Thursday, February 3, 2011

Jelajah Dendang Anak, Temasik(Hari Tiga) | Menyusuli Jejak Waliullah Melayu : Habib Nuh

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

sudahlah hari tiga angkanya keberadaan di Temasik,
pagi yang terang separa mendung bersama deru angin yang turun bersama hujan kerahmatan tanpa henti ini bakal kami tinggalkan beberapa lama lagi..
Namun sebelum itu hamba dan Putra begitu teringinlah memenuhi hasrat atau sedikit permintaan dari Yang Dipertua agar menziarahi Makamnya Habib Nuh. Maka setelah sarapan kami langsunglah ke makam salah seorang yang cukup tersohor kini dikenali oleh orang Melayu disini sebagai wali Allah.

Tibanya kami disana, sayup kelihatan tinggi makamnya berada dipuncak bukit. Turun dari kenderaan maka kami berjalanlah kesana, walau hujan menimpa lebat tanpa hentinya kami redah.. Terkenang hamba sepertimana suatu kisah berkenaan orang istimewa yang bakal kami dekati ini yang pergi dari Teluk Belanga ke Paya Lebar pada suatu hari yang lebat hujan berserta ributnya hanya kerana ingin mengubati kanak-kanak yang sakit. Setelah beliau tiba dirumah itu, kedua orang tua kepada kanak-kanak itu terkejut dan jadi hairan kerana Habib Nuh tidak langsung basah kerana air hujan tersebut. Persoalannya bagaimana hujan seperti lebat itu tidak langsung membasahkan pakaiannya?....

Kami menuju ke 49 langkah tangga yang menaik ke arah makam yang pernah juga diceritakan bahawa pada Perang Dunia ke Dwa, Kapal Terbang Jepun pernah menjatuhkan sebuah bom tepat kearah Makam beliau namun disekelilingnya mendapat kerosakkan kecuali makam beliau yang langsung tidak terjejas.

Akhirnya sampailah kami berdwa keatasnya, sambil merenungkan segala amal baik beliau agar moga-moganya kami dan anda yang akan mengunjungi makam beliau laksanakan juga. Dengan lafaz Bismillah berserta Al-Fatihah yang menyusuli amal beliau yang sedikit sebanyak telahpun meninggalkan kesan yang mendalam kedalam lubuk pemikiran kita sesama kita, bahawa Agama Islam dibawah pimpinan Rasulullah ini benar..dan langsung tiada kebengkokan didalamnya.

Jika mengikut sejarah awal beliau, sebelum kedatangan ke Temasik, Habib Noh bin Muhammad Al-Habshyi, keturunan Rasulullah s.a.w. menerusi nasab Zainal Abidin bin Sayidina Hussein Radhiallahuanhu datang dari Kedah Darul Aman. Berempat adik-beradik lelaki iaitu Habib Noh, Habib Ariffin(bermakam di Pulau Pinang),
Habib Zain (bermakam di Pulau Pinang) dan Habib Salikin,
yang bermakam di Daik, Indonesia.
Dipercayai berdasar fakta yang tersedia ada, Habib Nuh sampai ke Temasik tidak lama sesudah
Stamford Raffles mendarat di pulau itu. Usianya pada ketika itu
sekitar tiga puluhan tahunnya. Walaupun beliau telah menghabiskan saki-baki
usianya di Singapura, beliau dipercayai telahpun menyebarkan usaha Dakwah keserata Tanah Melayu..

Banyak lagi kisah beliau, antaranya adalah ketika Habib Nuh pada suatu hari dikejutkan oleh tangisan
berterusan anak tetangganya. Bila beliau pergi ke sana, beliau mendapati bahawa keluarga itu amat miskin dan tidak mampu membeli makanan untuk anak yang kelaparan itu. Beliau sedih lalu mengalirkan airmata bila mendengar cerita itu, lantas mengambil satu tempurung kelapa, menuangkan air kedalamnya dan berdoa. Dengan izin Allah, air itu bertukar menjadi susu untuk diminum oleh kanak-kanak tersebut.

Habib Nuh juga dikenali mempunyai kelebihan untuk tahu masa depan. Beliau seolah-olah tahu jika seseorang itu sakit, memerlukan beliau atau memaksudkan beliau. Pada satu masa seorang India Muslim balik ke India mengikut jalan laut untuk melawat keluarganya. Dia telah berniat bahawa jika dia kembali ke Temasik dengan selamat, dia akan menghadiahkan kepada Habib Nuh satu hadiah. Apabila dia pulang dengan selamat ditujuan, dia terkejut bila melihat Habib Nuh sudah sedia menunggunya di tepi laut seraya berkata kepadanya
“Saya percaya bahawa awak sudah berjanji untuk memberikan sesuatu kepada saya.”
Dengan rasa terkejut, India Muslim itu berkata,
“Katakan kepada saya wahai tuan yang bijaksana, apakah yang tuan hajati dan saya akan dengan senang hati menghadiahkan kepada tuan.”
Habib Nuh menjawab,
“Saya mahukan beberapa gulung kain kuning untuk bersedekah kepada orang miskin, yang memerlukannya dan kanak-kanak.”
Sambil memeluk Habib Nuh, India Muslim itu berkata,
“Demi Allah, saya amat gembira untuk menghadiahkan kepada seorang lelaki yang dirahmati
Allah kerana baik budinya terhadap umat manusia. Berilah pada saya tiga hari untuk menghadiahkannya kepada tuan.”
Dia telah menunaikan janjinya dalam masa yang dijanjikan.

78 tahun mengabdikan diri beliau kepada Agama Rasulullah, Habib Nuh telah pulang ke rahmatullah pada hari Jumaat, 27 Julai 1866 bersamaan dengan 14 Rabiul Awal 1283.
Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memberikan banyak pesanan kepada sahabat handainya.
Antaranya adalah: “Jangan jadi tamak terhadap harta dunia dan jangan punya perasaan hasad-dengki terhadap sesiapa sepanjang hidup mu.”

Habib Nuh menghembuskan nafasnya yang terakhir di Teluk Belanga, dikediaman Temenggong Abu Bakar, Johor. Bila berita itu tersebar, ramai orang dari berbagai peringkat, termasuk orang-orang Inggeris yang telah masuk Islam melalui Habib Noh, dan mereka yang berada dikepulauan-kepulauan berhampiran telah datang untuk menziarahi beliau.

Semua kereta kuda yang ada di Singapura memberhentikan amalan harian untuk membawa pengunjung-pengunjung itu dengan percuma. Tapi sejurus sebelum rombongan jenazah itu meninggalkan rumah Temenggong ke tanah
perkuburan, satu hal ganjil berlaku.
Kerana pesan beliau sebelum meninggal, agar jenazah beliau dikebumikan di Mount Palmer, yang merupakan tanah
perkuburan kecil pada masa itu. Walau bagaimana pun pada hari beliau meninggal, setiap orang telah lupa mengenai pesan itu dan mereka semua bersedia untuk menuju ke tanah perkuburan Bidadari Muslim. Bila tibanya masa untuk mengangkat keranda, ia tidak berganjak dari atas tanah.
Tidak ada seorang pun terdaya mengangkatnya. Keadaan waktu itu menjadi kelam kabut, dan hampir setiap orang menangis melihat keranda itu tidak berganjak walaupun cuba diangkat oleh lelaki-lelaki yang gagah mahupun yang perkasa orangnya.

Untung baik masih ada dari kalangan yang ramai teringat akan pesan Habib Nuh lantas mengisahkan hal dan wasiat beliau. Setiap orang sedar bahawa mereka telah lupa pesanan itu lantas memutuskan untuk bergerak ke Mount Palmer. Dengan kehendak Allah, keranda itu dengan diangkat dengan mudah dan laungan Allahu Akbar! bergema. Maka akhirnya jenazah Habib Noh telah selamat dikebumikan di Mount Palmer.

Adapun kemudian ceritera ini, menurut rancangan pemerintah, makam Habib Nuh dan Masjid Haji Mohd Salleh perlu dipindahkan demi membolehkan pembinaan Highway dibina lurus. Dengan membelakangkan rayuan daripada jawatankuasa makam dan masjid, kontraktor pembangunan telah menempatkan beberapa jentolak untuk memulakan pemugaran namun semua jentolak tidak dapat dihidupkan. Akhirnya, lebuh raya terpaksa dibina membelok di antara sekitar makam dan masjid.

Begitulah sedikit sebanyak kisahnya seorang waliullah. Hamba bersyukur dengan peluang yang ada bersama untuk kesini. Kepada sidang pembaca, diharap tiadalah mengambil kisah ini kerana kesaktian agar ditaksubkan, namun memahami bahawa inilah kurniaan pada mereka yang hampir kerana Allah taala kerana mereka sentiasa jujur dalam setiap lakunya..

buat Habib Nuh, Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh..

insyaAllah perjuanganmu bakal disambung kembali dan kekal hingga ke akhir.

ڤادوکا

Jelajah Dendang Anak (Terengganu-Temasik-Melaka) : Hari Dwa

Pagi yang lewat mata yang terpejam akhirnya terlelaplah seketika, kemudian kami digesa bangun sebelum jam 9 kerana bermulalah kegiatan yang tlahpun dirancangkan oleh hamba, Putra dan Bonda. Kerana di jamuan Minum Petang anjuran Klub ESQ itu akan bermulalah satu titik mula dan bertapak lah nama Dendang Anak itu di kota Singa ini. Bahkan dengan latihan demi latihan yang direncanakan sebelum kedatangan, Bonda akan membuat kemunculan kembali setelah berapa lamanya mendiamkan diri didalam kesenian, rasanya hamba semenjak pernikahan Ayahnda hamba dengan Bonda, hingga melahirkan hamba yang sulungnya..Bonda tidak lagi bernyanyi. Kali ini, bersama kami adalah Elmi Salleh, yang ada masa dahulu itu beliau adalah terkenal orangnya..di Temasik juga tempatnya.

Asslamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan selamat pagi dan sejahteralah semuanya diucapkan,

Izinkanlah hamba menyambung ceritera yang bakal terpahat oleh sejarah,
Kasih Abadi lagunya yang terpilih didalam ratusan lagu garapan Yang Dipertua.. Paling tinggi rasanya bahagia walau hamba tahu, kepenatan yang dirasai bersama ini ada keberkatannya..InsyaAllah.

Sampai kami di Furama Hotel tempatnya, dipunggah muatan ke dalam menuju ke dewan yang dimana majlis petang ini akan berlangsungnya. Uji Swara dan bunyi dilakukan setelah itu, maka selesai kemudian jam 2 nantilah bermulalah detik yang bersejarah dalam hidup hamba. Kerana hari ini hamba dan Dendang Anak paling beruntung berpeluang untuk digandingkan dengan seorang seniwati yang dahulunya bergiat sepenuhmasa menjadi orang seni sepertilah kami cuba lakukan sekarang.

Namun tidak itu sahaja, majlis tersebut didatangi dan dijayakan juga oleh Suhaimi Yusof, Suraya Alberto dan Sarah Aqila..antara seniman seniwati yang juga terkenal di sini. Apatah lagi ia dihadiri oleh sebahagian besar wakil-wakil masyarakat Melayu yang ada di Temasik sekarang..

Jam 2 maka sampailah semua berhimpun, kami dijemput makan bersama-sama sambil memperdengarkan celoteh berbentuk kerohanian, ada kerana kegiatan Klub Esq berasaskan dan cenderung kepada mengajak orang ramai kembali beragama sambil membentuk jiwa yang teguh bersama kekuatan atas apa yang diyakini..

Jam 240 maka Dendang Anak dijemput naik kepentas utama, setelah separuh masa High-Tea atau minum Teh Petang berlangsung. Pertama kali didengarkan lagu Kecintaan kemudian Kasih Abadi bersama Bonda Nurilah atau Elmi Salleh, Kemuncaknya adalah seperti selalunya "Puja Puji" dikumandangkan dan diperkenalkan kepada rakyat Temasik.

Alhamdulillah hi rabbil alamin, sambutan selepas itu begitu memberangsangkan. Berkemungkinan besarnya kami akan selalunya datang kesini kerana katanya mereka-mereka yang bercakap dengan hamba ingin menjemput yang namanya Dendang Anak ini lagi ke sini.Syukurlah dipanjatkan tinggi kepada yang maha menjadikan sementara kami hanyalah penyampai, bukanlah orang-orang yang terkenal atau pencari kemewahan apatah menjaja seni milik Tuhan yang paling mutlak ini..

Setelah habis acara bergambar beramai-ramai, hamba bersua lah dengan Suhaimi Yusof seorang pelakon dan juga juru acara yang terkenal disini. Beliau sungguh kagum katanya, dan menyatakan hasrat yang sama sepertimana orang lain yang mendatangi diri hamba atau sahabat-sahabat hamba selainnya.

Bergeraklah kami kemudian ke Little India, sebuah perkampungan kecil yang rata-ratanya sarat dengan umat berbangsa India. Bagi kami yang sentiasa terasa semacam kagum dengan kesenian mereka yang begitu halus dan adakalanya rumit untuk difahami akan maksudnya, disini banyak kelihatan walhal dimana-mana sahaja seni tangan tidak kiralah ukiran hinggalah ke lukisan. Bangsa India sememangnya cukup mashyur dengan kesenian mereka.

Hamba tiba terlebih dahulu bersama Putra dan Angah disana, oleh kerana Kak Som katanya sibuk dengan acara latihan di Kedutaan Brunei maka disana Abang Mat lah orangnya yang menyambut kami dengan mesranya. Dijemput masuk ke Pejabat Sri Warisan sambil diberi penerangan yang cukup lengkap dan begitu senang sekali seandainya timbul dibenak fikiran akan persoalan yang teringin ditanyakan.

Sejenak sejarah kelahiran Sri Warisan, menurut Abang Mat bermula sejak tahun 1998, dan diasaskan sepenuhnya oleh mereka berdwa diatas fikirnya yang kuat untuk semata-mata memelihara budaya warisan Melayu yang terdiri dari pelbagai Suku atau Kaum orang-orangnya.. Apakala memperdengarkan setia perkhabaran tersebut hamba kira ada juga persamaan antara kami dan mereka. Walaupun tujuan utama dahulu Dendang Anak yang kemudiannya lahirnya lagu-lagu Dendang Anak itu atas kerisauan Yang Dipertua kepada nasib umat sekarang, yang semakin hari semakin terlupa akan sejarah, apatah mereka yang bosan sudah dengan sejarah.. Sedangkan dengan Sejarahlah kita kenal Agama, dan memahami Agama itu kota atau bentengnya adalah Bangsa. Allah taala jadikan sendiri kita sesama kita untuk suatu tujuan yang menarik dan istimewa.

Lahirlah Dendang Anak kembali dari kesunyian hari dan malam tanah Melayu ini, membangun dan majunya Dendang Anak hingga kehari ini terutamanya kerana Allah taala mengizinkan, walau sungguh hamba kirakan. Menjadi "Orang" sudahlah kita terkenal dengan aneka "Pilihan", menjadi manusia dalam bab Tugas atau Kerja, kita bersilih ganti.. Pencapaian Dendang Anak hamba dapat simpulkan disini bukanlah kerana Siapa dia itu dan Apa keistimewaan dia ini. Semua manusia punya keistimewaan masing-masing yang terbekal bersama, semua manusia punya cara yang disenangi oleh sebahagian yang menyenangi cara tertentu maka disukailah ramai.. Namun sebagai satu Keluarga itu menjadi satu Jemaah yang kecil, rumah Dendang Anak itu adalah Budaya yang berteraskan Bangsa yang diasaskan semata-mata untuk menampilkan betapa luasnya Agama ini jika teringin buat kita memahaminya. Kerana itulah "Kamilah Dendang Anak"..

Betapa tiada mustahilnyalah kekal Dendang Anak sejak 1997 hinggalah hari ini.. Syukur bukan lagi Syukur, hamba tak terkalam katanya.. Terkesima. Setelah saling berkongsi ceritera dan berceloteh malam, disambung pula kemudian di Studio Sri Warisan bersama-sama ahli Dendang Anak selainnya. Larut malam telahpun mulai mendiamkan dirinya. Kemeriahan lagu-lagu Tamil yang dari awal malam tadi kedengaran kini senyap.. Tibalah masanya untuk berehat.
Hamba dan Putra bersama Bonda menziarahi rumah Saudara terdekat yang letaknya di Pasir Ris, lebih kurang 20 minit perjalanan. Sambil itu hambapun menutup tamatlah kisah kami hari ini.

Kerana Esok kami bergerak pulang ke Johor kemudian ke Melaka.

Seekor Singa yang besarnya ini disejukkan kembali oleh kerahmatan yang Tuhan sendiri perintahkan ia untuk turun. Bersyukurlah pada Hujan sebelum didatanginya Kemarau.. Jikalau Kekeringan melanda, bersyukurlah masih..Kerana anda masih belum merasa sebagaimana tandusnya Agama ini dari kehidupan ini, yang pastinya akan datang menjelang kiamat nanti.

InsyaAllah kita bersambung lagi.

ڤادوکا