Thursday, December 2, 2010

Jlajah Dendang Anak (Tembilahan-Johor-Terengganu)-Hari Empat & Hari Lima

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Pagi hari setelah semalam kami dihala tujukan kepada satu buah alam pemikiran yang baharu oleh Yang Dipertua.

Bagai nafas segar yang agak sedikit berlainan sedang berlegaran aman di Tembilahan..Apakala bersarapan, kami saling dibalas-berbalas senyuman sambil disusun rapi kata-kata yang berbaur mulia,puji-pujian berserta nasihat..tidak lupa ketawa dan jenaka yang disumbangkan oleh kalangan manusia yang bersaudara.
Sarapan pagi kami begitu enak, Alhamdulillah syukur..

Acara dihari ini tidak banyak, melainkan menelaah dan membiarkan pemikiran yang disuntik semalam sebati pada diri empunya. Hanya petangnya kami dibawa ke sebuah dewan latihan seni tarian yang diusahakan sendiri oleh orang Indragiri Hilir.
Tiba kami disana, perjalanan yang hanya memakan masa sekitar 5 minit disambut oleh guru-guru tari, Raja Indra Maulana diikuti kemudian selaku wakil tuan rumah serta kanak-kanak kecil seawal umur 5 tahun ke 10 tahun umurnya, alangkah meriahnya perasaan.

Hamba mulai berbanding kira dengan apa adanya di tempat hamba, mungkin sahaja ada usaha ini namun tidak seluas atau mungkin tidak sesungguh mana hendak di war-warkan..yang hamba pernah diketemukan pun beberapa bulan kelmarin sewaktu di Shah Alam pada menjayakan acara PADAT(Perbadanan Adat Istiadat Negeri Selangor), dimana Dendang Anak diamanahkan untuk menjayakan sebuah persembahan nyanyian serta lakonan bersama anak-anak kecil Bingkas Kebayan yang terdiri daripada kalangan yang berumur 3 tahun hinggalah ke 12 tahun. Setelah itu hamba mulai bertanya dan mencari, dimana lagi gamaknya sebuah pertubuhan anak seni kecil yang diajak menari atau berlakon..Payah diketemukan.

Ada mungkin bagi pendapat hamba, kita telah terlalu “modern” atau maju katakan.. Budaya Melayu tlah jadi satu perkara yang mungkin meng”halang” usaha mereka..Hamba pernah pada menanyakan kepada seorang guru tari di Terengganu(yang hamba rahsiakanlah saja namanya) berkenaan perancangan hamba untuk mengadakan sebuah persatuan agar dijayakan padanya acara tarian berbentuk seni Melayu, jawapannya agak menyedihkan “budget/peruntukkan” dijawabnya..

Hati hamba mulai berburuk sangka pada waktu tersebut dan berkata “kalau kamu hendak beristeri, peruntukkan tidak pernahpun dipersoalkan..dicari tanpa disuruhpun” pada diri hamba sendiri, kerana hamba sedar. Masyarakat kita yang kecil ini selalu berhati manja, teguran atau nasihat itu sering perlu dilapik-lapikkan..Jika nasihat itu sekeping roti, perlunya disuap, perlu dicubit-cubitkan, tangannya perlu dicuci bersih dahulu, kalau jarinya kotor harus dipotong kukunya..Seperti anak raja semuanya. Ditegur elok dianggap menggugatnya.. Sedangkan kemahiran hamba sekadar menulis,menyanyi serba sedikit,bermain alatan bunyian, melukis..tarinya iya, tahu namun tidak seluas apa dibekalkan kepada seorang guru tari.

Makanya yang hamba anjur kepadanya sebuah sumbangan serba Ikhlas kepada mengusahakan anak-anak bangsa kita kini kembali berbangsa agar tidaklah disibukkan dengan kegiatan budaya yang menyusahkan menjelang masa mendatang.
Letih pada memikirkan nasib kita kini..tahunya rugi sebelum berbuat, untungnya sahaja yang mahu..kalau tidak wang jadi hal utama, Nama pula digila-gilai..hendaknya dijulang hingga ke cakrawala mana?, keluhku sendiri...apa ini “Umat Muhammad?”.
Namun rasa kagum kami menatap anak-anak ini gigih belajar menari mengikut irama Melayu, tanpa dilengkapi kipas atau penyaman udara, tanpa dipersiapkan oleh mereka kemudahan yang tersedia sepertimana ada ditempat kita.. Yang buatkan lebih teruja itu usaha ini disokong oleh ibu-bapa sendiri, mereka datang menyaksikan anak-anak mereka belajar menari tarian yang mungkin mereka juga amalkan waktu seawal umur mereka hinggalah berakhir latihannya setelah 2 jam kemudian.
Kami menampilkan “Melayu Sejati”,”Ulik Mayang” dan “Bunga Idaman” sebagai kado Istimewa dari Terengganu. Senyuman terukir pada wajah anak-anak kecil, ibu-ibu dan para setiausaha kami yang hadir bersama..Hati hamba jadi senang sekali dan juga dirasai oleh para sahabat lainnya juga.

Waktu nyanyian Ulik Mayang dilantunkan, Yang Dipertua Dendang Anak sendiri turun ke lantai untuk mengajarkan serba sedikit tarian kepada anak-anak kecil serta warga Indragiri yang hadir.



Berlayar sampai ke Pulau,Berjalan sampai ke Batas..


Petang sudah mulai memberat kecerahannya, Maghrib semakin hampir..Maka tangguhlah kami ke Telaga Puri.

Malam sebelum berangkat pulangnya, masih ada satu lagi “Maal/Persembahan” yang wajib buat kami untuk dijayakan. Dikumpulkan semua anggota dihadapan lapangan Telaga Puri, tikar dibentangkan dan beramai-ramai kami berkumpul sambil menyanyikan “Lagu Dalam Merindu”,”Lautan Kasih”,”Kasih Milikku”, “Dendangan Kasih Sayang” dan setelah suasana menjadi semakin hangat,”Puja Puji”,”Fadhilat Tersirat”,”Janji Malam Keramat”,”Malam Seribu Darjat”,”Warisan Panji”..
Dan para setiausaha Tembilahan, tidak kedekut untuk menyumbang lagu-lagu mereka mewakili rakyat Indonesia Raya. Lagu milik ST12 “Saat Terakhir”, Andra & Blackbone “Sempurna” dan Ari Lasso “Kau dan Dia” dilantunkan dengan kemerduan dan kedamaian suara mereka.

Terimbas kembali saat terakhir kami 2 tahun kelmarin disini, seperti ini juga keadaannya. Di akhir acara kami lagi bernyanyi bersama-sama.
Usai sudah belaka, Famela Fahmi dipanggil oleh Yang Dipertua untuk mencuba suaranya dengan lagu kami yang pada awal pembikinannya sesuai dengan wanita bertajuk “Munajat” dan duet “Gurindam Jiwa” bersama Bathin. Ternyata sesuai apatah lagi dengan aturan semula irama dan alunannya oleh Yang Dipertua yang baharu..
Sebaik sahaja selesai sekitar jam 0230 pagi, Hujan Turun tanpa henti..
“seperti sebuah rintihan bhumi Indragiri kepada ketiadaksanggupan mereka membiarkan pemergian kami atau mungkin sekali ketidaksanggupan kami untuk meninggalkan orang-orang Indragiri”

Itu terlintas dibenak fikir hamba.. belum ditanya bagaimana perasaan sahabat hamba yang lainnya, yang sudah berpunya teman dan sahabat di sini. Terjalin molek kerana Budaya.

Jam 0700 awal pagi. Kami bersiap-siap untuk bersarapan dan terus menyimpan pakai kami segalanya untuk berangkat langsung ke Batam.
Adalah tidak sanggup untuk mengucapkan “Selamat Tinggal”, sedang peninggalan itu menyamai satu kematian. Sudah pergi, belum tentu bertandang lagi, kalau kemari, kami masih belum tentunya kami atau kamu masih belum pasti itu kamu. Begitulah kepedihannya kepada perpisahan dan begitu juga keindahan yang terbina indah oleh Allah taala buat pertemuan yang kita sama-sama mengecapi, usahakan semata-mata untuk satu kenangan yang terindah.
Terus perpisahan ada dihujung itu. Bagaimana kita yang serata jagat menghuni dimaha bhumi milik yang Esa yang juga serba sementara belaka.
Inilah langkah pertama mengenal Redha. Dengan merestui sesuatu keistimewaan yang tercipta bukan buat kita namun untuk yang disangkakan terbaik.
Jam 0830, berangkat dari Telaga Puri menuju ke Pelabuhan Tembilahan. Hamba jadi kurang sanggup melihat diluar, sepertimana ditatap penuh kesukaan sewaktu sampai beberapa hari kelmarin.

Tiba dipelabuhan, acara bersalam-salaman di lakukan. Yang Dipertua yang turut tidak serta bersama kepulangan kami kerana beliau masih ada kerjanya yang tak terlesai disini berkali-kali berpesan kepada kami dan juga hamba sendiri “kuatkan amal dan latihan yang istiqamah demi acara akan datang ini”..

Putra dan Penghulu yang pada kali ini telah berjaya menyatakan hajat kali ini kelihatan lega sepenuhnya diraut wajah masing-masing, kesungguhan mereka membenarkan kami kembali disini. Dengan Izin Allah.. Alhamdulillah wa astaghfirullah.
Kebersamaan kita terlalu singkat untuk dirapat-rapatkan, namun jelasnya tertunai sudah kewajiban kami menyampaikan apa yang telah lama ditinggalkan oleh orang terdahulu. Jauh pelusuk Indragiri Hilir dari Hulu Terengganu lahirnya Dendang Anak ini terjalin kembali hendaknya..

Di Batam setelah sesaknya berada didalam kapal sekitar 7 jam setengah yang dinaiki sarat orang setempat, kami bertukar tuju ke pelabuhan seterusnya yang menuju ke Stulang Laut, Johor Darul Ta’zim. Sebelum berangkat kami dihidang Nasi Padang istimewa disatu kedai disini bersama minuman buah Avocado dan Mangga..kami teruskan pemergian kami selama 3 jam lagi. Hujan tak berhenti lebatnya pada perjuangan kami untuk pulang ke Kampung permai kami yang bernama Terengganu Darul Iman.
Setibanya di Stulang Laut, perpisahan kedwa berlaku memandangkan Angah, Aduka dan Mi Sawo menghuni di Kuala Lumpur maka kami saling bersalaman dengan penuh kehormatan kerana tanpa mereka bertiga, barangkali susah payah kami untuk bersama-sama kesana dibebankan lagi. Syukur ya Tuhan..

Dengan 3 buah kenderaan yang dipacu sendiri dengan silih berganti pembawanya..Penat mahupun lelah bukan lagi penghalang. Harusnya pulang kerana masih ada banyak tugas hendak dilaksanakan hingga selesai.
8 Jam seterusnya, Alhamdulillah kami tiba di Istana Seni. Dan Hamba serta Putra ke Istana kami.. Istirehat dengan seribu satu kemanisan kenangan yang kami perolehi daripada orang Indragiri.. Terimakasih yang tiada terhingga dituju tinggi kepada Allah taala.

Terimakasih ya Muhammad atas korbanmu hingga kami beragama semuanya.

Terimakasih Mujahidin, Waliullah dan semua Rahimakumullah.

Terimakasih Indragiri Hilir, kali ini banyak yang kami pelajari.. terutamanya adalah berkenaan perihal “Kekuatan”, “Kesetiaan”,”Kerisauan” dan “Kesungguhan”..

Dan paling pertama adalah “Kemurahan” dan “Kasih Sayang”,
itukan Bismillahir Ar Rahman Ar Rahim.

Yang tak luput dibelanjakan, tak rugi diberi-beri atau dibahagi-bahagi kan..

Sementara hamba terus menunggu dengan penuh tidak sabarnya menjelang acara 18hb Disember 2010 ini bertempat di Istana Sayap,Pelalawan,Riau, Indonesia..ya’ini Penabalan Sultan Pelalawan selepas Tengku Kamaruddin sebagai raja Pelalawan ke-10, dengan nama Assaidissyarif Kamarudin Haroen Tengku Besar Pelalawan..yang pastinya mencatat sejarah yang baharu buat Hikayat Melayu. Sama-sama kita tunggu dan doakan agar dipermudah kan.

Tadahkan tanganmu agar usaha murni ini diteruskan..

Aminkan ia sebaik fikir risaumu kerana Bangsa memekar didalam dirimu, bukan kerana hamba, bukan anda, bukan dia, bukan kita..namun Mereka.yang bakal meneruskan masa hadapan yang menentukan dimana kita disaat masa yang ditentukan itu hadir.

Cukuplah kita menjadi bangsa yang kalah. Kali ini, biar kita berjaya bersama Agama dengan tamadun yang mengejar wawasan akhir zaman.

Fikirkanlah.

Qauluhu Al Haq Wa Kalimatus As Saddiq,

ڤادوکا راج دندڠ انق ترڠڬانو دارالايمان

Ku Bad(Raja Badruddin Hakim Shah ibni Raja Kamarul Bahrin Shah)

Pesan Amanat Yang Dipertua, Tembilahan, Indragiri Hilir, Riau, Indonesia.

Setelah selesai sudah acara buat Festival Seri Gemilang.

Meskipun kepenatan namun masih ada satu lagi persidangan yang dikelolakan oleh Yang Dipertua Dendang Anak, Encik Zulkifle Ismail bertempat di rumah rehat Telaga Puri.
Ini tidak menghalang kami untuk tidak menghadirkan diri ke persidangan kecil oleh kerana sudah seminggu lebih kiranya Yang Dipertua Dendang Anak tlah berada di Indonesia, tentulah kami semua merindukan beliau dan begitu teringin tahunya apa sebenarnya keberadaannya beliau disini sebelum kami tiba di Tembilahan.

Salam diutamakan dengan penuh kehormatan, Muqadimah awal Yang Dipertua adalah berkenaan perihal Gunung Merapi yang dilawati olehnya beberapa tempoh hari sebelumnya. Yang sedikit sebanyak merubah tanggapan serata rakyat pada menyadarkan diri mereka bahwasanya tiada istilah Aku-aku dan Kamu-kamu dalam menghadapi bencana seperti demikian rupa. Beratus-ratusan rakyat Malaysia datang demi usaha murni membantu mangsa-mangsa letusan yang tlah dimuntahkan oleh gunung tersebut hingga menyebabkan ramai dikalangan masyarakat setempat terhenti daripada mencari sumber rezeki yang pada kebiasaannya adalah bercucuk tanam dan sebagainya. Menurut beliau lagi, ada diantara mereka yang sependapat berkata: “..kelmarin, ada yang kata Ganyang Malaysia, benci Malaysia dan sebagainya..namun sekarang, Mana Mereka disaat ini? Walhal kita ini Indonesia Raya..jumlah rakyat kita jauh lebih ramai jika hendak dibandingkan dengan orang di Malaysia..” bagi hamba, ini adalah tamparan hebat buat mereka-mereka yang sengaja merekacipta ketegangan demi ketegangan diatas hal-hal yang begitu remeh dan kecil(miniscule),

Pendapat hamba kuat mengatakan, sebenarnya pedoman yang berlaku pada zaman kini kita tidak mampu lagi menuntut “ini hak siapa” dan “itu hak siapa”..kita daripada lebih teringin tahunya “siapa itu KITA”..yang bersuku, berkaum-kaum pada akhir himpunan dirangkum semuanya menjadi satu BANGSA. Iya, kita satu Bangsa.. Mengingatkan hamba kepada kata sahabat kami, Cak Nun ataupun Emha Ainun Nadjib, teraju utama kumpulan Kyai Kanjeng melalui lantunan puisinya Maiyah yang berkata: “kita SATU BANGSA, tangan kita Bergandingan, namun Hati kita Terpecah Belah..tidak ada kerelaan yang kita bangunkan melainkan kehancuran, kebersamaan kita untuk curang dan menang sendiri…”

Cukup membuatkan diri ini tersadar sepenuhnya, kemana usaha kita untuk bersatu dan apa dayanya untuk meruntuhkan dinding-dinding yang disengaja ciptakan oleh para penjajah yang datang merompak segala harta pribumi sendiri.. Dimana kita saat ini soalnya, apa kita pada terus melihat dan menonton kehancuran demi kehancuran. Apa itu dinamakan Insan atau paling teruk drajatnya seorang “Manusia”?
Wallahualam.. tutuplah bab pertama pesanan ringkas Yang Dipertua pada mengajak kami semua memandang kesusahan saudara-mara kita dihujung sana, “kita ini Umat Muhammad hai Tuan-Tuan..Mim pada Melayu itu Muhammad…Pemimpin kita semua” katanya lagi.
Perihal kedwa yang keluar dari kalam beliau adalah:
"Dendang Anak, tugas kita yang sebenar baharu bermula"

semua jadi terkesima seketika,

10 tahun lamanya pertubuhan sebuah kumpulan seni yang terdiri daripada bekas pemuzik jalanan dan pemuda-pemudi memulakannya bersama Yang Dipertua Dendang Anak dengan hanya berbekalkan 2 guitar kotak dan beberapa tong baldi air bagi menggantikan gendang hingga ke hari ini tertubuhnya "Dendang Anak",
disangkanya sudah lama, massa Yang Dipertua Dendang Anak berkata "baharu bermula?"..
kemudian, apa erti 10 tahun sebelum ini?

Setelah berfikir waras sejenak, sedarlah apa yang dimaksudkan..Dan hamba mengibaratinya sebagai seorang bayi, yang pada awalnya serba daif kekurangannya.. Semuda 1 ke 3 tahun, hanya berbekalkan Susu, belaian dan penjagaan rapi oleh penjaganya..seorang anak hanya berada pada keadaan yang penuh berharap. Sungguhpun dibuang ke pembuangan sampah adalah kerana tidak relanya si ibu dan ayah menjaganya, tetap berada dalam keperihatinan..Rezeki buat seorang anak itu terjamin. 3 ke 5 tahun pada meningkat sedikit, sesudah rangka anggota mulai kuat membuatkan se susuk “bayi” berubah menjadi anak yang kecil bertatih kemudiannya merangkak dan berjalan..Makannya perlu disuap, bahasanya perlu diusap-usap pada rangkap demi rangkap. Menzahirkan serba satu kelemahan agar diusahakan menjadi satu kelebihan pada dirinya.

6 tahun sudah mulai belajar "kenal" apa ini, apa Alif Ba Ta Sa, apa Sa Dwa Tiga Empat dan bagaimana caranya untuk berpakaian yang baik, apa itu "Tulis" dan sebagainya. Hinggalah menjelang usianya ke 10 tahun, baharu si anak kecil dapat mengenal "Fikir" atas apa yang dizikirkan. Sedang pada sudut harfiah maksud Zikir itu sendiri bermaksud Ingat..Jika dikata Zikrullah maka maknanya adalah Ingat Allah. Dan apa membuat seseorang itu yang senantiasa ingat kepada penciptanya menjadi seorang pencuri kebahagiaan milik orang lain? Mestikah seorang yang begitu khusyuk dan tawajjuh kepada Tuhannya turut seorang pemimpin yang kacau bilau orangnya?
Pantulan kepada Dendang Anak pula, (bagi pandangan hamba lah)10 tahun selama ini adalah untuk menghimpunkan ahli, mengenal apa itu Seni yang terpancar darinya Bahasa-yang mengajar kesopanan cara tutur kita tatkala berhadapan dengan orang lebih tua dan terhormat bagaimana, Budaya-yang mengajar cara kita berhibur sambil belajar mengenal cara hidup dari rantau manapun sekali, Adat-yang mengajar ketertiban diri pada suasana dan kehidupan.

Yang “baharu” buat Dendang Anak barangkali ialah tanggung jawab yang dirangkulkan bersama kami, menjelang beberapa minggu lagi di Pelalawan, pada upacara yang julungkalinya diadakan dan kemudiannya secara rawak atau pilihan, dari Indonesia yang terdiri dari berbagai Negeri-negerinya, Kabupaten, Kacamatan, atau apapun berpuluh jutaan rakyat Indonesia, tidak cukup dengan itu di negara bawah angin digelar Malaysia kini pula yang terdiri daripada 14 buah Negeri, Terengganu dipilihnya, sebuah kumpulan pemuda dari Negeri yang seringkali pabila disebut dikatakan Negeri “Kampung” atau Negeri Nelayan, Pesawah, Marhaen, “Dendang Anak” dipilihnya dari berpuluh-puluhan jagat manusia dan rakyat serta masyarakat untuk berkerjasama didalam upacara Penabalan Sultan Pelalawan yang bertempat di sebuah Istana yang digelar akannya Istana Sayap. Yang pernah hamba kisahkan pada Jelajah Dendang Anak yang lalu di Pelalawan.

Kebetulan? Pilihan? Sengaja diada-adakan?

Hamba ajak Anda menentukanlah setelah menelaah seluruhnya..

Sementara kami: Dendang Anak.. kami terus berdendang demi menjamin kesinambungan dan keterusan perjuangan untuk Anak-anak, Cucu-cicit dan seterusnya. Mungkin sahaja ramai yang begitu teringin untuk berumahtangga, namun Anaknya tak dibela secukupnya..kerana tiada tiang pada rumahnya, dan kewujudan tangga pada rumah tanpa bertiang itu tak punya guna..sekadar perhiasan. Atau mungkin sahaja jua ramai yang berpunya anak namun didikannya menyamai cara hidup orang kafir, rumahnya ada, tangganya ada..Bumbung nya pula yang tiada, hari-hari kita kudu membincangkan cara mengelakkan diri daripada mengamalkan ketaghutan, tatkala kemarau menimpa-kesemua anggota keluarga menerima kepanasannya. Sementara berlaku hujan lebat-sang ayah memanggil anak-anaknya pulang ke rumah untuk menghindari kebasahan. Setelah dirumah, dilihat isinya juga turut dibanjiri kerana atapnya tiada, apa lagi hendak diteduhkannya?

Tidakkah ianya seperti kita dihari ini? Yang mengajak kepada kebaikkan pada wayang helah seorang manusia yang nabi gelarkan “munafiq” pada masa yang sama diusir-usir jauh mereka-mereka yang memerlukan pertolongan sementara hal yang mengajak kita ke pintu kezaliman, kekejaman dan sebagainya jadi satu kesukaan dan menghairankan adalah antara kita menyangkainya satu “kebanggaan”.

Kita mungkin terselamat atau tidak selamat disebabkan apa telah berlaku pada suasana Dunia kini.

Paling tidakpun pesan amanat ini dan juga beratusan naskah penulisan mahakarya hikayat orang-orang terdahulu daripada kita termasuklah Al-Quran itu sendiri, disampaikan dengan sebaik cara buatnya. Oleh kerana orangnya yang bijaksana dan berwibawa, Hatinya berdegup akan kebenaran yang tiada pada dirinya melainkan Allah hu rabbil alamin..lantas munafik yang diamal-bercakap tidak serupa apa dibikin itu tidak lagi menjadi persoalan..namun dijadikan peringatan buat kita pada hari-hari yang dijalani.

Catatan hari keempat dan kelima bakal menyusuli..Jika mata ini masih dapat dicelikkan, nafas masih berada pada tarikkan dan hembusan ketentuan, kedwa belah tangan tetap berguna buat meneruskan penulisan hamba, yang tiada seberapa rupanya.. Sekadar berbagi-bagi, itu kan Agama.

ڤادوکا