Monday, November 29, 2010

Jlajah Dendang Anak (Tembilahan)-Hari Ketiga

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Syukurillah hari ketiga wujud buat kita semua yang bersama dengan 17 orang kesemuanya, sayang sekali Pendita dan Makhdum tiada bersama kerana mempunyai hal yang tidak dapat dielakkan namun selaku sebuah jentera Dendang Anak kami tetap hadir dan menunaikan permintaan masyarakat Tembilahan atas nama Cinta demi Tuhan berasbabkan Festival Bumi Sri Gemilang.

Sebaik matahari mengufuk menegak memberi sinar hari ini, kami bersiap-siap untuk bersarapan pagi. Sambil bersilaturrahim bersama "orang Indragiri", pelbagai perceritaan selama perpisahan 2 tahun lamanya menyemarakkan suasana yang keamanan dan damai kembali, berlegaran diudara Tembilahan yang begitu segar dan nyaman.

Selesai sarapan, kami disegerakan ke tapak persembahan untuk sesi cuba suara bersama dengan rombongan ahli kumpulan lain seperti Sri Warisan, dari Singapura dibawah penyeliaan Puan Som Said..seorang kawan lama kepada bonda hamba.


Ahli Dendang Anak atau Dendang "Anut"?


Seorang ahli baru kami, Anut Ardiansyah, merupakan seorang pemain "pakar tekan-tekan" atau Accordionist yang tersohor di Riau, merata-rata telah merantau menjadi seorang guru kepada anak muridnya yang beribu-ribu di Indonesia, baik kepulauan Riau ataupun Jakarta, Bandung ataupun Medan. Anut memang cukup terkenal bukan kerana kehandalannya juga kerana sikapnya yang begitu terbuka dan tidak lekang daripada membuat orang disekelilingnya ketawa kerana kelucuannya.. Beliau sampai malam sebelumnya bersama Santos, juga adalah pakar penggesel biola/Violinist yang juga mempunyai beratus-ratus anak murid sepanjang penglibatan beliau terhadap usaha membangunkan seni budaya Melayu. Bagi Anut, ini adalah kali pertama secara rasminya membuat persembahan bersama kami Dendang Anak. Setelah malam sebelumnya kami berlatihan serba sedikit, Anut begitu cepat dan cekap menangkap bunyi irama dan memakan masa yang begitu singkat bagi serasi bersama lagu kami bawakan.
Lagu Janji Malam Keramat menerima perubahan baharu lagi dari sudut susunan asbab kesungguhan Anut..Bagi kami, kehadiran Anut dalam gugusan kami amat bermakna dan bakal didengarkan pada malam hari ketiga ini.

Kisah bersambung semula dengan ketibaan kami di pentas utama. Walaupun bunyi-bunyiannya agak kurang memuaskan disebabkan terlalu ramai kumpulan sekitar 10 persembahan yang berbagai-bagai memerlukan kekuatan dan tambahan alatan bagi memerangkap bunyi alat-alat yang dimainkan untuk disebarkan melalui kotak bunyi digelar "speaker" ini, sungguhpun begitu kami tidak lepas daripada bermesyuarat dengan pakar bunyi untuk malam ini. Agar terbaik dapat ditampilkan.

Sebelum Zohor, acara uji bunyi berhenti untuk memberi laluan buat persiapan solat dan pulang taam tengah hari. Kami bergegas kembali ke pentas utama semula yang memakan masa sekitar 10 minit untuk sampai dari Telaga Puri.

Cuaca agak mendung, seperti beberapa saat lagi sahaja hujan akan bertandang kemari membasahi perkarangan pentas ini. Kami segera memacu masa dengan kesungguhan agarnya bunyi-bunyinya dapat diperiksa dan teliti semuanya, Billy kelihatan sangat sibuk menandakan nombor-nombor pada setiap alatan kami dan tak lupa dengan pakar bunyi lainnya begitu bersungguh-sungguh memperbolehkan semuanya terjadi sepertimana dirancangkan membuatkan kami tersangatlah tidak sabar untuk membuat persembahan untuk mereka semua. Rakyat Tembilahan.

Sebaik beberapa lagu dimainkan, hujan turun. Semua pakar bunyi sibuk menutup kotak bunyi atau speaker agar tidak dibasahi oleh air.. Langkah kami tak terhenti disitu, kami duduk sambil menonton beberapa latihan persembahan dari kumpulan lainnya..

Setelah itu kami langsung pulang ke Telaga Puri untuk bersiap-siap menjelangnya persembahan malam ini.

Jam 7 selesai fardhu Maghrib, kami bertolak ke Pentas Utama, orang ramai sudah ramai mengerumuni perkarangan lapangan.. Walaupun lecak lumpur itu masih bukan alasan mengapa mereka tidak datang. Begitu kuat sokongan mereka terhadap menghargai Seni Budaya. Inilah semangat seorang Melayu, kerana menjadi seorang Melayu bukan setakat memperakui dirinya itu Melayu, namun Melayu adalah Seni dan Berbudaya..

Kerana itulah dikatakan: Budaya Raga Bangsa.

Jam 9 bermulalah acara sebaik sahaja diumum kan ketibaan Pengerusi Majlis, Bapak Kepala dan kalangan VIP-VIP yang turut hadir bersama mengiringi.
Setelah pembukaan ringan dihidangkan bersama alunan lagu dan tarian, tibalah masa kesemua peserta tampil bersama rombongan di atas pentas (hamba pula diputuskan untuk membawa "bunga" yang terpasak padanya papan tanda bertulis Trangganu, Malaysia. Sanggar Dendang Anak..hahaha) sekumpulan demi sekumpulan dipanggil mengadap. Hinggalah kami kedwa terakhir dipanggil, oleh kerana mungkin barangkalinya kami pernah membuat persembahan di sini 2 tahun kelmarin kedengaran gemuruh sorak yang begitu meriah sekali sebaik nama Dendang Anak diumumkan. Terharu turut terasa.

Kemudiannya dijemput pimpinannya pula, Yang Dipertua Dendang Anak, Encik Zulkifle Ismail yang telah berada di Jogja seminggu sebelum acara ini, untuk melawat mangsa Gunung Merapi, terus ke Pekan Baru atas perancangan akan datang berkenaan Dendang Anak juga tidak lepas untuk menghadiri acara penutup tersebut. Beliau hadir dengan penuh kesegakkan seperti biasa dan senyumannya yang tiada pernah lekang dari raut wajahnya.

Selesai bersalaman dan ucapan Bapak Kepalanya, kami diiring ke pentas persembahan. Oleh kerana giliran kami adalah yang ke-4 selepas 3 persembahan dari kumpulan lain.
Setengah jam kemudian, giliran kami tiba, "Puja-Puji" yang menjadi sesuatu yang "simbolik" atau "trademark" buat Dendang Anak jika berada di Indonesia didendangkan selaku mukadimah. Diikuti dengan "Janji Malam Keramat" sebagai lagu kedwa dan terakhir.

Diakhiri dengan tepukan yang meriah.Walaupun bunyinya agak kurang sedikit namun kami telah berjaya meraikan rakyat Tembilahan dan orang Indragiri. Kali ini kami datang atas matlamat umat itu diragakan kembali maka buktinya telah jelas berada dibawah pentas selaku pendengar setia, sepertimana Khatib membacakan khutbahnya, para ustaz menyebarkan dakwah mereka menerusi Syarah..maka Dendang Anak bercerita, menyebarkan kasih sayang melalui alunan lagu, dan menyatakan kebenaran Bangsa selaku Kota kepada Agama.. Alhamdulillah wa Astaghfirullahalazim. Hanya Allah taala hakim yang paling layak menilai usaha kami yang kecil ini..insyaAllah.

Selesai acara, kami bergambar atas maksud kenangan bersama. Hamba yang banyak "melarikan" diri dari keadaan kerana hamba juga seorang juru gambar lebih senang memukul gambar untuk sahabat-sahabat yang lain kerana dirasakan itu lebih bererti..Lampu pentas dipadamkan maknanya sudah tamatlah Festival Seri Gemilang 2010, bersalam-salaman memohon maaf diatas serba kurang dan silap salah sebelum pulang ke penginapan.

Sebelum menutupi tirai malam tersebut, kami dipanggil berhimpun kerana ada sepatah dua kata yang ingin disampaikan oleh yang Dipertua Dendang Anak berkenaan perancangan seterusnya.. yang bakal hamba kongsikan bersama nanti. InsyaAllah.

bersambung lagi..amin

ڤادوکا