berjalanlah kesana, walau hujan menimpa lebat tanpa hentinya kami redah.. Terkenang hamba sepertimana suatu kisah berkenaan orang istimewa yang bakal kami dekati ini yang pergi dari Teluk Belanga ke Paya Lebar pada suatu hari yang lebat hujan berserta ributnya hanya kerana ingin mengubati kanak-kanak yang sakit. Setelah beliau tiba dirumah itu, kedua orang tua kepada kanak-kanak itu terkejut dan jadi hairan kerana Habib Nuh tidak langsung basah kerana air hujan tersebut. Persoalannya bagaimana hujan seperti lebat itu tidak langsung membasahkan pakaiannya?....

Kami menuju ke 49 langkah tangga yang menaik ke arah makam yang pernah juga diceritakan bahawa pada Perang Dunia ke Dwa, Kapal Terbang Jepun pernah menjatuhkan sebuah bom tepat kearah Makam beliau namun disekelilingnya mendapat kerosakkan kecuali makam beliau yang langsung tidak terjejas.

Akhirnya sampailah kami berdwa keatasnya, sambil merenungkan segala amal baik beliau agar moga-moganya kami dan anda yang akan mengunjungi makam beliau laksanakan juga. Dengan lafaz Bismillah berserta Al-Fatihah yang menyusuli amal beliau yang sedikit sebanyak telahpun meninggalkan kesan yang mendalam kedalam lubuk pemikiran kita sesama kita, bahawa Agama Islam dibawah pimpinan Rasulullah ini benar..dan langsung tiada kebengkokan didalamnya.

Jika mengikut sejarah awal beliau, sebelum kedatangan ke Temasik, Habib Noh bin Muhammad Al-Habshyi, keturunan Rasulullah s.a.w. menerusi nasab Zainal Abidin bin Sayidina Hussein Radhiallahuanhu datang dari Kedah Darul Aman. Berempat adik-beradik lelaki iaitu Habib Noh, Habib Ariffin(bermakam di Pulau Pinang),
Habib Zain (bermakam di Pulau Pinang) dan Habib Salikin,
yang bermakam di Daik, Indonesia.
Dipercayai berdasar fakta yang tersedia ada, Habib Nuh sampai ke Temasik tidak lama sesudah
Stamford Raffles mendarat di pulau itu. Usianya pada ketika itu
sekitar tiga puluhan tahunnya. Walaupun beliau telah menghabiskan saki-baki
usianya di Singapura, beliau dipercayai telahpun menyebarkan usaha Dakwah keserata Tanah Melayu..

Banyak lagi kisah beliau, antaranya adalah ketika Habib Nuh pada suatu hari dikejutkan oleh tangisan
berterusan anak tetangganya. Bila beliau pergi ke sana, beliau mendapati bahawa keluarga itu amat miskin dan tidak mampu membeli makanan untuk anak yang kelaparan itu. Beliau sedih lalu mengalirkan airmata bila mendengar cerita itu, lantas mengambil satu tempurung kelapa, menuangkan air kedalamnya dan berdoa. Dengan izin Allah, air itu bertukar menjadi susu untuk diminum oleh kanak-kanak tersebut.

Habib Nuh juga dikenali mempunyai kelebihan untuk tahu masa depan. Beliau seolah-olah tahu jika seseorang itu sakit, memerlukan beliau atau memaksudkan beliau. Pada satu masa seorang India Muslim balik ke India mengikut jalan laut untuk melawat keluarganya. Dia telah berniat bahawa jika dia kembali ke Temasik dengan selamat, dia akan menghadiahkan kepada Habib Nuh satu hadiah. Apabila dia pulang dengan selamat ditujuan, dia terkejut bila melihat Habib Nuh sudah sedia menunggunya di tepi laut seraya berkata kepadanya
“Saya percaya bahawa awak sudah berjanji untuk memberikan sesuatu kepada saya.”
Dengan rasa terkejut, India Muslim itu berkata,
“Katakan kepada saya wahai tuan yang bijaksana, apakah yang tuan hajati dan saya akan dengan senang hati menghadiahkan kepada tuan.”
Habib Nuh menjawab,
“Saya mahukan beberapa gulung kain kuning untuk bersedekah kepada orang miskin, yang memerlukannya dan kanak-kanak.”
Sambil memeluk Habib Nuh, India Muslim itu berkata,
“Demi Allah, saya amat gembira untuk menghadiahkan kepada seorang lelaki yang dirahmati
Allah kerana baik budinya terhadap umat manusia. Berilah pada saya tiga hari untuk menghadiahkannya kepada tuan.”
Dia telah menunaikan janjinya dalam masa yang dijanjikan.

78 tahun mengabdikan diri beliau kepada Agama Rasulullah, Habib Nuh telah pulang ke rahmatullah pada hari Jumaat, 27 Julai 1866 bersamaan dengan 14 Rabiul Awal 1283.
Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memberikan banyak pesanan kepada sahabat handainya.
Antaranya adalah: “Jangan jadi tamak terhadap harta dunia dan jangan punya perasaan hasad-dengki terhadap sesiapa sepanjang hidup mu.”

Habib Nuh menghembuskan nafasnya yang terakhir di Teluk Belanga, dikediaman Temenggong Abu Bakar, Johor. Bila berita itu tersebar, ramai orang dari berbagai peringkat, termasuk orang-orang Inggeris yang telah masuk Islam melalui Habib Noh, dan mereka yang berada dikepulauan-kepulauan berhampiran telah datang untuk menziarahi beliau.

Semua kereta kuda yang ada di Singapura memberhentikan amalan harian untuk membawa pengunjung-pengunjung itu dengan percuma. Tapi sejurus sebelum rombongan jenazah itu meninggalkan rumah Temenggong ke tanah
perkuburan, satu hal ganjil berlaku.
Kerana pesan beliau sebelum meninggal, agar jenazah beliau dikebumikan di Mount Palmer, yang merupakan tanah
perkuburan kecil pada masa itu. Walau bagaimana pun pada hari beliau meninggal, setiap orang telah lupa mengenai pesan itu dan mereka semua bersedia untuk menuju ke tanah perkuburan Bidadari Muslim. Bila tibanya masa untuk mengangkat keranda, ia tidak berganjak dari atas tanah.
Tidak ada seorang pun terdaya mengangkatnya. Keadaan waktu itu menjadi kelam kabut, dan hampir setiap orang menangis melihat keranda itu tidak berganjak walaupun cuba diangkat oleh lelaki-lelaki yang gagah mahupun yang perkasa orangnya.

Untung baik masih ada dari kalangan yang ramai teringat akan pesan Habib Nuh lantas mengisahkan hal dan wasiat beliau. Setiap orang sedar bahawa mereka telah lupa pesanan itu lantas memutuskan untuk bergerak ke Mount Palmer. Dengan kehendak Allah, keranda itu dengan diangkat dengan mudah dan laungan Allahu Akbar! bergema. Maka akhirnya jenazah Habib Noh telah selamat dikebumikan di Mount Palmer.

Adapun kemudian ceritera ini, menurut rancangan pemerintah, makam Habib Nuh dan Masjid Haji Mohd Salleh perlu dipindahkan demi membolehkan pembinaan Highway dibina lurus. Dengan membelakangkan rayuan daripada jawatankuasa makam dan masjid, kontraktor pembangunan telah menempatkan beberapa jentolak untuk memulakan pemugaran namun semua jentolak tidak dapat dihidupkan. Akhirnya, lebuh raya terpaksa dibina membelok di antara sekitar makam dan masjid.

Begitulah sedikit sebanyak kisahnya seorang waliullah. Hamba bersyukur dengan peluang yang ada bersama untuk kesini. Kepada sidang pembaca, diharap tiadalah mengambil kisah ini kerana kesaktian agar ditaksubkan, namun memahami bahawa inilah kurniaan pada mereka yang hampir kerana Allah taala kerana mereka sentiasa jujur dalam setiap lakunya..

buat Habib Nuh, Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh..

insyaAllah perjuanganmu bakal disambung kembali dan kekal hingga ke akhir.

ڤادوکا