Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,
Syahdan maka bermulalah perjalanan Jelajah kami ke Kota Singa atau Temasik,
Lebat hujan bersama deruan angin bumi Terengganu Darul Iman mengasbabkan perjalanan kami pada awal malam tertangguh hingga jam 1 pagi..
Dari Terengganu ke Pahang, 9 pagi kami sampai di Stulang Laut, Johor. Awal pagi yang agak mendung separa terang bersama renyai hujan disitu disambut mesra oleh mereka-mereka yang ditugaskan untuk membawa kami semua dari Johor melepasi sempadan Temasik.
Putra, Penghulu, Pandita, Bathin, Aduka, Tajul, Nadhim meneruskan perjalanan ke dalam Kota Singa itu dengan pengangkutan van yang disediakan sementara hamba, Panji dan Affandi, salah seorang petugas menaiki sebuah kenderaan dari Terengganu.
Rasanya sudah hampir 8 tahun lamanya tidak ke Temasik. Jika ikutkan kedatangan hamba yang dulupun ruang dan peluang untuk kemana-manapun agak terhad oleh kerana kebiasaannya hamba kemaripun tiadalah peluang untuk melihat suasana di Temasik sekarang..
Sememangnya jauh berbeza dengan Temasik dahulu yang dikenali kini sebagai Singapura. Disini tidaklah seperti ditempat kita, sebahagian besar jumlah orangnya di pulau Temasik sekarang adalah Cina bangsanya, kedwa adalah Melayu dan ketiganya adalah India. Kebersihan dan budaya hidup yang agak tegas sering sekarang diterapkan kedalam pentadbiran mereka membuatkan ia cukup masyhur hari ini dimata dunia sebagai salah satu negara yang bersih dan "tersusun" cara kehidupannya..
Adapun satu pepatah jenaka berbahasa Inggeris berbunyi : "Singapore is a FINE city".. perkataan FINE disini memberi 2 maksud, pertama adalah Baik dan yang kedwa adalah Saman/Denda. Namun oleh kerana ketegasan yang diamalkan oleh mereka tidak kira ahli pentadbiran ataupun rakyat, setiap kesalahan yang seringkali kita anggapnya kecil menjadi satu hal yang besar dan perlunya dibayar dengan sejumlah wang sebagai dendanya. Bahkan jika anda meludah ditempat awam, anda akan disaman. Merokok dikawasan larangan, anda disaman. Dan yang lebih menghairankan adalah sepanjang keberadaan anda disana nanti, anda jarang bertemu dengan pihak berkuasa. Kerana semuanya diawasi sepenuhnya dengan kecanggihan "CCTV System" atau maksud lainnya, kamera tersorok yang disembunyikan dari penglihatan.
Dan rasanya inilah yang mendidik rakyat Singapura sekarang untuk sentiasa menjaga kebersihan. Walaupun kulit makanan yang kecil sekalipun jika mereka tidak mendapati adanya tong sampah, mereka akan menyimpan terlebih dahulu didalam saku seluar mereka.Namun tidaklah disini hamba menceriterakan hal ini agar para pembaca terasa semacam pelik, takut untuk kesana atau sebagainya. Ia berlaku kerana keadaan, Singapura adalah sebuah pulau yang kecil..namun maju dan canggih dari sudut dunia. Ada pernah mengumpamai kebesaran Singapura dengan Tasik Kenyir di Terengganu kerana bentuk dan ukurannya yang lebih-kurang bahkan lebih besar dari Singapura itu sendiri..namun perlu juga diingatkan Tasik Kenyir adalah tasik yang terbesar di Asia Tenggara.
Tidak beberapa lama setelah itu, maka sampailah di tempat penginapan kami.
Penginapan kami kali ini adalah di sebuah rumah rehat di sekitar Geylang, dimana ia terletak didalam kawasan perkampungan kecil Melayu disana.
Setelah selesai memunggah muatan ke dalam kamar, sebahagiannya berehat. Sementara hamba menunggu kedatangan Hajjah Som Said dan suami, atau lebih selesanya dikenali mereka dengan panggilan Kak Som dan Abg Mat. Antara budayawan yang cukup terkenal, dan begitu bersungguh-sungguh hanya semata untuk mengekalkan budaya Melayu di Temasik ini. Sudah 12 tahun lamanya penubuhan Kumpulan Kesenian "Sri Warisan".. Mereka sudahpun membuat persembahan diluar negara tiada begitu banyaklah kiranya.
Akhirnya Kak Som sampailah bersama suaminya yang tercinta. Hamba, Bonda hamba, Angah dan Pendita dijemput untuk "tour" dan bermesyuarat dengan pihak Esplanade, sebuah medan dimana Seni dicurahkan,dikongsi-kongsikan, dibahagi-bahagikan dan diperkenalkan.
Setelah beberapa jam berada disana maka kami dihantar ke penginapan kami kerana jam 730 malam itu ada Kunjungan Muhibbah dirumah anak yatim Darul Ma'wa.
Senja mulai surut di permukaan bumi Temasik nama tempatnya, kini digelar istimewanya Singapura.
Setelah bersiap sedia semuanya, maka berangkatlah kami menuju ke rumah anak yatim atas maksud meraikan mereka-mereka yang paling istimewa dari kalangan masyarakat semuanya. 10 Minit lebih-kurang perjalanannya maka sampailah.
Kedatangan kami disambut oleh para petugas dan penjaga Darul Ma'wa dengan mesra. Diikuti dengan sedikit sebanyak cerita sepanjang jalan kami menuju ke dewan kecil mereka.
Segala barangan alat kami disusun, Angah dan Pandita masing-masing sibuk membuat ujian demi ujian pelarasan bunyi menggunakan alatan pembesar suara yang tlahpun disediakan, sambil dikerumuni oleh anak-anak kecil....cantiklah kiranya rupa yang ada ketika itu. Senyuman dimana-mana.
Maka lagu pertama itu Keikhlasan Insan namanya, berkisar tepat mengenai Kasih kita pada si anak yatim, agar tidak Sayang diturut mengikut musim, barang Ikhlas biar sahaja Tuhan menjadi Hakim, kerana diakhir segalanya hanya Dialah maha menjadikan..
Penegasan yang berkali-kali dinyatakan dalam lagu tersebut, Jangan Riak..Jangan Berlagak. kerana undang-undang membuat sesebuah amal kebajikan, tidak diukur atau diiktiraf atas apa kata orang atau kita. Biar jujur janganlah takkabur.. Itulah yang dipesankan dan dingatkan kepada kita semua. Agama Islam adalah kasih sayang, bukan sebuah Agama yang menuntut kita untuk berperang bahkan menunaikan hak mereka-mereka yang dalam keperluan, tidak kiralah Kafir sekalipun orangnya.. Allah taala tidak pernah zalim dan senantiasa membahagi-bahagikan rezeki dan harta yang berlimpah ruah kepada sesiapapun yang berusaha untuk mendapatkannya.. Namun mengapa selalu kita diperdaya dengan rasa bagus sendiri, walhal ianya tak adalah setanding hebat manapun dengan jasa orang kafir sekalipun yang menolong orang? Fikirkanlah..
Setelah itu, beberapa lagu joget didendang kan. Diikuti Puja Puji yang hamba sendiripun tak dapat menahan betapa hebatnya rasa kebersamaan kita sesama kita, hingga hamba turun dari pentas dan bersama anak-anak yang paling dikasihi Allah taala ini semua..
Rangkap "La maujud-Ilallah-lailahailallah" : Tiada yang wujud hanya Allah, Tiada disembah melainkan Allah. dinyanyikan beramai-ramai.. Getar nada swara bersulaman antaranya, melantun-lantun bergema didalam rumah Darul Ma'wa yang kami kunjungi..
Setelah selesai sekitar jam 10, kerana anak-anak hendak masuk ke kamar dan beristirehat maka bersurailah majlis tersebut. Kak Som dan Abang Mat membawa kami ke sebuah kedai di Jalan Sultan yang ada disitu masakkan istimewa yaitu Daging Merah dan tulang sumsum.
Maka tatkala menikmati hidangan dan melihat sebahagian yang termampu dek mata memandang sambil diperturunkan hujan renyai membasahi bumi Kota Singa yang kini begitu pesat kemajuannya.
Setelah beberapa lama disitu maka pulanglah kami ke penginapan. Berehatlah kerana esok pagi pun berlangsung sudah acara..Jika ada buat kita semua.
Demikian hamba mohon henti disini.
ڤادوکا